saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/06/2004

Watak pembantu rumah

Walaupun sebelum ini telah terjadi kes-kes penderaan terhadap pembantu rumah tetapi ia tidak separah yang dialami Nirmala Bonat. Kes Nirmala mungkin akan reda dengan sendirinya setelah hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh. Tetapi senario ini akan terus berulang tanpa penyelesaian yang tepat. Tindakan paling tegas yang akan diambil ialah menambah lagi syarat-syarat pengambilan pembantu rumah yang akan dibebankan kepada majikan.

Apakah faktor-faktor sebenar yang menyebabkan terjadinya penderaan pembantu rumah? Kenapa ada majikan yang mendera pembantunya? Daripada pengamatan didapati jawapan yang paling jelas dan mudah diberikan oleh majikan ialah mutu kerja pembantu tidak seperti yang diharapkan.

Majikan mengeluarkan belanja yang besar sehingga mencecah RM5,000 untuk proses mendapatkan pembantu. Mereka juga dibayar gaji setiap bulan. Keadaan ini menyebabkan harapan majikan terhadap mutu perkhidmatan pembantu sangat tinggi. Apabila pembantu gagal memberikan perkhidmatan yang diharapkan maka terjadilah kekecewaan. Tidak semua majikan boleh menerima kekecewaan ini dengan sabar dan lapang dada. Terdapat majikan yang kurang sabar dan kadangkala tidak berfikir dengan waras maka terjadilah penderaan.

Punca penderaan ini harus diselesaikan jika kita tidak mahu penderaan terjadi lagi.

Tindakan untuk mengenakan pelbagai syarat ke atas majikan bukanlah jalan penyelesaian malahan akan menekan majikan. Majikan dituntut mematuhi peraturan yang ditetapkan, tetapi bagaimana jika pembantu rumah tidak bekerja sesuai dengan peraturan dan perjanjian? Apakah pembantu rumah patut memahami majikan atau majikan yang sepatutnya memahami mereka?

Dewasa ini agensi pekerjaan didapati berlumba-lumba membawa masuk pembantu rumah Indonesia tetapi mereka kurang faham kesesuaian watak suatu suku bangsa dengan bidang pekerjaan yang serasi. Asalkan ada orang Indonesia yang mahu bekerja sebagai pembantu rumah, mereka akan terus diambil tanpa meneliti adakah pekerjaan itu sesuai ataupun tidak dengan calon pembantu rumah tersebut?

Indonesia terdiri daripada pelbagai suku bangsa (malahan ada yang menyatakan lebih daripada 300 suku bangsa). Setiap suku bangsa mempunyai watak yang tersendiri. Orang Jawa misalnya berperwatakan lembut dan lambat, orang Sunda - periang dan penggoda, orang Batak - kasar, orang Padang - licik. Terbentuknya watak-watak tersebut disebabkan kepercayaan, persekitaran (lingkungan), sejarah, pola makanan, bentuk muka bumi dan sebagainya.

Watak-watak tersebut membentuk watak masyarakat dari masyarakat tersebut, dan proses pembentukannya diterjemahkan melalui pola pengasuhan orang tua terhadap anaknya. Anak-anak yang telah diasuh dan bertindak menurut pola tingkah laku yang diasuh ini tentunya akan memberi reaksi terhadap sesuatu keadaan yang bukan lumrah bagi budaya mereka.

Sesuatu yang baik bagi rakyat Malaysia belum tentu baik bagi mereka, begitu juga sebaliknya.

Hakikatnya pembantu rumah Indonesia di Malaysia, mendapat layanan jauh lebih baik berbanding pembantu rumah Indonesia yang menjadi pembantu di negara mereka sendiri. Pembantu rumah di Malaysia makan apa yang kita makan, tidur di bilik yang selesa, cuci baju menggunakan mesin basuh, memasak dengan dapur gas/elektrik, gosok baju untuk pakaian kerja, sekolah dan pakaian bersiar-siar. Pergi ke mana-mana, pembantu pasti dibawa bersama. Menonton TV duduk di sofa. Malahan majikan boleh makan semeja dengan pembantu rumah.

Adakah layanan seperti ini akan dinikmati jika pembantu rumah bekerja di negara sendiri. Sedangkan hakikatnya pembantu rumah di Indonesia; makan tidak menentu. Seringkali juga lauk untuk pembantu tidak sama dengan yang dinikmati oleh majikan. Selagi kerja belum siap, jangan harap dapat berehat, cuci baju dengan tangan, masak menggunakan dapur minyak tanah, kalau yang kaya boleh mengguna dapur gas. Semasa menonton TV, majikan duduk di kerusi (sofa), pembantu duduk di bawah. Kalau majikan makan, pembantu berdiri di tepi meja, menunggu arahan. Jika melihat kelibat kereta majikan, mereka akan cepat-cepat berlari membuka pintu pagar.

Kalau majikan panggil, menjawab dengan sopan, `ya pak, ya bu, ya nyonya, ya tuan, ya meener'. Kalau lalu di depan majikan, tunduk hormat. Semakin kaya majikannya maka semakin membongkok tanda hormatnya dan semakin pelan bila bercakap dengan majikan. Kalau majikan mahu keluar, mereka akan mengambil kasut letak di depan majikan. Layanan yang sama diberikan untuk anak-anak dan saudara mara majikan. Menjaga anak majikan, seekor nyamuk pun tidak boleh menggigit, apalagi menangis pun susah didengar. Anak kecil majikan sentiasa didukung dalam kain batik lepas.

Pendek kata, memang perkhidmatan kelas pertama yang diberikan walaupun gajinya kecil Rp50 ribu - Rp100 ribu (RM20-RM45) sebulan, kerjanya tidak tertanggung oleh badan mereka. Percaya atau tidak itulah hakikat pembantu rumah di negara mereka sendiri yang boleh dibaca dalam banyak buku atau artikel.

