saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 30/03/2004

Pelajar mati dibelasah -- 14 penuntut tingkatan lima sekolah agama di Seremban direman


.


SEREMBAN 29 Mac - Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor, Ampangan di sini mati selepas dipercayai dibelasah oleh sekumpulan 14 pelajar senior di asrama sekolah itu, semalam.

Mangsa, Mohamad Farid Ibrahim, 16, dari Taman Desa Anggerik, Senawang, yang mengalami kecederaan serius pada kepala, usus dan hati meninggal dunia di Hospital Seremban pada kira-kira pukul 4.30 petang, hari yang sama.

Polis telah menahan 14 pelajar lelaki tingkatan lima sekolah berkenaan pagi ini untuk siasatan.

Perintah tahanan reman ke atas semua pelajar berusia 17 tahun itu telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Suhaila Haron memerintahkan kesemua mereka ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik, baru sebulan memasuki sekolah itu setelah memperoleh keputusan 5A, 2B dan 2C pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Sebelum ini dia belajar di SMKA As-Saidiyah, Taman Rashidah Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Abdullah berkata, laporan awal pihak sekolah menyatakan mangsa mengalami kecederaan setelah dikatakan terjatuh di bilik air sekolah itu pada kira-kira pukul 4 petang semalam.

``Mangsa meninggal dunia setelah dihantar oleh warden asrama sekolah itu ke hospital dan hasil siasatan serta pemeriksaan kesihatan mendapati kecederaan serius mangsa bukan disebabkan terjatuh dalam tandas tetapi kerana pergaduhan.

``Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif pergaduhan itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,'' katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan, Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Abu Hassan Ahmad enggan mengulas insiden itu memandangkan ia dalam penyiasatan polis.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd. Marzuki Ishak, 52, berkata, hasil bedah siasat hospital yang dimaklumkan kepadanya mendapati tengkorak Mohd. Farid retak manakala usus, hati serta pundi kencingnya pecah.

Menurut beliau: ``Anak saudara saya yang telah diikat kedua-dua tangan dan kaki, dipukul secara bertubi-tubi di seluruh badannya hingga menyebabkan tengkorak kepala retak, usus dan hati serta pundi kencingnya juga turut pecah.

``Pihak hospital yang sangsi dengan kesan kecederaan dalaman yang teruk yang dialami oleh mangsa telah memaklumkan kepada polis dan daripada hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul dengan kuat dengan menggunakan benda tumpul,'' dakwanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di sini hari ini.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Teknologi Pendidikan Pusat Sumber Pendidikan Selangor, turut terkilan dengan tindakan warden sekolah itu yang cuba berselindung dengan tidak menyatakan sebab utama kematian Mohd. Farid.

``Sebaliknya, warden berkenaan memberitahu bahawa Mohd. Farid, cedera kerana terjatuh dalam bilik air sedangkan dia telah menjumpai dan mengambil mangsa yang telah tidak sedarkan diri daripada katilnya di asrama.

``Keluarga kami amat sedih dan terkilan dengan pihak sekolah yang tidak peka dengan kejadian gangsterisme dan ragging di kalangan pelajar sekolah agama itu,'' katanya sebak.

Malah, tegas beliau, Mohd. Farid adalah seorang pelajar pendiam, lemah lembut dan amat menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

Kata beliau lagi, sejak memasuki sekolah agama itu, mangsa sering mengadu kepada kakak sulungnya mengenai budaya samseng dan ragging yang berleluasa membabitkan pelajar senior.

``Daripada apa yang dimaklumkan oleh rakan-rakan rapatnya, mangsa sedang berusaha memohon bertukar ke sekolah lain yang lebih baik kerana tidak tahan dengan perbuatan ragging pelajar senior terhadapnya dan pelajar junior,'' katanya.

Ibu mangsa, Norizan Ishak, 46, suri rumah dan bapanya Ibrahim Maadah, 49, seorang ahli perniagaan enggan mengulas kerana terlalu sedih dengan kematian anaknya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Makam Dato Said, Sikamat di sini pada pukul 2.30 petang ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Paroi, Bibi Sharliza Mohd. Khalid yang ditemui ketika menziarah keluarga mangsa, berharap Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan negeri serta Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, mengambil berat insiden itu bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.