saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 30/05/2004

BISIK-BISIK MINGGUAN -- AWANG SELAMAT

KU LI NAK BERTANDINGKAH?
SUNGGUHPUN masa sudah beredar jauh, Tengku Razaleigh Hamzah, veteran UMNO yang hampir-hampir menjadi Presiden pada 1987, masih bersuara dalam nada yang sama.

Awang tertanya-tanya apa maksud dan apa tujuan beliau menyatakan Majlis Tertinggi tidak mempunyai hak untuk memutuskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan September akan datang.

Apakah beliau menyimpan hasrat untuk bertanding? Atau beliau sekadar menyatakan pandangannya dari sudut perlembagaan parti dan atas dasar prinsip? Hanya beliau yang tahu.

Pun begitu, kenyataannya tetap menarik perhatian sungguh pun ia tidak ditonjolkan oleh akhbar.

Mungkin Tengku Razaleigh tidak mahu keputusan MT itu dilihat sebagai menafikan hak ahli. Mungkin juga beliau tidak mahu prinsip demokrasi dalam parti terhakis.

Apa pun, semua ahli UMNO tahu bahawa mereka masih boleh mencalonkan sesiapa sahaja yang mereka mahu untuk bertanding apa juga jawatan bila mesyuarat bahagian bermula nanti.

Pendirian MT adalah pendirian MT. Ia tidak menidakkan hak bahagian. Ini jelas dan terang.

Selama ini pun nasihat MT bukannya sentiasa didengar. Tengku Razaleigh tentu lebih tahu.

Lagi pun, setelah mencapai kemenangan luar biasa pada pilihan raya umum lalu, Awang tidak nampak sebab kenapa kedua-dua jawatan itu hendak direbut. Kecualilah ada yang berfikiran sebaliknya - pilihan raya soal lain; pemilihan parti soal lain.

PAHAT TERUS BERBUNYI
SEPERTI yang dijangka kegagalan bukan bumiputera untuk mendapat tempat dalam fakulti perubatan dan pengajian sains yang lain di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pengambilan 2004/05 terus dijadikan isu.

Ini jelas ditunjukkan dalam cara laporan akhbar dibuat. Akhbar (mengikut bahasa) tidak dapat menyembunyikan kecondongan masing-masing. Juga tidak dapat disembunyikan ialah unsur perkauman dalam perkara ini, dari zaman sistem kuota hinggalah ke tahun ketiga sistem meritokrasi diguna pakai.

Semasa sistem kuota, rasa tidak puas hati bukan bumiputera diluahkan secara terbuka dan menjadi duri dalam daging. Malah, bermacam-macam tohmahan dibuat termasuk dakwaan `sesuatu' dilakukan untuk melayakkan pelajar bumiputera memasuki universiti awam.

Bila sistem meritokrasi dimulakan pada tahun 2002, terdapat kebimbangan pelajar bumiputera akan menjadi kumpulan minoriti dan bukan Melayu menjadi majoriti di kampus-kampus. Atau, bumiputera hanya dapat mengisi tempat dalam aliran sastera.

Tapi ini tidak berlaku. Di bawah sistem meritokrasi, bilangan bumiputera yang berjaya memasuki universiti lebih tinggi daripada di bawah sistem kuota 55 peratus bumiputera; 45 peratus bukan bumiputera.

Pada tahun pertama meritokrasi diguna pakai, 68.9 peratus pelajar bumiputera berjaya melangkah ke universiti. Pelajar Cina 26.4 peratus manakala India 4.7 peratus. Pada tahun kedua, Melayu 62.6 peratus; Cina 32.2; India 5.2. Dan pada tahun ini bumiputera 63.8 peratus; Cina 30.3; India 5.9.

Bilangan keseluruhan pelajar Cina menurun sedikit tahun ini. Bagaimanapun jumlah bukan isu. Yang menjadi isu ialah kegagalan mendapat tempat di fakulti-fakulti pilihan iaitu perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan elektronik, kejuruteraan kimia, undang-undang dan perakaunan.

Bagi kemasukan tahun akademik 2004/05, bilangan pelajar bumiputera yang berjaya mendapat tempat di fakulti-fakulti yang menjadi rebutan itu telah meningkat dengan agak ketara. Bumiputera menguasai fakulti perubatan, pergigian, kejuruteraan elektronik, kejuruteraan kimia serta perakaunan. Pelajar Cina terus menguasai fakulti undang-undang dan farmasi.

Hakikat ini tentunya akan menarik banyak perhatian. Sudah tersiar cerita-cerita pelajar bukan bumiputera yang mencapai pencapaian maksimum dalam STPM dan matrikulasi tetapi tidak mendapat pengajian yang mereka minta, sebaliknya diberikan pengajian yang langsung tidak diingini.

Sekali lagi akan timbul tohmahan bahawa pelajar Melayu, walaupun layak dari segi akademik, `dibantu' untuk membolehkan mereka mendapat lebih banyak tempat.

Ertinya, sistem meritokrasi juga dipersoalkan.

BILA MERITOKRASI DIPERSOALKAN
MASALAH tentu akan timbul jika sistem meritokrasi terus dipersoalkan. Hakikatnya, terdapat juga pelajar Melayu yang layak tetapi tidak mendapat pengajian pilihan masing-masing. Mereka juga kecewa seperti para pelajar Cina dan India.

Apa yang hendak Awang tekankan ialah permasalahan ini tidak boleh dilihat dari sudut perkauman, seolah-olah yang tercicir itu hanyalah pelajar Cina dan India.

