saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 05/05/2004

Mangsa ceritakan detik ngeri dipanah petir

BENTONG 4 Mei - Seorang mangsa kejadian disambar petir di Gunung Rajah, Bentong memberitahu, tubuhnya mudah melecur disebabkan terdedah kepada air hujan sebelum peristiwa ngeri itu berlaku.

Mohd. Rahmad Razali, 32, berkata, dia terus pitam sejurus selepas dipanah petir. Sebaik sedar, dia dapati bahagian tubuhnya yang menyentuh permukaan lembap melecur tetapi kakinya yang diletakkan di atas pelapik kering tidak pula mengalami luka.

Mohd. Rahmad yang merupakan seorang pekerja kilang berkata, selepas letupan itu, keadaan amat mengerikan dengan bau tubuh manusia terbakar dan hampir semua pendaki tidak sedarkan diri.

``Sebelum disambar petir, saya duduk berlindung dalam khemah kerana malam itu hujan lebat dan suasana lembap,'' katanya ketika ditemui di wad Hospital Bentong hari ini.

Kejadian itu berlaku sewaktu hujan ribut serta kilat sambar-menyambar malam kelmarin di Gunung Rajah sehingga mengakibatkan dua orang pendaki maut manakala 21 lagi cedera.

Mereka yang terkorban ialah seorang pengurus kewangan sebuah kilang di Nilai, Mohd. Nazim Ibrahim, 35, dan penuntut Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP), Ahmad Shah Jaffar, 23, dari Mempaga 3, Bentong.

Mohd. Rahmad berkata, dia juga berusaha memanaskan muka dan badan Mohd. Nazim sebelum rakan sekerjanya itu menghembuskan nafas terakhir dua jam kemudian.

Katanya, ketika itu Allahyarham dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan seluruh badannya sejuk.

Dia juga melihat bahagian atas tubuh mangsa melecur teruk terutama di muka, tetapi separuh badannya ke bawah tidak mengalami apa-apa luka.

``Ini kerana saya percaya Allahyarham memakai selimut ketika kejadian.

``Saya kemudian memanaskan mukanya dengan tangan dan kain,'' katanya.

Mohd. Rahmad berkata, dalam keadaan genting itu, dia dapati denyutan nadi Mohd. Nazim semakin lemah dan akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira pukul 2 pagi.

``Apa yang menyedihkan sebelum kejadian Allahyarham ada memberitahu keinginan untuk membawa isteri dan anak-anak mendaki gunung pada masa depan,'' jelasnya dengan nada sebak.

Seorang lagi anggota ekspedisi, Mohd. Ridzuan Yusoff, 25, berkata, ketika kejadian itu, dia sedang berbual dengan rakan-rakan selepas makan malam di luar khemah.

Katanya, dalam kejadian itu, dia tidak sedarkan diri sehinggalah terjaga kira-kira pukul 10 malam dan terasa seluruh badan pedih dan kebas.

``Ia berlaku sangat cepat dan saya tidak dapat ingat apa-apa,'' katanya.

Menurut Mohd. Ridzuan, sebaik sedar dia mendengar suara orang menjerit dan menangis sambil meminta tolong di sekitar kawasan perkhemahan.

Dalam kejadian itu, dia mengalami sedikit kelecuran di belakang leher dan badan.

Sementara itu di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang mangsa, Wan Sharizan Wan Yusof, 18, memberitahu, kejadian itu menyebabkan beberapa bahagian tubuhnya seperti muka, belakang badan dan tangan melecur.

``Pada waktu itu, saya sedang berteduh di dalam khemah rakan kerana khemah telah roboh,'' katanya ketika ditemui di wad HKL hari ini.

Katanya, ekspedisi itu adalah pengalaman pertamanya mendaki gunung.

Seorang lagi pendaki yang dirawat di HKL, Muhd. Azrol Khatib, 18 mengaitkan tin makanan yang dicampakkan mungkin menarik aliran elektrik sehingga menyebabkan kawasan itu disambar petir.

``Saya turut tercampak 10 meter dari tempat asal, tetapi tidak pengsan dan masih sempat melihat dua rakan tercampak ke dalam gaung,'' katanya.

Dalam pada itu, Rohani Rashid, ibu kepada seorang mangsa, Mohd. Nor Azwan Nor Azhari, 17, menceritakan pengalaman anaknya yang bertugas sebagai juru pandu buat kali kelima ke puncak gunung itu.

Katanya, sewaktu kejadian, anaknya sedang membaiki khemah kerana hujan lebat.

Menurutnya, Mohd. Nor Azwan sedang menimba air yang bertakung dalam khemah yang bocor sebelum petir menyambar kira-kira pukul 9.30 malam.

Kejadian itu menyebabkan mangsa melecur di muka, leher, depan dan belakang serta baru sedar daripada pengsan di wad HKL.

Seorang mangsa dari Damansara, Mohd. Nizam Abu Bakar, 27, menyifatkan kejadian tersebut mimpi ngeri selepas menempuh banyak pengalaman mendaki gunung di seluruh negara.

``Ketika kejadian saya berada di dalam khemah selepas makan malam.

``Hujan mula turun pukul 6 petang dan bertambah lebat kira-kira pukul 8 malam dengan petir sabung-menyabung dan akhirnya menyambar kawasan khemah kami,'' katanya.

Dia melecur di belakang tubuh dan sedar sejam kemudian.

Sementara itu, Sofian Mohd. Nor, 30, yang berkongsi khemah dengan Ahmad Shah Jaffar, 24 yang meninggal dunia dalam kejadian itu, berkata, khemah mereka hanya mempunyai atap plastik, tetapi tidak berdinding.

Katanya, letupan itu berlaku sebaik sahaja mereka selesai menikmati hidangan makan malam bersama Ahmad Shah dan Mohd. Nazim Ibrahim, 24 yang turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

``Apabila sedar, muka saya tertangkup ke tanah, perut juga sakit dan seluar sukan berlubang-lubang,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.