saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 22/02/2004

Cinta tidak kenal siapa artis kahwin kerabat

MUKADIMAH:
Benarlah kata pujangga, cinta tidak pernah mengenal sesiapa, hadirnya juga tanpa dipaksa. Cinta abadi melepasi benua, menerobos tembok darjat dan melewati tirai keturunan.

Ketika cinta datang menyapa, enggang dan pipit boleh terbang bersama. Kisah cinta golongan kerabat diraja dan artis tidak pernah terlepas pandang oleh masyarakat.

Kerabat diraja Pahang mendahului senarai golongan bangsawan yang memilih golongan kebanyakan termasuk artis popular sebagai teman hidup.

Kontroversi yang dicetuskan oleh personaliti Normala Samsudin baru-baru ini mengenai lamaran daripada `orang istana' secara tiba-tiba menarik perhatian masyarakat dan mereka menjangka akan bertambahlah jumlah artis yang menjadi suri golongan bangsawan.

Apabila sudah bertemu jodoh dan cinta berbalas, perumpamaan lama enggang dan pipit tidak boleh terbang bersama sudah tidak relevan lagi.

Wartawan SAHARUDIN MUSTHAFA dan TENGKU KHALIDAH BIDIN membawa pembaca Pancaindera mengimbas semula sejarah perkahwinan dan percintaan golongan bangsawan dengan insan seni.

Norizan dan Sultan Perak:
Kisah cinta paling klasik di kalangan artis tempatan dan golongan bangsawan barangkali ada kaitannya dengan bintang filem Melayu, Allahyarham Norizan dengan Almarhum Sultan Perak, Sultan Yusof pada tahun 50-an.

Norizan disunting oleh Sultan Yusof bagi menyerikan istana baginda setelah terpesona dengan baik budi dan kejelitaan wanita berwajah Melayu klasik ini.

Bagaimanapun, tidak pula dicatatkan berapa tahun Norizan bertahan sebagai permaisuri Perak sebelum pasangan diraja itu bercerai.

Sebentuk cincin biru yang kini disimpan di Arkib Negara Malaysia adalah antara kenangan cinta Sultan Yusof kepada Norizan ketika kasih mereka bertaut.

Selepas berpisah dengan Sultan Perak, Norizan disunting menjadi isteri kepada seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Rumah tangga yang dibina itu juga tidak bertahan lama.

Ketika bersama Norizan, P. Ramlee mencipta lagu Tidurlah Wahai Permaisuri. Norizan menghembuskan nafas terakhir pada 15 Mei 1992.

Maria Menado dan Sultan Abu Bakar:
Pada 1963, primadona filem Melayu, Maria Menado dilamar oleh Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Seniwati yang berasal dari daerah bernama Menado di Indonesia itu memilih untuk bersara dari dunia seni dan menetap di bandar diraja, Pekan, Pahang selepas mendirikan rumah tangga dengan Sultan Abu Bakar.

``Saya tidak pernah menyesal dengan apa juga yang terjadi kerana semua ini ketentuan Allah. Malah saya rasa cukup bahagia ditemukan jodoh dengan almarhum, seorang suami yang penyayang dan pandai menjaga hati saya,'' ujar Maria dalam satu temu bual pada September 1996.

Perkahwinan kedua Maria dengan Almarhum Sultan Abu Bakar dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Tengku Norashikin, Tengku Idris dan Tengku Baharuddin.

Cinta Sultan Abu Bakar kepada Maria dibawa sehingga ke penghujung hayat baginda. Semenjak kemangkatan Sultan Abu Bakar, Maria hidup bersendirian bertemankan anak-anak sebelum bertemu jodoh dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Dr. Mohd. Husain Yusof pada 1978.

Rafeah Buang dan Tengku Asmawi:
Kisah kerabat diraja berkahwin dengan artis tidak berakhir dengan kemangkatan Sultan Abu Bakar. Catatan bahagia artis dan kerabat diteruskan dengan perkahwinan artis jelita angkatan 60-an, Rafeah Buang dengan kerabat diraja Pahang, Datuk Tengku Asmawi Tengku Hussain.

Selepas melalui musim-musim cinta, Rafeah dan suaminya memilih untuk menoktahkan kisah cinta mereka ke gerbang perkahwinan pada 1971. Cinta pasangan ini juga hanya berakhir dengan kematian. Rafeah menghembuskan nafas terakhirnya pada 24 Julai 2002 kerana serangan kanser buah dada.

Selain lemak merdu suaranya mengalunkan lagu Udang Sama Udang dan Kenangan Di Rantau Abang, Rafeah juga dikenang sebagai isteri yang sangat setia dan tidak pernah bersikap meninggi diri biarpun hidup diselimuti kemewahan dan kebahagiaan.

Zuriat yang ditinggalkan oleh Allahyarham hasil perkahwinan ini ialah Tengku Ahmad Ashraff, Tengku Khairil Ashraf dan Tengku Amirul Ashraf serta seorang anak angkat, Nurul Iman Saleha.

Tengku Amirul Ashraf bagaimanapun meninggal dunia pada 1993 ketika berusia 11 tahun akibat kemalangan jalan raya.

