saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 06/04/2004

Dera isteri - Sayang bertukar benci

MUKADIMAH

Ungkapan, `siapa tidak sayangkan isteri', memang seringkali didengar, namun pada sesetengah lelaki ia sekadar gurauan semasa yang pastinya akan berubah apabila sayang bertukar menjadi benci.

Kehidupan berumah tangga ibarat kapal kecil di tengah lautan, sentiasa di lambong ombak dalam cuaca yang tidak menentu. Demikian juga dengan hubungan suami isteri.

Setiap isteri inginkan kebahagiaan ke akhir hayat bersama suami dan isteri yang dipilih, namun takdir kadang kala menjadi penentu kepada segala impian yang tidak kesampaian.

Harapan untuk hidup di sisi suami sebagai pelindung musnah apabila suami yang disangka penyayang dan bertanggungjawab rupanya panas baran dan menjadikan isteri sebagai bahan pelepas geram.

Wartawan Rosmah Dain menyelami perasaan seorang isteri yang ingin berkongsi pengalaman pahitnya menjadi mangsa dera suami bersama dikongsi dengan pembaca. Semoga ia dapat dimanfaatkan bersama.

Diana (bukan nama sebenar), dipertemukan dengan suaminya, Azlan (bukan nama sebenar) ketika sedang menuntut di sebuah Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA), manakala Azlan sudah bekerja.

Biarpun mengetahui lelaki yang didampingi itu seorang yang panas baran, namun Diana selesa berkawan dengannya, mungkin ketika itu hati telah terpaut. Yang buruk nampak indah belaka, manis dan menyeronokkan.

Disandarkan atas rasa cinta, mereka berdua akhirnya bertunang dan bernikah tidak lama kemudian.

Di peringkat awal pernikahan sudah ada tanda mendung di langit kerana panas yang diharapkan sampai ke petang rupanya hujan pula di tengah hari.

``Ketenangan yang saya kecapi hanya seminggu. Selepas majlis bertandang di rumahnya, saya telah dihadiahkan dengan penampar pertama, `' cerita Diana.

Alasannya terlalu remeh, kerana Diana tidak mahu berhenti daripada kegiatan teater di universiti, aktiviti yang menjadi minatnya.

``Saya enggan berhenti teater kerana kawan-kawan saya semuanya dari kumpulan tersebut, jika saya berhenti saya akan kehilangan kawan-kawan baik. Itu sahaja,'' tambah Diana dengan mata yang mula berkaca.

Tambahan pula kata Diana, selepas bernikah, dia berpindah ke rumah mentua atas permintaan suami. Mereka terus hidup dengan mertua walaupun pendapatan Azlan melebihi RM5,000 dan sepatutnya mampu menyediakan rumah kelamin.

Sudahlah begitu, suami pula sering menggunakan alasan agama untuk mendera perasaannya.

``Dia selalu berkata, berlakon teater dosanya lebih besar daripada berzina,'' ujarnya dengan nada sebak.

Sejak daripada itu kehidupan bahagia yang diidamkan oleh Diana menjadi semakin malap dari hari ke hari. Tubuhnya mula menjadi sasaran, dihentam bertubi-tubi sebagai pelepas geram.

``Kadang-kadang saya melawan juga, bertikam lidah membela diri. Namun makin saya melawan, kemarahannya makin menjadi-jadi. Saya tidak tahan lagi, setiap hari kena belasah, ditampar. Perasaan saya didera setiap saat. Jiwa saya menjadi semakin parah, `' katanya.

Ketika itu Azlan sedang galak belajar silat, apa lagi makin menjadi-jadilah marahnya.

``Bayangkan selepas saya diperlakukan seperti itu, bukan dia nak tolong saya sebaliknya dengan megah berkata, hebat juga ilmu aku ini,'' cerita Diana dengan sebak.

Kejadian itu menyebabkan dahi dan lutut Diana membengkak dan dia hampir pitam, malah turut mengalami tumpah darah.

``Ketika kejadian itu berlaku, saya tidak tahu saya sedang mengandung beberapa minggu, nasib baik bayi dalam kandungan saya dapat diselamatkan,'' tambahnya.

Menurut Diana tidak seorang pun di kalangan kawan-kawan Azlan yang tahu kekejaman suaminya terhadap dirinya kerana di mata mereka Azlan seorang lelaki yang baik, penyayang dan bersopan dan sanggup berkorban untuk kawan.