Persoalannya, mengapa mereka begitu patuh walaupun diperlakukan sedemikian rupa? Sedangkan bila bekerja di Malaysia dilayan sebaik mungkin tapi perkhidmatan yang diberikan begitu mengecewakan. Mungkin jika mereka bekerja sebaik di negara mereka, barangkali majikan tidak lokek untuk membayar lebih.

Kenapa wujudnya watak yang berbeza bagi jawatan yang sama di dua tempat yang berbeza. Banyak jawapan boleh diberikan. Satu hal yang barangkali majikan di Malaysia terlepas pandang ialah disebabkan majikan di Indonesia memahami watak dan sikap suku bangsa yang boleh bekerja sebagai pembantu rumah.

Setiap suku bangsa mempunyai perwatakannya sendiri. Majikan Indonesia hanya mengambil suku bangsa Jawa (orang Jawa) dan suku bangsa Sunda (orang Sunda) untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana mereka mempunyai watak dan sikap yang sesuai untuk pekerjaan tersebut.

Orang Jawa merupakan pekerja yang taat kepada majikan, tidak melawan, jika marah dan tidak puas hati hanya diam/senyum. Hal ini terjadi kerana orang Jawa begitu kuat terikat dengan tradisi dan adab sopan feudalistik.

Orang Jawa adalah suku bangsa yang sangat kuat berpegang pada adat dan tradisi. Adat dan tradisi ini adalah panduan dan pegangan dalam segala aspek kehidupan orang Jawa. Hal ini tercermin dalam budaya dan bahasa Jawa.

Satu pekara lagi yang menyebabkan orang Jawa begitu taat dengan majikan ialah soal kebaktian. Ia adalah salah satu daripada ajaran yang terdapat dalam kitab Wulangreh (ditulis oleh raja Jawa untuk panduan putera-puteranya).

Menurut ajaran kitab Wulangreh kebaktian itu diwajibkan kerana jalaran (penyebab). Misalnya, kebaktian kepada orang tua kerana mereka merupakan jalaran keberadaan anak. Kebaktian kepada majikan kerana mereka merupakan jalaran mendapat kerja dan wang.

Malahan diajarkan juga tentang tiga pantang umum iaitu jangan sombong diri, jangan selalu mencela (menganggap sesuatu kurang baik atau tidak betul), melakukan pekerjaan tanpa rungutan.

Orang Sunda juga mempunyai adat tradisi yang hampir sama dengan orang Jawa, seperti adat tradisi berbahasa. Adat tradisi berbahasa ditentukan oleh usia, status sosial dan status ekonomi.

Orang Sunda memang kurang terdapat di Malaysia kerana mereka lebih suka menjadi pembantu di Arab Saudi dengan hasrat boleh menunaikan haji. Orang yang berjaya menunaikan haji mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Sunda yang majoritinya beragama Islam.

Sumatera Barat (Padang - Minangkabau) dan Sumatera Utara (Medan - Batak), Sumatera Timur (Acheh) adalah suku bangsa yang tidak sesuai untuk bekerja sebagai pembantu rumah disebabkan kekuasaan wanita. Mereka lebih suka bekerja sebagai peniaga atau di restoran sahaja. Wanita Acheh mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sesebuah keluarga.

Kekuasaan wanita juga dapat dilihat dalam masyarakat Minangkabau.

Walaupun wanita Batak tidak mempunyai kekuasaan yang tinggi seperti Acheh dan Minangkabau tetapi sikap orang Batak agak kasar dan kurang bersopan santun. Malahan orang Batak juga sukar diatur dan barangkali sesuai bekerja di tempat yang agak lasak.

Di Indonesia kita akan melihat sesuatu pekerjaan berdasarkan suku bangsa contohnya orang Jawa dan Sunda sebagai pembantu rumah, orang Padang berdagang (berniaga) sesuai kerana wataknya yang licik. Orang Batak pemandu bas mini, pengawal di pusat-pusat hiburan, penagih hutang kerana dikatakan bersesuaian dengan wataknya yang kasar. Orang Nusa Tenggara Timur, Lombok dan sekitarnya sesuai di sektor perladangan dan pembinaan.

Demikianlah antara watak sebahagian daripada orang yang sering dianggap serumpun dengan kita. Mempelajari hal-hal yang kelihatannya remeh tapi perlu akan membantu untuk menempatkan orang yang tepat di tempatnya.

Di pihak majikan pula hendaklah memahami dan mempelajari serta mengenali siapa sebenarnya yang dikatakan pembantu rumah Indonesia.

Perkara utama yang majikan harus tahu tentang pembantu rumah Indonesia ialah tahap pendidikannya rendah, berasal dari kampung yang mundur dan miskin. Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat memahami sesuatu arahan dengan tepat dan cepat.

Tambahan pula pembantu rumah yang datang dari desa juga kurang fasih berbahasa Indonesia. Kebanyakan mereka menggunakan bahasa daerah sebagai bahasa utama.

Untuk memahami bahasa ibunda mereka saja susah apatah lagi memahami bahasa orang lain. Keadaan ini menyebabkan lain yang disuruh lain yang dibuat. Bila kesalahan dibuat berulang-ulang sedangkan majikan telah menjelaskannya, maka kemungkinan besar ini merupakan petanda pembantu tidak faham bahasa yang digunakan majikan.

- Dr. Nazarudin Zainun ialah pensyarah Sejarah Asia Tenggara (Indonesia), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

- Soijah Likin ialah ahli antropologi bebas dan pengamat sosial masalah pekerja wanita Indonesia di Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:05
Zuhur 1:26
Asar 4:49
Maghrib 7:23
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.