Mazuin dan Pengiran Sufri:
Sinar gemilang dan kilau-kemilau majlis perkahwinan artis popular 80-an, Mazuin Hamzah dengan adinda Sultan Brunei, Pengiran Muda Sufri Bolkiah sehingga ke hari ini terus bermain di mata dan fikiran sesetengah peminat.

Bekas anggota kumpulan Quinnary M yang popular dengan lagu Cinta Palsu itu menggemparkan seluruh negara apabila dia dilamar putera diraja paling kaya di dunia itu.

Selain kisah cinta Mazuin dan Sufri mendapat liputan meluas di media, majlis pernikahan pasangan berkenaan yang diadakan di Istana Brunei juga diperkatakan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Pihak media yang berpeluang membuat liputan perkahwinan pasangan ini sudah tentu menganggap ia sebagai sebahagian daripada sejarah penting dalam kerjaya mereka.

Bagaimanapun, selepas berkahwin sukar untuk menjejaki pasangan ini. Tidak pernah ada sebarang berita dari istana mereka tersiar di mana-mana media, sehinggalah Suruhanjaya Tinggi Brunei di Kuala Lumpur baru-baru ini mengesahkan mereka sudah bercerai.

Sufri dan Mazuin disahkan bercerai pada Disember tahun lalu dan Mazuin kini hanya dikenali sebagai Hajah Mazuin Hamzah.

Azreen dan Tengku Kamaruzzaman:
Sejarah mencatat bahawa artis Malaysia paling muda yang berkahwin dengan kerabat diraja ialah Azreen. Azreen berkahwin dengan Datuk Tengku Kamaruzzaman ketika usianya mencecah 16 tahun.

Tengku Kamaruzzaman sebelum ini merupakan bekas suami kepada pelakon dan penyanyi bersuara lunak manja, Noreen Noor.

Paula dan Tunku Azudin:
SEBAGAI celebrity, Sharifah Paula Malai Ali atau lebih dikenali sebagai Paula Malai Ali tidak dapat menghindarkan dirinya daripada menjadi perhatian ramai.

Justeru, pernikahannya dengan kerabat diraja Kedah, Tunku Azudin Shah Tunku Anuar pada 23 September 2002 diumumkannya secara rasmi pada satu sidang media yang diadakan di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur beberapa hari sebelum upacara pernikahan dijalankan.

Paula terpikat pada kesederhanaan Azudin yang pada pandangannya sangat merendah diri dan tidak pernah memandang tinggi pada statusnya sebagai kerabat diraja negeri Kedah.

Gosip artis dengan kerabat diraja:
Dunia hiburan pernah dihiasi dengan gosip percintaan bintang filem terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud dengan salah seorang kerabat diraja pada pertengahan tahun 80-an.

Berdasarkan apa yang dilaporkan dalam majalah-majalah hiburan ketika itu, kisah cinta Fauziah atau Ogy dengan salah seorang kerabat diraja yang cukup popular, kacak dan bergaya itu cukup hangat dan sensasi.

Bagaimanapun cinta yang dibina tidak berakhir ke jenjang pelamin. Pancaindera difahamkan juga filem Suara Kekasih lakonan Ogy dengan Azmil merupakan filem yang menterjemahkan kisah cinta aktres tersebut dan lagu Kisah Cinta juga dikatakan sedikit sebanyak mempunyai pertalian dengan kekecewaan cinta antara dua hati.

Namun, sejauh mana kebenaran cinta beliau dengan golongan bangsawan itu, hanya Ogy yang mengetahuinya.

Pelakon berwajah kacukan pan-Asia, Julia Rais pula turut disunting oleh kerabat diraja Pahang. Khabarnya, Julia memilih untuk menetap di kota London sebaik sahaja sah menjadi isteri kedua kerabat diraja berkenaan.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman sebelum mengahwini Julita Aishah Abdul Latiff, bekas pramugari Singapore Airlines dalam satu sidang media pada 1999 pula mendedahkan kepada media mengenai hubungannya dengan pelakon wanita terkenal, Lydiawati.

Putera bongsu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah itu memberitahu, hubungan mereka terjalin selama lapan tahun sebelum baginda membuat keputusan untuk menarik diri dan memberi tumpuan kepada kehidupan barunya.

Beberapa tahun lalu, pelakon Kavita Kaur juga diheret sama ke gosip berhubung hubungannya dengan orang istana. Kavita yang juga seorang peragawati ternama tanah air dilihat sering menghadiri beberapa majlis formal dan tidak formal di istana.

Dalam satu temu bual Kavita pernah memberitahu media, dia tidak menafikan mempunyai hubungan baik dengan kerabat diraja.

Peragawati dan pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Zahnita Hussein Wilson, 19, telah melangsungkan pertunangannya dengan kerabat diraja Perak, Raja Razman, 33, awal minggu ini.

Percintaan mereka terjalin semenjak dua tahun lalu dan dijangka bersatu di jenjang pelamin pada penghujung tahun ini.

Paling terbaru, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dikaitkan dalam hubungan dengan personaliti terkenal tanah air, Normala Samsudin.

Normala dalam kenyataannya kepada media mendedahkan, dia sedang membuat pertimbangan mengenai lamaran salah seorang kerabat diraja dari negeri pantai timur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.