Apa yang menyedihkan lagi kata Diana, keluarga mentua malas untuk campur tangan kerana mungkin mereka menganggap ia perkara peribadi.

Bagaimanapun ibu mentuanya pernah menegur Azlan supaya tidak berbuat demikian tetapi tidak berkesan.

Sebaliknya, suami yang tidak berhati perut itu menggugutnya pula dengan kata-kata, jika dia menceritakan perbuatannya itu kepada orang luar nahas dia.

Tinggal harapan

``Malah dia pernah berkata, saya telah melakukan dosa besar jika memberitahu orang lain dan tempat saya adalah di dalam neraka jahanam,'' cerita Diana sayu.

Demi kerana sayang, Diana memendam rasa dan berharap agar Azlan akan berubah untuk menceriakan semula rumah tangga mereka. Namun, harapan hanya tinggal harapan, Azlan langsung tidak menampakkan tanda-tanda akan berubah sebaliknya semakin menjadi-jadi perangainya.

Diana tidak diberi perhatian dan dimanja seperti isteri-isteri lain yang sedang mengandung, alasannya isteri mengandung tidak boleh dimanja, bimbang anak yang bakal lahir akan mengada-ngada.

Dalam keadaan sarat mengandung Diana terus menanggung penderitaan, dimaki hamun, dicekik dan dihentakkan tubuh ke dinding hanya disebabkan dia meminta Azlan membuatkan susu kerana tidak mampu berdiri akibat sakit perut kerana gastrik.

Nasib baik kandungan sudah melebihi lima bulan, kalau tidak sudah pasti beliau keguguran.

``Ketika itu saya rasa nyawa saya seperti hendak tercabut. Hari-hari yang berlalu selepas itu saya tempuhi dengan perasaan yang cukup tertekan,'' katanya pilu.

Diana tidak menceritakan kesusahannya itu kepada keluarganya kerana merasa malu dan segan dengan mereka. Lagipun, kasihnya kepada Azlan mengatasi perbuatan yang dilakukan lelaki itu terhadap dirinya.

Kata Diana, Azlan bijak bermain kata-kata dan memujuknya setiap kali berlaku kejam terhadap dirinya.

Teringat lagi Diana bagaimana lelaki itu melutut dan menangis memohon ampun kerana berlaku kasar kepadanya. Marah macam mana pun, cair juga hati Diana untuk menerima dia semula.

``Hati isteri mana yang tidak sayu dan sedih melihat suami yang disayangi, memohon ampun sambil berlutut. Walaupun marah, akhirnya terpaksa menerima juga kerana sayang,'' jelasnya.

Selepas selamat bersalin Diana mengalami kemurungan (hampir gila meroyan). Manakan tidak, suami kurang ambil peduli dan membiarkan Diana menjaga bayi seorang diri semasa dalam pantang di waktu malam. Pada waktu malam, nasibnya baik kerana ramai yang membantu. Akhirnya Diana terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling bagi meredakan tekanan.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, selepas habis pantang, Diana mengalami satu lagi kejutan. Kali ini dia terjumpa surat nikah suaminya yang bernikah di selatan Thailand. Hancur luluh hatinya mengenangkan perbuatan suami yang sering meracuni hati. Diana akhirnya mendapat tahu Azlan bernikah dengan perempuan lain untuk menjayakan urusan perniagaannya.

Berita pernikahan Azlan itu membuka peluang kepada Diana untuk meminta dilepaskan, sayangnya ibu mentuanya pula masuk campur dengan memaksa Azlan menceraikan wanita tersebut.

Pada masa yang sama Azlan mengugut Diana tidak akan dapat berjumpa anaknya jika berpisah dengan Azlan. Menyedari dia harus bertindak untuk menyelamatkan diri dan anak yang tidak berdosa itu, Diana menghubungi dua orang pakciknya yang membantu membawa dia keluar daripada rumah mentuanya itu.

``Dua bulan saya hidup sendiri tanpa Azlan. Sepanjang tempoh itu Azlan ada datang beberapa kali merayu supaya kembali kepadanya tetapi saya nekad.

``Setiap hari dia menganggu saya dengan pelbagai janji, malah sanggup bersyarat taklik melalui sepucuk surat yang ditandatangani oleh kami berdua. Antara kandungannya dia berjanji tidak akan mengabaikan saya dan anak dalam apa jua keadaan dan tidak akan melakukan deraan mental serta fizikal,'' jelas Diana.

