saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 01/06/2004

Kejayaan - Pontianak Harum Sundal Malam

Skrin Oleh A. Wahab Hamzah
Pontianak, legenda hantu yang telah menjadi sebahagian daripada cerita rakyat tempatan pernah menjadi antara filem yang paling berjaya dalam sejarah filem tempatan. Hampir 40 tahun belum ada filem genre seram tempatan lainnya yang berjaya mencipta kejayaan mengatasi kejayaan filem pontianak, apatah lagi kemudiannya pembikin filem tempatan dicengkam oleh peraturan dari akta filem yang melarang filem-filem seram dan tahyul dihasilkan. Oleh itu usaha Shuhaimi Baba menghasilkan filem seram yang berdasarkan kisah legenda rakyat tempatan ini seharusnya dipuji. Apatah Shuhaimi bukan sekadar mahu menghasilkan filem genre seram yang berdasarkan kisah legenda rakyat tempatan ini, tetapi filem yang dihasilkannya itu muncul dengan menggunakan teknologi video terkini dalam pembikinan filem. Hal ini tidaklah menghairankan mengapa filem Pontianak Harum Sundal Malam menjadi sebuah filem yang begitu dinanti oleh peminat filem tempatan.

Pada dasarnya sebuah filem seram akan diukur pada sejauh mana filem tersebut dapat menakutkan penontonnya. Oleh itu filem ini juga bergantung pada kekuatan imej dan efek khasnya. Apatah lagi pada umumnya kisah seram tentang pontianak telah diketahui kisahnya. Yang menjadi cabaran kepada pembikin filem yang mahu menghasilkan filem berdasarkan kisah ini ialah untuk muncul dengan pendekatan baru yang lebih memikat dan juga kelihatan asli.

Shuhaimi mengembalikan tragedi yang pilu kematian wanita mengandung sulung yang kemudian menjelma menjadi hantu untuk membalas dendam terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam komplot kematian wanita tersebut. Tetapi bagi Shuhaimi dendam tersebut berpanjangan dalam dua generasi dan dua zaman yang berbeza. Pertama pada awal tahun 1940-an ketika zaman kehebatan primadona penari gamelan dan ke-mudian berlanjutan ke masa kini yang melibatkan keluarga moden Marsani. Dalam kisah yang dihasilkan oleh Shuhaimi ini pontianak bukan sekadar membalas dendam punca kematiannya, tetapi juga menuntut barang-barang yang sepatutnya menjadi haknya tetapi telah dicuri darinya. Di sebalik kisah seram pontianak, di tangan Shuhaimi filem ini menjadi dendam seorang wanita kepada musuhnya yang kebetulan lelaki.

Pontianak Harum Sundal Malam dari lakon layar dan arahan Shuhaimi Baba mengisahkan tentang seorang penari gamelan yang jelita di kampung Paku Laris, Meriam (lakonan Maya Karin) digilai oleh dua orang pemuda Marsani (Azri Iskandar) dan Danial (Sahronizam). Meriam akhirnya berkahwin dengan Danial, tetapi Marsani tetap terus menaruh hati kepada Meriam. Dan peluang Marsani untuk mendapatkan Meriam secara kekerasan terbuka apabila Danial keluar berdagang ke Indonesia. Malangnya dalam peristiwa tersebut Meriam terbunuh, tetapi anak yang dikandungnya dapat diselamatkan oleh Sitam (Ida Nerina) wanita bisu teman baik Meriam. Meriam yang mati kemudian menjelma menjadi pontianak yang membalas dendam kepada orang-orang yang berkomplot membunuhnya. Dendam tersebut berpanjangan ke generasi baru Marsani yang walaupun sudah tua tetapi kelihatan muda atas bantuan teknologi pemulihan darah. Marsani telah menjadi tokoh korporat yang berjaya dan Paku Laris berubah menjadi sebuah bandar baru yang moden. Dendam Meriam muncul kembali melalui seorang gadis, Maria (yang mempunyai wajah yang sama dengan Meriam).

Visual filem ini dihasilkan oleh kamera digital high definition yang berjaya menghasilkan imej-imej yang berkualiti tinggi setanding dengan filem. Kelebihan teknologi digital ini menjadi ruang kreativiti yang berupaya memanipulasikan imej-imejnya untuk menghasilkan efek khas tertentu, yang dalam konteks filem ini adalah imej-imej yang menyeramkan. Efek khas dan imej seram sebuah filem seram juga selalunya rumit untuk berkesan. Selain daripada kesan imej seram tersebut, ketepatan masa kemunculannya juga memainkan peranan untuk memberikan kesan sewajarnya. Dalam filem Pontianak ini, efek dan imej yang dipaparkan berjaya memberikan kesan seram kerana terkawal dan ketepatan masanya. Tetapi apabila diadakan adegan Meriam/Maria menerima tiara mahkota dari Marsani, adegan tersebut memberikan kesan sebaliknya dan melucukan. Apa perlunya adegan ini dan untuk apa pontianak perlu menuntut barangan tersebut?

Filem ini dimulakan dengan adegan-adegan awal yang cukup baik, plotnya terkawal dan bergerak secara dramatik, tetapi apabila memasuki bahagian kedua adegan masa kini dengan Marsani yang sudah tua, plotnya agak kacau dan lemah dengan kemunculan sub-plot hubungan Ana (Kavita) dan suaminya Norman (Eizlan Yusuf) serta Asamadi (Rosyam Nor). Adegan penamatnya yang membawa pada kematian Marsani juga kurang dramatik, pada hal adegan ini cukup penting sebagai kesimpulan pada keseluruhan filem ini. Apakah shot adegan akhir Marsani menari bersama Meriam dalam bentuk imbasan cuba memberikan isyarat tertentu pada hubungan mereka berdua?

Pontianak Harum Sundal Malam, dari segi kualiti produk dan imej, adalah sebuah filem yang wajar dibanggakan. Bukan sahaja efek visual yang dihasilkan berkesan menyeramkan dan teknologi digital yang digunakan berupaya memberikan kesan imej yang menarik, tetapi filem ini dikuatkan dengan kesan bunyi yang cukup baik untuk membentuk mood keseluruhan filem. Secara keseluruhan, Shuhaimi berjaya mengembalikan pontianak yang menyeramkan dengan teknologi filem masa kini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.