saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/04/2004

Dedah nama tarikat tidak sesat

Isu ajaran sesat bukanlah perkara baru bagi umat Islam di Malaysia. Ajaran sesat datang dalam bentuk penyelewengan akidah dan juga ajaran Islam yang sebenar. Terbaru ialah serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu kumpulan ajaran sesat yang bergelar Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol pada malam Khamis lalu di Paya Jaras, Selangor.

Majlis Agama Islam negeri mengadakan pelbagai operasi khas dalam usaha membanteras ajaran tarikat yang bercanggah dengan akidah Islam dan menyenaraikan kumpulan tarikat yang terpesong akidah dan sesat.

Yang menjadi tanda tanya, di manakah dan masih adakah ajaran tarikat yang benar dan tidak menyeleweng? Jika ia wujud di negara kita masa kini, yakni yang dipimpin oleh guru yang murshid untuk menjadi syarat kepada ajaran ini, maka rakyat harus diberi penerangan dan panduan agar tidak lagi teraba-raba mencari jalan dalam kegelapan.

Sebab naluri manusia dilihat semakin cenderung ke arah nilai-nilai Islam dan sikap untuk memperelokkan diri sebenarnya sesuatu yang baik dan berada di landasan yang betul.

Naluri manusia juga tidak dapat dihalang daripada mencari kemajuan rohani yang menjadi asas kepada pembersihan hati bagi mewujudkan tingkah laku yang baik seperti yang disarankan oleh Islam. Atas kehendak ini juga iblis yang sentiasa menunggu masa dan peluang untuk menyesatkan di atas pencarian kita kepada iman dan takwa, maka wujudlah pelbagai ajaran yang menyeleweng daripada landasan yang sebenar.

Untuk menolak terus amalan tarikat ini, kita sering diingatkan tentang empat aspek yang menjadi kesempurnaan dalam Islam iaitu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Kita juga sering mendengar jenis zikir yang terbahagi kepada dua iaitu zikir hasanah dan zikir darjat. Zikir darjat yang kita fahami tidak boleh dipelajari dari buku dan perlu melalui guru yang murshid, tanpa guru maka syaitanlah gurunya. Maka ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari kerana tersilap langkah, sesatlah akhirnya.

Bagi kumpulan tarikat yang jelas terpesong daripada syariat iaitu seperti mengamalkan sembahyang cukup sekadar berniat, bernikah tanpa saksi dan wali serta ajaran-ajaran lain yang jelas bertentangan dengan syariat, ia masih lagi dapat dinilai dengan akal yang waras.

Tetapi bagaimana pula untuk menilai sesuatu tarikat yang secara kasar tidak terpesong langsung ajaran dan akhlaknya seperti pengalaman peribadi saya suatu ketika dulu. Saya pernah melawat sendiri masjid-masjid yang asalnya merupakan gereja yang dibeli dan diubah suai menjadi masjid dan pusat pendidikan oleh kumpulan Tarikat Naqsyabandi di beberapa tempat seperti di St. Ann's Rd. dan Peckham di London.

Tarikat tersebut dipimpin oleh Syeikh Muhammad Nazim al-Haqanni dan mempunyai lebih lima puluh pusat di seluruh dunia termasuk di Malaysia dan saya tidak langsung menghidu apa-apa yang tidak kena, baik dari segi syariat mahupun akidah dan saya merasa kagum kerana kumpulan tersebut telah berjaya mengislamkan ramai orang Britain menerusi pemerhatian saya di sana.

Yang lebih menarik kumpulan tersebut mengutamakan kehalusan keperibadian Islam dan tidak bersetuju akan kegiatan keganasan dan menentang sekeras-kerasnya kumpulan berunsur militan. Ketika lawatan ke Malaysia oleh Syeikh Muhammad Hisham Kabbani, salah seorang pemimpin kumpulan itu yang berpusat di Amerika Syarikat, beliau turut mengeluarkan kenyataan akhbar dan memberi komen tentang kekaburan arah tuju generasi muda yang ketika itu dikejutkan dengan isu Black Metal.

Kata Syeikh Muhammad, tidak cukup kanak-kanak diajar membuat sesuatu perkara untuk balasan syurga dan neraka sahaja tetapi keikhlasan serta kemajuan rohani harus dititikberatkan. Tetapi kekaguman itu hanya sementara kerana selepas itu pihak RTM dalam segmen Ajaran Sesat telah menyenaraikan Tarikat Naqsyabandi Syeikh Nazim sebagai salah sebuah tarikat yang terpesong.

Untuk mengelakkan rakyat daripada ditipu oleh syaitan dan musuh-musuh Islam kerana keinginan dan kehendak rakyat ke arah nilai-nilai yang semakin baik dan murni, saya berpendapat ada baiknya pemimpin yang dipilih untuk memegang portfolio yang berkaitan dengan Islam dan kerohanian perlu mendalami, menjalani dan menitikberatkan bukan hanya ilmu syariat bahkan ilmu tasawuf, hakikat dan roh Islam itu sendiri.

Rakyat yang telah dipupuk semangat dan kecenderungan untuk menguasai ilmu perlu dibimbing ke arah jalan dan ilmu yang benar agar tidak mudah dipesongkan oleh ajaran-ajaran yang bercanggah dengan Islam sebenar.

Panduan kepada usaha untuk memajukan rohani dan mendapatkan kaedah penyucian jiwa daripada guru yang murshid seperti yang tertera dalam kitab Ihya Ullumuddin karangan Imam al-Ghazali perlu diperhalusi dan kumpulan-kumpulan tarikat yang benar dan tidak terpesong perlu disenaraikan kepada umum dan dibuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Tidak dapat kita nafikan dan seperti yang disarankan oleh Islam, penawar kepada segala kepincangan sosial adalah dengan jalan berusaha memajukan rohani, mengikis hijab hati agar terang dan yakin untuk melahirkan akhlak yang murni dan berhemah supaya menjadi insan yang dapat memberi contoh yang baik kepada anak-anak dan generasi seterusnya. - YUSOFF ZAKY OMAR, Alor Star, Kedah.

Kirim pendapat anda melalui emel: pendapat@utusan.com.my

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.