Masalahnya, walaupun kini terdapat enam buah universiti awam yang menawarkan program perubatan, kesemuanya hanya mampu mengambil seramai 799 pelajar bagi kemasukan tahun ini. Membesarkan bilangan pengambilan tanpa memperbesarkan kemudahan serta tenaga mengajar akan hanya menurunkan mutu pengajaran. Ini tidak boleh dilakukan dalam keadaan apa sekali pun. Kualiti perlu dijaga.

Satu perkara menarik tahun ini ialah kejayaan 1,774 pelajar yang mencapai PNGK tertinggi iaitu 4.0 di peringkat STPM dan matrikulasi. Bagaimanapun, di peringkat STPM, daripada 527 yang mendapat PNGK 4.0, bumiputera hanya seorang sahaja; Cina 503; India 23. Sebab yang selalu diberikan ialah kerana pelajar bumiputera yang cemerlang sudahpun dihantar ke luar negara selepas tamat SPM.

Tapi Awang sukar hendak menerima alasan ini yang sudah bertahun-tahun diberikan. Pertanyaan: Apakah daripada begitu ramai yang mengambil STPM cuma seorang sahaja yang mampu cemerlang?

Pelajar bumiputera yang mengambil STPM tidak lagi boleh memberi alasan. Jika tidak, mereka akan hanya mendapat tempat dalam aliran sastera dan pengajian sains akan dikuasai oleh Cina. Dan jika ini berlaku, mereka tidak boleh mengharapkan `pertolongan' untuk memasuki fakulti-fakulti pilihan itu.

Di peringkat matrikulasi pula, daripada 1,247 yang mendapat PNGK 4.0, 789 terdiri daripada bumiputera; 419 Cina; 39 India. Ini juga perlu diberi perhatian mengambil kira daripada 20,000 pelajar matrikulasi sesi tahun lalu, bukan bumiputera cuma 2,000 sahaja. Dan jangan lupa, matrikulasi yang selama ini menjadi monopoli Melayu baru sesi tahun lalu dibuka kepada bukan bumiputera.

Matrikulasi juga merupakan saluran utama pengambil pelajar bumiputera ke universiti. Tempoh pengajian matrikulasi hanya setahun berbanding dua tahun bagi STPM yang dianggap lebih sukar. Rasa tidak puas hati sentiasa wujud tentang keadaan ini yang dianggap kurang adil.

Awang tidak terkejut jika pelajar-pelajar Cina yang gagal mendapat pengajian yang mereka pilih menolak pengajian yang ditawarkan kepada mereka dan akan ke IPTS.

Dalam pada itu, pelajar bumiputera perlu ingat, andainya paras kelayakan ke semua fakulti kritikal dinaikkan ke PNGK 4.0, mereka mungkin menggigit jari.

SEJUTA PENAGIH DADAH
MALAYSIA berhasrat menjadikan tahun 2015 sebagai tahun dadah sifar iaitu tahun di mana kita bebas sama sekali daripada gejala penagihan dadah. Tahun 2003 sudah pun diisytiharkan sebagai Tahun Memerangi Dadah Habis-habisan.

Apa yang sangat membimbangkan ialah hakikat bahawa bilangan penagih dadah semakin meningkat dan kini dianggarkan sudah berjumlah satu juta.

Satu juta penagih dalam negara yang penduduknya 23 juta adalah jumlah yang sangat besar. Penduduk Thailand 63 juta. Penagih dadah di negara jiran itu dianggarkan tiga juta.

Nampaknya strategi mencegah tidak berkesan dan strategi pemulihan juga tidak ke mana. Kenapa keadaan bertambah buruk dan tidak bertambah baik?

Bagi Awang, masalah paling besar ialah kegagalan mencegah dadah daripada dibawa masuk ke negara kita. Dadah yang disalahgunakan oleh penagih di Malaysia dibawa masuk dari Thailand. Penyeludupan dadah serta pasarannya dikuasai oleh mereka yang berani mati.

Kita semua sering bertanya kenapa sukar sangat hendak menyekat dadah daripada dibawa masuk dan dipasarkan di negara kita. Hanya mereka yang tahu sahaja akan memahami kesukarannya. Memerangi penyeludupan dadah jauh lebih sukar daripada apa yang dapat kita fikirkan. Ia tentang duit, ugutan dan pembunuhan. Masalah akan lebih rumit jika berlaku `pagar makan padi'.

Ada cadangan supaya kita membina tembok sepanjang sempadan dengan Thailand. Ini mungkin berkesan, tapi sejauh mana kesannya? Penyeludup akan memikirkan seribu macam cara lain.

Walaupun sukar, berat dan bahaya, gejala dadah perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Ia juga ada kaitan dengan gejala AIDS yang turut meningkat.

Malaysia sudah pasti menjadi negara maju pada tahun 2020 tetapi apakah gejala-gejala yang sedang mengancam kita akan merosakkan segala-gala yang telah dibina dengan penuh susah payah itu?

Thailand mengambil jalan drastik dalam usaha memerangi gejala salah guna dadah - tembak mati. Bila Perdana Menterinya melancarkan kempen memerangi gejala itu, lebih 2,000 orang yang disyaki terbabit ditembak mati dalam tempoh tiga bulan. Pada akhir kempen itu, diisytiharkan 90 peratus daripada masalah yang dihadapi berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun cara kempen itu dibuat dikecam oleh Amnesty International. Apakah kita perlu ikut cara Thailand?

Jika tidak, apa hendak dibuat? Kita tidak mempunyai sepuluh tahun untuk menghapuskan gejala ini. Jika trend semasa tidak dapat disekat, satu juta penagih yang ada hari ini akan bertambah menjadi dua juta. Bertindaklah sebelum kita sampai ke tahap di mana terdapat seorang penagih dalam setiap keluarga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.