saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 04/04/2004

Amir Uk's terima suratan takdir

Bersama Dean
NADA sedih kedengaran ketika perbualan Amir (Uk's) Rabu lalu. Biarpun cuba menyembunyikan kesedihan, namun air muka pada wajah Amir menceritakan segala-galanya.

Sebetulnya, Amir enggan bercerita kerana katanya, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk meminta simpati daripada masyarakat.

``Saya bersyukur kerana Tuhan memberi kekuatan kepada saya untuk mengharungi kesukaran ini. Saya begitu sayangkan anak saya.

``Saya sentiasa reda dan bermohon agar umurnya panjang dan diberi kesihatan yang baik dan saya akan terus berusaha untuk memulihkan keadaannya,'' kata Amir bercerita mengenai anak lelakinya, Muhammad Imran, 7, yang menghadapi masalah jantung.

Selain terpaksa menahan getir ujian takdir terhadap putera kesayangan, Amir juga berkesempatan meluahkan kepada saya dugaan untuk memulihkan semula populariti namanya selepas sekian lama tidak muncul dengan sebarang album baru.

DEAN: Hampir empat tahun Amir menyepi dan peminat sendiri seakan melupai Amir. Kenapa ini terjadi?

AMIR: Sebenarnya, selain ketiadaan album baru, saya juga lebih banyak memberi tumpuan kepada keluarga khususnya anak saya yang menghadapi masalah kesihatan. Anak saya, Muhammad Imran, masih perlu menjalani rawatan dan sepanjang empat tahun juga dia kerap masuk hospital dan dirawat. Itulah keadaan sebenar.

Keadaan ini sudah tentu menyebabkan populariti Amir menjadi suram?

Saya sudah tidak begitu mementingkan soal populariti apalagi kali terakhir saya muncul dengan album pada tahun 2000. Malang menimpa saya, tidak lama selepas itu, saya kemalangan menyebabkan orang semakin meminggirkan saya.

Saya reda dan berserah kepada-Nya kerana saya tahu ini semua sudah ditentukan. Dengan keadaan industri muzik tidak menentu dan ramai artis baru yang lahir menyebabkan peminat sudah melupakan saya. Saya tidak kisah kerana itulah putaran hidup sebagai artis yang harus saya tempuhi.

Amir pernah popular, album bersama Uk's terjual beratus ribu unit dan kini semua itu hilang dalam sekelip mata. Apakah semua itu mengecewakan Amir?

Realiti terhadap apa yang menimpa saya dan Uk's tidak mengecewakan saya kerana seperti yang saya katakan semua itu sudah ditakdirkan. Namun, kalau ditanya soal kekecewaan, saya ingin katakan keadaan itu dapat saya rasakan ketika berusaha mencari syarikat rakaman yang berminat untuk mengedarkan album terbaru saya.

Bayangkan, saya seperti perlu mengemis untuk mendapatkan kerjasama mereka mengedarkan album baru saya yang sudah saya siap jalani proses rakaman.

Tetapi, tidak ada langsung yang berminat. Sebaliknya, banyak pula persoalan yang mereka ajukan pada saya. Daripada hasil perbincangan, saya dapat membuat kesimpulan bahawa syarikat rakaman sudah tidak percaya dengan bakat seni yang ada dalam diri saya.

Saya tidak menafikan bahawa saya sememangnya bersedih tetapi pada masa yang sama, terpaksa akur dengan keadaan.

Amir masih menggunakan nama Uk's sedangkan Amir sudah bergerak secara solo. Apa sebabnya?

Sukar untuk saya memisahkan nama itu kerana ia bagaikan trademark buat saya. Saya sayangkan nama itu dan saya enggan Uk's terus hilang begitu sahaja.

Lalu bagaimana dengan album terbaru Amir?

Syukur, Life Records berminat untuk mengedarkannya dan album itu sudah pun dipasarkan. Album ini terlalu bermakna buat saya kerana ia diterbitkan oleh dua rakan iaitu Firdaus dan Aznan. Saya mengharapkan album ini akan mencapai kejayaan yang besar kerana pengisian lagu dalam album ini begitu berbeza dengan kemunculan saya sebelum ini.

Dua tahun saya ambil masa untuk menyiapkan rakaman album ini kerana dalam tempoh itu saya harus memberi tumpuan kepada anak saya. Saya tidak mahu mengabaikan dia kerana anak saya memerlukan saya pada setiap masa dan ketika.

Bagaimana dengan keadaan anak Amir ketika ini?

Dia memerlukan rawatan dan kerana itu saya harus bekerja keras mengumpul wang untuk membiayai rawatannya. Imran perlu menjalani sekali lagi rawatan dan doktor mengesyorkan agar ia diadakan di Australia. Kos perubatan amat tinggi dan saya serta isteri perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Imran kini berusia tujuh tahun dan saya perlu mengembalikan semula haknya sebagai kanak-kanak. Kalau dia terus sakit dia tidak dapat mengecap kebahagiaan seperti orang lain walaupun zahirnya orang tidak akan nampak dia sakit.

Maksudnya, selama empat tahun kebelakangan ini, masa Amir banyak diperuntukkan untuk Imran?

Saya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab saya sebagai bapa. Anak adalah amanah Tuhan.

Saya dapat rasakan bahawa hidup Amir cukup tertekan memikirkan Imran selain kerjaya seni Amir?

Sesiapa sahaja jika berada dalam kedudukan saya sudah tentu akan berasa tertekan. Tetapi saya tetap akan menunjukkan reaksi ceria kerana saya tidak mahu membawa masalah itu apabila keluar rumah.

Anak adalah amanah Tuhan dan saya akan berusaha dan terus berusaha untuk mengubati anak saya.

Terus terang saya sebenarnya lebih senang untuk tidak berbincang hal ini secara terbuka kerana bimbang andai orang menganggap saya meminta simpati masyarakat.

Secara jujur juga, selama ini tidak ramai rakan yang dapat merasakan apa yang sedang terbuku di hati saya. Mungkin, apabila diceritakan mengenai hal ini, saya harap lebih ramai orang yang akan memahami keadaan sebenar saya.

Jika ditanya soal kerjaya seni pula, saya masih ada minat dan akan meneruskan minat itu selagi ada kudrat, saya akan terus menyanyi.

Kerana itu juga, saya mengharapkan album terbaru saya yang sudah berada di pasaran ini akan mendapat sambutan yang baik daripada peminat.

Amir kecewa dengan perjalanan hidup Amir?

Kalau rasa kecewa sekalipun, saya tidak boleh menunjukkan rasa kecewa itu kerana sebagai ketua keluarga, saya harus memikul tanggungjawab. Saya bersyukur kerana Tuhan memberi kekuatan kepada saya untuk mengharungi kesukaran ini.

Apa yang menggembirakan Amir?

Apabila saya lihat Imran gembira. Saya akan seronok apabila dia dapat menjalani kehidupan seperti adik kembarnya, Muhammad Irman.

Semoga Amir terus tabah menjalani kehidupan ini.

Terima kasih dan doakan kesihatan anak saya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.