Jatuh sakit

Diana akui hatinya mudah cair terutama setelah dipujuk berkali-kali oleh Azlan. Atas dasar kasihan, ihsan dan belas serta demi kepentingan masa depan anak, Diana akhirnya kembali ke pangkuan Azlan dengan harapan lelaki itu akan berubah.

Malangnya, harapan tidak pernah kesampaian, Azlan tetap seperti dulu, kali ini dia tidak mencederakan secara fizikal sebaliknya melalui penderaan mental.

``Paling saya sedih kerana dia sanggup berdoa untuk melihat saya menjadi gila,'' kata Diana sebak.

Tidak cukup dengan itu dia juga sering menggugut untuk mencederakan diri dan keluarga Diana. Kerana terlalu sedih memikirkan nasibnya Diana akhirnya jatuh sakit dan dirawat di hospital kerana menghidap ketumbuhan dalam hidung. Dia tidak sanggup lagi menghadapi penderaan mental dari Azlan yang berkata: ``Awak ni sakit sebab banyak dosa dengan saya.''

Ketika inilah Diana teringatkan lafaz taklik yang telah mereka tandatangani bersama, sayangnya tidak ada saksi yang dapat mengesahkan kedudukan tersebut. Diana segera bertindak. Setelah menghubungi pejabat kadi, dia diminta membuat laporan polis untuk keluar dari rumah supaya tidak disabit nusyuz.

Sejak itu bermulalah tugas Diana naik turun mahkamah syariah untuk menuntut cerai taklik daripada Azlan.

Setelah menunggu hampir setahun setengah, akhirnya Azlan bersetuju menceraikannya kerana dia bertemu dengan wanita lain yang berjaya menambat hatinya.

Kini Diana merasa tenang walaupun hak mutaah, harta sepencarian, nafkah tunggakan dan juga hak penjagaan yang sepatutnya dia dapat selepas perceraian tidak di perolehi.

Kejadian yang menimpa menjadikan Diana serik untuk berkahwin lagi, apatah lagi untuk membina mahligai kali kedua.

``Selama empat setengah tahun saya menanggung derita dalam perkahwinan. Hidup bersama suami yang kaki dera bagaikan hidup di atas bom jangka kerana bila-bila masa sahaja ia boleh meletup.

``Lelaki jenis ini tidak pandai menggunakan pendekatan psikologi untuk mendapatkan apa yang diidamkan, tetapi menggunakan kekerasan sekiranya inginkan sesuatu,'' ujarnya.

Sehubungan itu Diana menasihati para isteri yang menghadapi masalah yang sama agar mendapatkan perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau persatuan hak-hak wanita bagi mengelak gangguan bekas suami.

Isteri yang tidak lagi sebumbung dengan suami boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (Interim Protection) supaya tidak diganggu dan diugut oleh suami.

Selain itu para isteri yang didera juga boleh mendapatkan bantuan daripada persatuan-persatuan wanita seperti All Women's Action Society (AWAM) di talian 03-78770224, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di talian 03-79563488, Women`s Crisis Centre (04-228 0342), Pusat Khidmat Bersepadu di hospital-hospital kerajaan serta mendapatkan perkhidmatan sokongan persatuan ibu tunggal dan sebagainya.

``Pastikan selepas didera ambil dan simpan sebanyak mana bukti, seperti gambar dan rekod untuk tindakan mahkamah pada masa akan datang.

``Pilihan untuk mendakwa suami ada pada tangan kita. Polis hanya akan mendakwa suami sekiranya pihak isteri membuat laporan dengan niat untuk mendakwa. Isteri juga berhak untuk melaporkan sebagai rekod kejadian untuk kegunaan masa hadapan tanpa niat untuk mendakwa.

``Serahkan bukti yang ada untuk menyokong kita,'' nasihatnya.

``Wanita perlu peka kepada keadaan keliling. Mereka harus membekalkan diri dengan mengetahui hak-hak dalam perkahwinan supaya tidak terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

``Walaupun hakikat perceraian amat perit, namun kesanggupan `menanti' untuk didera adalah satu perbuatan yang sia-sia, lebih-lebih lagi apabila mengutamakan kasih sayang terhadap suami yang tidak menghargai pengorbanan isteri,'' kata Diana.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:15
Asar 4:38
Maghrib 7:11
Isyak 8:26



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.