saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 16/02/2004

Rahman B - Seniman ulung pentas bangsawan

DEDIKASI sepanjang hayat dan kecemerlangannya dalam seni pementasan bangsawan telah meletakkan nama beliau antara seniman ulung.

Malah di kalangan penggiat seni pementasan ini, beliau merupakan anak panggung yang terus bertahan bersama jatuh dan bangun bangsawan.

Penerima Anugerah Seniman Negara keenam, Abdul Rahman Abu Bakar, atau lebih dikenali Rahman B terus mencurahkan pengalamannya dalam seni pentas ini kepada anak-anak muda.

Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Fu Ah Kiow ketika majlis pengumuman penerima Anugerah Seniman Negara berkata, tokoh memiliki kepelbagaian bakat dalam pementasan bangsawan.

``Penerima Anugerah Seniman Negara keenam ialah seorang tokoh tersohor dalam bidang seni teater tradisional.

``Beliau telah memainkan peranan penting dalam pembangunan bangsawan di Malaysia. Tokoh ini disegani bukan sahaja kerana kearifannya dalam bangsawan, tetapi melangkaui aspek seni lain,'' jelasnya.

Ah Kiow menambah, antara kebolehan dan bakat lain yang dimiliki oleh Rahman B ialah penulisan skrip bangsawan, mengarah, menerbit, bermain muzik, menyanyi, melukis dan mahir dalam menyediakan kostum serta props pementasan.

Penerima Anugerah Seniman Negara akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM30, 000, sijil penghargaan, sepasang persalinan lengkap baju Melayu dan kemudahan perubatan percuma kelas satu di semua hospital kerajaan.

Tokoh penerima juga akan mendapat kemudahan berkarya, tamu kehormat dan pakar rujuk bidang, wakil kehormat Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada seminar kebangsaan dan antarabangsa dan pelbagai kemudahan lain.

Abdul Rahman yang lahir dalam keluarga bangsawan di Klang pada 18 Mei 1935 mula aktif berlakon sejak berumur 8 tahun bersama Kumpulan Diamond Star Opera.

Selepas itu beliau bersama bapanya, Bakar M menjadi penggerak kepada Kumpulan Bangsawan Rahman Star Opera of Klang. Selain mementaskan bangsawan dan menjelajah seluruh negara beliau turut terlibat dengan kerja kemasyarakatan.

Pada awal tahun 1950-an tokoh ini berhijrah ke Singapura dan menubuhkan Bangsawan Bintang Mas of Singapore, tetapi tidak mampu bertahan lama.

Selepas itu beliau mengasas penubuhan Kumpulan Bangsawan Bintang Timur yang turut bergiat di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia sehingga berjaya mementaskan 87 cerita bangsawan.

Secara keseluruhannya beliau berjaya mementaskan lebih 200 bangsawan ketika bersama kumpulan ini.

Pada ketika bangsawan menempuh zaman kejatuhan dan kumpulan bangsawan hampir pupus di negara ini, Abdul Rahman tidak pernah patah semangat.

Lantaran itu beliau terus berusaha menghidupkan seni pementasan ini termasuk menerbitkan beberapa cerita bangsawan untuk RTM.

Pensyarah sambilan di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ini juga pernah terlibat dalam penerbitan filem dengan Cathay Keris dan Studio Merdeka Hulu Klang.

Di ASK beliau diangkat sebagai Adiguru Bangsawan dan berpeluang mementaskan seni ini setiap tahun.

Malah beliau pernah diberi penghormatan untuk mengadakan pementasan bangsawan di Brunei sempena majlis pertunangan Putera Hasanal Bolkiah.

Pada penghujung tahun 1960-an beliau aktif berlakon filem seperti Amuk Tuk Nading, Kancan Tirana, Harimau Berantai dan Semambu Kuning.

Sementara dalam pengarahan bangsawan beliau pernah terlibat dengan pementasan Raja Laksamana Bentan, Haris Fadhillah, Bendahara Garang Perak, Alang Buana, Taming Sari dan Saudagar Rafuddin.

Sumbangan paling besar Abdul Rahman kepada seni pementasan ialah ketika bersama ayahnya menerajui Kumpulan Bangsawan Bintang Timur.

Beliau membuktikan kemampuannya apabila mengarah pelbagai jenis cerita seperti cerita mitos, cerita rakyat, cerita komedi, cerita beraja, cerita Jawa, cerita Arab, adaptasi Shakespearce, cerita Cina dan cerita Hindustan.

Antara cerita yang pernah dipentaskan ialah Jula Juli Bintang Tujuh, Bawang Putih Bawang Merah, Si Tanggang, Cik Mamat Pancing Ikan, Dandan Setia, Puteri Bunga Teratai, Megat Terawis Bendahara Perak, Damar Wulan, Sri Arjuna, Laila Majnun, Romeo Juliet, Chap Chi Po dan Menteri Jagat Singh.

Majlis penganugerahan Anugerah Seniman Negara akan diadakan pada 27 Februari ini pukul 8.30 malam dan akan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong di Hotel Sheraton Imperial.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.