saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 11/04/2004

Prasasti Seni

PETANG esok, satu lagi pencapaian baru tahun 2004 akan dicatat dalam diari seni penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza. Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza akan melancarkan album terbaru, Prasasti Seni.

Prasasti Seni? Apa maksudnya? Sesuatu yang sudah dijangkakan.

Siti Nurhaliza dalam temu bual dengan Pancaindera memberitahu, Prasasti Seni membawa maksud tanda kewujudan.

``Lagu-lagu nyanyian Siti merupakan tanda kewujudan Siti dalam arena seni tanah air. Judul album berkenaan signifikan sekali untuk Siti meluahkan apa yang tersurat di hati Siti buat peminat-peminat tercinta,'' ujar Siti.

Mengikut perkiraan, Prasasti Seni merupakan album solo ke-10 Siti dan sudah tentu genre pop menjadi pertaruhannya kali ini.

Bermula tahun 1996 menerusi album Jerat Percintaan, si manis ini tidak henti-henti muncul dengan pelbagai album. Kemunculan Siti kali ini dilihat cukup berbeza dengan penampilannya sebelum ini.

Daripada senarai nama komposer yang terbabit dalam album ini, Siti membuat keputusan untuk bekerjasama dengan komposer muda dan berpengalaman.

Ada antara nama komposer yang sebelum ini tidak pernah menyumbang sebarang lagu untuk albumnya. Kata Siti, semua ini ada rasionalnya yang tersendiri.

``Perubahan amat penting dalam kerjaya seseorang artis. Siti juga tidak mahu terkecuali. Bekerjasama dengan komposer yang tidak pernah Siti kerja memberi pengalaman dan ilmu baru,'' kata penghibur itu lagi.

Aidit Alfian, Ajai, Helen Yap, Yasin, Andy (Flop Poppy), G-Nola, Iman Wan, Zuraini, Mohar dan Pongky dari Indonesia antara yang melahirkan karya untuk dimuatkan dalam Prasasti Seni.

Sasaran Siti kali ini, sudah tentu pasaran muzik yang lebih luas dan terbuka seiring dengan selera pendengar muzik masa kini.

``Siti mahu mengejar kemajuan dalam hidup dan itu juga sesuatu yang dituntut.

``Siti jangkakan, album ini akan memberi dimensi baru dalam kerjaya seni Siti dan sudah tentu juga ia menepati apa yang dikehendaki oleh peminat-peminat Siti,'' jelasnya.

Prasasti Seni menyaksikan Aidit mempertaruhkan dua buah lagu iaitu Dialah Di Hati dan Ku Menunggu.

Sandaran Ajai pula pada lagu Hanya Dirimu sementara Helen Yap tampil dengan karya Kembalikan Indah dan G-Nola dengan lagu Pejam Matamu.

Kali pertama Yasin memberi sentuhan gabungan muzik Arab yang dialunkan dalam irama R&B, Lagu Rindu untuk dinyanyikan oleh Siti.

Andy (Flop Poppy) tidak ketinggalan menyerahkan nota muzik Cahaya Seribu Liku buat Siti selain Iman Wan dengan Cinta Tak Berganti.

Komposer yang bermastautin di Amerika Syarikat, Zuraini pula menawarkan Siti lagu Pendirianku.

Seperti album Emas di mana lagu Bukan Cinta Biasa ciptaan komposer Indonesia, Prasasti Seni turut menyaksikan Pongky, komposer dari sana yang tampil dengan lagu Seindah Biasa.

Satu lagi karya yang akan memberi sentuhan baru untuk album Siti ialah lagu Sakti ciptaan Mohar yang sebelum ini pernah dirakamkan dalam bentuk instrumental.

Tanpa penglibatan komposer-komposer senior seperti lazimnya yang dilakukannya dalam album-album sebelum ini, Siti memberitahu, dia tidak pernah menafikan kehebatan dan reputasi mereka.

``Siti tidak pernah mengetepikan mereka. Cuma kali ini, Siti ingin sesuatu yang lain.

``Pada masa depan, sudah tentu Siti akan bekerjasama dengan mereka lagi,'' jelasnya jujur.

Sebanyak 11 lagu yang dimuatkan dalam album ini juga sesuatu yang baru yang tidak pernah dilakukan dalam mana-mana album solo Siti.

``Siti sengaja mahu menampilkan 11 buah lagu kerana tidak mahu mengetepikan lagu-lagu yang terbaik.

``Selain lagu, terdapat introduksi Siti dan juga monolog Prasasti Seni dalam album kali ini,'' katanya sambil memberitahu dia berdebar menanti reaksi peminat-peminatnya.

Secara peribadi, Siti melihat fokus albumnya kali ini lebih kepada irama muzik kontemporari yang menjadi trend pasaran.

Album ini merupakan antara kepuasan Siti dalam bidang seni apabila dapat mencurahkan segala keinginan di dalamnya.

Kata Siti, dia telah berusaha yang terbaik untuk memuaskan hati semua pihak walaupun Siti sedar, setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza.

``Album ini adalah himpunan untuk pelbagai cita rasa dan besar harapan Siti agar setiap lagu dalam album ini akan memberikan kepuasan kepada peminat-peminat apabila mendengarnya kelak,'' ujarnya.

Prasasti Seni sebetulnya juga diilhamkan daripada hasrat murni Siti untuk memberi peluang kepada peminat-peminatnya menterjemahkan perkembangan kerjaya nyanyian menerusi kaca mata mereka.

Bersesuaian dengan kemunculan Siti bersama album terbaru, Pancaindera diberi kesempatan menyiarkan foto diva pop muda itu ketika dia menjalani fotografi kulit album tidak lama dulu.

Foto-foto Siti sudah pasti akan membuatkan ribuan peminat setia gadis manis berusia 25 tahun itu terpukau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.