saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 22/02/2004

Noktah pilu cinta Mazuin

DALAM membicarakan jodoh pertemuan kita tidak seboleh-bolehnya terlupa bahawa di hujung kedua-duanya ada perceraian. Sebagai manusia kita hanya mampu berharap dan berusaha yang terbaik melalui doa dan ikhtiar.

Sehinggakan kita merasakan setiap yang dipohonkan itu sesuatu yang terbaik dan tepat dalam hidup.

Sebetulnya, yang terbaik dan tepat bagi kita hanyalah yang ditakdirkan oleh Yang Maha Esa.

Sebagai manusia kita juga perlu akur dan reda bahawa setiap sesuatu akan sampai ke titik noktahnya.

Demikian jugalah ketentuan yang sudah ditakdirkan terjadi kepada jodoh bekas artis popular tahun 80-an, Mazuin Hamzah dengan adinda Sultan Brunei Darussalam, Pengiran Muda Sufri Bolkiah.

Kekuatan cinta yang bersemi bermula dari sepasang kekasih sehinggalah sebagai suami isteri yang terjalin selama hampir 17 tahun akhirnya rapuh juga.

Pengumuman secara rasmi perceraian Pengiran Muda Sufri Bolkiah dan Pengiran Bini Mazuin Hamzah disahkan oleh jurucakap Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam di sini dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia 17 Februari lalu.

Perkahwinan pasangan diraja itu telah berakhir dengan perceraian pada penghujung tahun lalu.

``Berita perceraian tersebut adalah benar dan mereka sekarang dengan haluan masing-masing,'' jelas kenyataan itu lagi.

Jurucakap itu membuat kenyataan berkenaan sebagai mengulas pojok Sejenak Bersama Huzz dalam Mingguan Malaysia minggu lalu.

Kenyataan itu turut memberitahu, Pengiran Sufri menganggap berita perceraiannya dengan bekas penyanyi kumpulan Quinnary M itu sebagai perkara yang cukup peribadi.

``Perkara ini adalah soal peribadi dan tidak semestinya Kerajaan Brunei Darussalam mengumumkan kepada peminat atau wartawan mengenai perceraian ini,'' kata kenyataan itu lagi.

Bermula dari detik perceraian, bekas isteri Pengiran Sufri hanya dikenali sebagai Hajah Mazuin binti Hamzah sebagaimana disiarkan di akhbar rasmi kerajaan (Pelita Brunei) 24 Disember 2003 lalu. Episod cinta penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Aku Ingin Dekat Kepadamu dan Cinta Palsu itu bermula pada 10 Julai 1987.

Pertemuan pertama di Villa Cinta Bersemi (kediaman Sufri di Jalan Ampang, Kuala Lumpur) itu memberi kesempatan kepada pasangan itu untuk bertentang mata antara satu sama lain.

Bagaimanapun, itu bukanlah pertemuan rasmi dengan Mazuin, sebaliknya, rombongan artis Malaysia yang menyertai Mekar Sejambak dipelawa untuk bermesra dengan Sufri sebelum rombongan itu dijemput ke Bandar Seri Begawan untuk meraikan baginda sempena majlis ulang tahun kelahirannya pada penghujung Julai 1987.

Rombongan artis Malaysia mendapat layanan yang cukup hebat dan Mazuin pula sudah tentu mendapat perhatian Sufri yang memastikan sambutan dan layanan kepada kekasihnya itu bertaraf lima bintang.

Sebelum Mazuin dan rombongan artis pulang ke Malaysia, Sufri memberanikan diri mengadakan pertemuan dengan artis wanita berkenaan yang ditemani ibunya, Maimon.

Di ruang pejabat di Istana Nurul Hana, Sufri secara gentleman menyuarakan hasrat hatinya untuk meminang Mazuin.

Berdasarkan laporan dalam majalah URTV, sebelum menyunting si genit itu, Sufri terlebih dahulu bertanyakan Mazuin apakah dia sudah mempunyai pilihan hati.

Tergamam dengan pertanyaan itu, Mazuin menggelengkan kepala. Maimon yang setia menemani puterinya itu juga ditanya oleh Sufri apakah beliau sudi untuk menerima kehadiran putera diraja itu sebagai menantunya.

Maimon lebih senang membiarkan keputusan itu dibuat oleh Mazuin sendiri kerana pada usia 23 tahun, wanita itu berpendapat, lebih baik anaknya sahaja yang menentukan masa depannya.

Kata sepakat dicapai, selang seminggu selepas pertemuan di Bandar Seri Begawan, Sufri berlepas ke Kuala Lumpur dengan jet peribadinya untuk melamar Mazuin.

Sekali lagi berita itu mendapat perhatian akhbar Utusan Malaysia yang berjaya mendapat pengakuan eksklusif Sufri yang mengesahkan baginda sudah melamar Mazuin.

Bibit cinta antara Mazuin dan Sufri mula berputik selepas detik itu sebagaimana bergulingnya musim-musim, hidup manusia direncahkan dengan peristiwa yang pelbagai.

Berbulan-bulan persiapan dilakukan sehinggalah majlis pernikahan dan persandingan berlangsung secara gilang-gemilang.

11 Disember 1987 menyaksikan dua hati disimpul menjadi satu.

Mazuin menjadi artis wanita pertama diangkat kedudukan sebagai permaisuri kepada kerabat diraja negara paling kaya di dunia.

Majlis perkahwinan pasangan ini kekal sebagai perkahwinan paling gemilang artis tempatan sehingga ke hari ini.

Namun, tiada siapa yang pernah menyangka kegemilangan majlis pernikahan itu berakhir dengan noktah yang cukup pilu.

Sehingga kini, Mazuin sukar untuk dijejaki bagi mendapatkan reaksinya.

Yang ada hanyalah catatan-catatan silam yang penuh dengan coretan manis Mazuin khususnya sebelum dia menduduki takhta di istana.

Mazuin tidak pernah meminta kehidupannya ditakdir sedemikian rupa tetapi hakikatnya musim-musim indah yang pernah dilewatinya sudah berakhir.

Barangkali catatan hidup Mazuin ada signifikannya dengan lagu Penjara Cinta nyanyiannya sebelum bergelar orang istana.

Sebahagian daripada kehidupan Mazuin diterjemahkan ke dalam lirik Penjara Cinta yang antara lain menyebut...

bagai merpati

Sepi disangkari

Tiada keindahan

Tak berteman

Tiada kebebasan

Tiada kedamaian

Hatiku berduka

Terpenjara...

Lirik penuh bermakna oleh Seri Bayu ini bagaikan menjelaskan segala-galanya mengenai kehidupan wanita bernama Mazuin Hamzah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.