saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 11/04/2004

Sure heboh di Kuching memanglah heboh

MENGHIMPUNKAN hampir setengah juta penonton dalam sebuah karnival barangkali bunyinya agak angkuh. Namun itulah yang dicapai oleh TV3 semasa menganjurkan Karnival TV3 Sure Heboh di Kuching, Sarawak, minggu lalu.

Hampir setengah juta rakyat Sarawak hadir membanjiri Padang Merdeka, Kuching. Karnival selama dua hari itu ternyata mencatat kejayaan yang cukup manis buat TV3.

Kunjungan kali pertama TV3 ke negeri bumi kenyalang itu dianggap mencatat rekod tersendiri apabila berjaya mengumpul penonton yang sebanyak itu.

``Kejayaan ini amat bermakna sekali buat kami kerana tidak pernah kami menyangka akan mendapat sambutan luar biasa seperti ini,'' kata Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Farid Ridzuan ketika ditemui sejurus selepas berakhirnya Karnival TV3 Sure Heboh di Kuching.

Selain mencatatkan jumlah pengunjung, penduduk Sarawak juga menyumbang kutipan wang tertinggi iaitu sebanyak RM32,000 untuk disalurkan kepada golongan kurang upaya menerusi Tabung TV3 Bersamamu.

Jika kejayaan itu diukur sebagai tanda sokongan rakyat terhadap stesen tersebut, apa yang lebih utama kata Farid, TV3 secara khususnya begitu gembira kerana Karnival TV3 Sure Heboh ini menjadi manifestasi merapatkan hubungan antara TV3 dengan penonton-penontonnya.

``Penganjuran Sure Heboh lebih tepat ke arah merapatkan hubungan TV3 dengan masyarakat penonton kerana selama ini mereka kurang ada kesempatan untuk berdampingan dengan stesen ini.

``Saya harus berterima kasih bagi pihak TV3 kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada kejayaan kami,'' ujarnya lagi.

Sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-20 TV3, Farid menyasarkan, penganjuran Karnival TV3 Sure Heboh ini akan memberi manfaat yang besar kepada TV3 untuk menarik perhatian jumlah penonton yang lebih besar selain faedah yang ditawarkan kepada penonton-penonton TV3 untuk lebih mendekati stesen itu.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan Karnival TV3 Sure Heboh di Kuching, Sarawak, Farid berkata, faktor utama yang menyumbang ke arah kejayaan itu ialah disebabkan sokongan padu kerajaan negeri Sarawak terhadap penganjuran berkenaan.

Farid memberitahu, hubungan akrab yang terjalin antara TV3 dengan kerajaan negeri itu telah memastikan penganjuran Karnival TV3 Sure Heboh itu mencapai matlamatnya.

Lantaran daripada itu juga, Farid tidak menolak kenyataan, TV3 bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri itu dalam mana-mana projek khususnya yang melibatkan kerjasama yang berkaitan dengan sektor pelancongan.

Kejayaan Karnival TV3 Sure Heboh di Kuching juga, menarik perhatian Farid yang membuat kejutan dengan mengumumkan kesediaan TV3 untuk menganjurkan pertandingan Juara Lagu di negeri itu seandainya suasana dan keadaan mengizinkan.

Pengumuman itu mengejutkan bukan sahaja rakyat Sarawak, pihak media yang diterbang khas ke Kuching selain hampir kesemua kakitangan TV3 yang bertugas di sana sepanjang mereka berkampung di negeri itu.

Menjelaskan hal itu, Farid berkata, pengumuman itu bukan satu kejutan, sebaliknya, ia boleh menjadi kenyataan seandainya persetujuan dicapai antara pihak yang terbabit.

``Ia sesuatu yang menarik untuk mengadakan Juara Lagu di sini,'' jelasnya ringkas tetapi penuh bermakna.

Ekoran perubahan iklim politik negara khususnya selepas pilihan raya baru-baru ini, Farid memberitahu, TV3 juga merancang untuk menganjurkan karnival yang serupa di negeri pantai timur, Terengganu.

``Kami sedang mengadakan perbincangan dengan pihak di sana dan kalau semuanya jadi kenyataan, bukan sesuatu yang mustahil, untuk TV3 berkunjung ke sana pula,'' kata Farid lagi.

Populariti Karnival TV3 Sure Heboh di seluruh negara, khabarnya turut mendapat perhatian masyarakat di negara jiran, Brunei Darussalam yang telah menawarkan TV3 peluang untuk menganjur karnival tersebut di sana.

Menurut Farid, TV3 menerima undangan daripada kerajaan di sana untuk menganjurkan karnival yang serupa seperti yang dianjurkan di Malaysia.

``Permintaan mereka amat menarik perhatian kami. Bagaimanapun, persiapan untuk ke sana harus diadakan dengan lebih rapi dan kami akan mengadakan kerjasama dan perbincangan yang lebih teliti dengan pihak kerajaan di sana,'' jelas beliau lagi.

Selain pelbagai acara dan aktiviti yang diatur khusus untuk mendapatkan penglibatan pengunjung, Karnival TV3 Sure Heboh juga turut menawarkan acara hiburan yang hebat.

Rombongan artis ternama dari Semenanjung serta artis-artis popular yang berasal dari Sarawak mengadakan persembahan sempena karnival itu mendapat sambutan luar biasa.

M. Nasir, Ella, Ning Baizura, Yassin, Vince, Waheeda, Camelia, Dayang Nurfaizah, Deja Moss, Fran, Ezlynn dan ramai lagi artis lain yang diundang mengubat kerinduan masyarakat di sana.

Pada 17 dan 18 April ini pula, TV3 akan berkunjung pula ke Alor Star, Kedah untuk berkampung di sana dan bertemu dengan lebih dekat penonton-penonton di negeri Jelapang Padi itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.