saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/05/2004

Siti Nurhaliza - Lagu Mandarin untuk pasaran Taiwan

KETEPIKAN perasaan cemburu dan inilah masanya untuk industri hiburan negara berbangga dengan satu lagi pencapaian yang dilakar oleh penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza di peringkat antarabangsa.

Acara Golden Melody Award yang dianjurkan di Taipei, Taiwan minggu lalu, membuka pintu yang luas untuk Siti mewakili artis Melayu meneroka pasaran muzik di sana.

Seiring dengan Anugerah Kembara yang diterima pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) bulan lepas, pengiktirafan itu begitu signifikan sekali dengan cabaran baru yang dirintis si manis berusia 25 tahun itu.

Sekembali dari menghadiri acara anugerah hiburan itu, Siti yang ditampilkan sebagai penyampai anugerah serta mengadakan persembahan di samping penyanyi nombor satu Taiwan, Wang Li Hon, Siti sempat berkongsi pengalaman manis yang dikutipnya di sana dengan Pancaindera.

``Siti benar-benar terkejut dengan maklum balas yang diberikan oleh masyarakat di sana. Mereka begitu terbuka menerima kemasukan penyanyi asing.

``Siti melihat ada kewajarannya usaha ini diteruskan juga oleh artis Malaysia yang lain kerana masyarakat Taiwan tidak prejudis dengan bakat seni orang luar,'' kata Siti kepada Pancaindera.

Kata Siti, melihat sambutan yang memberangsangkan di sana, dia bersedia untuk memberikan komitmen terhadap usaha susulan.

Usaha susulan yang dimaksudkan Siti berkait rapat dengan perancangan syarikat rakamannya, Suria Records Sdn. Bhd., yang bakal mengedarkan albumnya di sana.

Bukan lagu Melayu, sebaliknya, syarikat rakaman itu akan merintis usaha memasarkan bakat seni Siti bersandarkan lagu Mandarin.

Menjelaskan lebih lanjut perancangan ini, Pengarah Urusan Suria Records Sdn. Bhd., Tan Su Loke memberitahu Pancaindera, buat permulaan, pihaknya terpaksa akur dengan kehendak pasaran muzik Taiwan.

Bahkan, rakan muziknya di negara itu turut berpendapat, permulaan usaha berkenaan akan memberi manfaat jangka panjang bagi artis Melayu seperti Siti untuk mendominasi pasaran bukan sahaja di Taiwan bahkan ia mampu untuk berkembang sehingga ke Hong Kong dan China.

``Idea berkenaan dilontarkan oleh rakan perniagaan saya di sana yang melihat kemampuan Siti. Selepas lagu Mandarin, akan menyusul pula usaha menjual lagu Melayu nyanyian Siti di sana.

``Kini, saya sedang bekerja keras mengukuhkan lagi rangkaian hubungan perniagaan itu. Saya berjanji pada diri saya dan pada Siti sendiri untuk memastikan usaha ini tidak terbantut di pertengahan jalan,'' ikrar Su Loke yang bersungguh-sungguh mahu menjaja nama artisnya di peringkat global.

Selain optimis dengan idea rakan perniagaannya di sana, Su Loke juga berkata, rasional menawarkan Siti peluang merakamkan lagu Mandarin dibuat selepas mendapat maklum balas daripada penggiat seni di negara itu ketika menghadiri majlis anugerah yang diadakan di sana.

Su Loke berkata, sebilangan besar penggiat seni di negara itu kagum dengan kebolehan Siti menguasai nyanyian lagu Yue Liang Dai Biao Wo De Xin (duet bersama Wang Li Hon) yang pernah dipopularkan oleh Teresa Teng dan lagu solo Zheng Fu yang pernah dipopularkan oleh Na Ying.

Apa yang turut mengharukan Su Loke juga ialah, media Taiwan turut mencabar Siti merakamkan lagu Mandarin kerana usaha tersebut dilihat mereka sesuatu yang positif untuk masa depan karier seninya.

``Buat permulaan saya jangkakan Siti akan muncul dengan album mini Mandarin. Saya juga akan mendapatkan kerjasama komposer Taiwan untuk bekerjasama dengan komposer Malaysia dalam projek istimewa ini,'' ujar Su Loke lagi.

Su Loke mengharapkan, masyarakat Malaysia khususnya peminat-peminat Siti Nurhaliza tidak mempertikaikan kenapa Siti harus merakamkan lagu Mandarin untuk pasaran negara itu.

``Cita-cita saya untuk memasarkan lagu Melayu nyanyian Siti tidak pernah terpadam, sebaliknya, saya akan tetap bekerja keras untuk merealisasikan usaha itu.

``Cuma, yang membataskan saya barangkali hanyalah persoalan masa, namun percayalah, satu hari nanti Siti tetap akan muncul dengan lagu Melayu di situ,'' janji Su Loke.

Mengulas perancangan Su Loke, Siti memberitahu Pancaindera, dia menyerahkan urusan berkenaan kepada kebijaksanaan pengarah urusan syarikat rakaman itu untuk melakukan yang terbaik buat karier seninya.

``Berdasarkan pemahaman dan apa yang Siti perhatikan, penerimaan masyarakat Taiwan terhadap artis luar amat memberangsangkan dan kita harus merebut peluang yang sudah tersedia di depan mata untuk dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan industri hiburan tanah air,'' jelas Siti.

Kesempatan bertemu penyanyi nombor satu Taiwan, Wang Li Hon memberi peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan kerjaya seni masing-masing.

Pada pertemuan singkat selepas mengadakan persembahan, Li Hon ujar Siti, sempat bercerita keseronokannya berkunjung ke Malaysia ketika mengadakan persembahan di Pulau Pinang dan Kuching, Sarawak.

``Li Hon sudah beberapa kali ke Malaysia dan dia mempunyai sedikit sebanyak gambaran mengenai industri muzik di Malaysia,'' jelas Siti.

Selain Li Hon, pertemuan dengan penyanyi ternama Thailand, Tata Young juga memberi kesempatan kepada mereka untuk mengenali diri masing-masing.

Empat hari di Taipei, selain terikat dengan persembahan pada acara majlis anugerah itu, Siti juga tidak henti-henti sibuk memenuhi undangan temu bual dengan pihak media.

Peluang yang manis buat Siti sudah tentu penerbitan rancangan khas setengah jam bersama Siti terbitan stesen televisyen Azio TV.

Program itu akan menyiarkan sepenuhnya catatan perjalanan Siti selama di Taipei dan krew penerbitan program itu telah membuat liputan ke mana sahaja Siti berada sepanjang di sana.

Antaranya, mereka membuat liputan kunjungan Siti ke salah sebuah masjid tertua di Taipei.

Tidak ketinggalan, ketika rombongan Siti menjamu selera di restoran halal turut dimuatkan dalam program yang disiarkan di stesen televisyen selain temu bual eksklusif mengenai gaya hidup Siti sebagai artis muslim yang disegani di Malaysia.

Kunjungan singkat ke Taipei, turut membawa Siti peluang berkunjung ke tempat-tempat menarik di bandar raya itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:10
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.