saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 16/06/2004

Peragut mati dibelasah -- Setelah dua mangsa ragut meninggal dunia dalam tempoh sebulan

KLANG 15 Jun - Seorang lelaki yang koma akibat dibelasah oleh beberapa pelanggan sebuah restoran selepas dipercayai cuba meragut beg tangan seorang wanita pada malam Sabtu lalu, mati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Ia cerita duka kedua membabitkan kes ragut dalam tempoh dua hari _ setelah seorang wanita mangsa ragut meninggal dunia di Johor Bahru semalam selepas lebih 36 jam koma.

Kedua-dua kes itu berlaku pada malam Sabtu lepas. Yang berbeza, semalam mangsa ragut meninggal dunia tetapi hari ini, peragut pula yang menemui ajal.

Dalam kes di sini, lelaki terbabit, Mazlan Saad, 28, dari Rantau Panjang dekat sini koma sejak dimasukkan ke HTAR selepas kejadian tersebut. Dia meninggal dunia kira-kira pukul 3 petang akibat kecederaan serius pada kepala.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Fauzi Saari berkata, pemeriksaan polis mendapati, lelaki itu sudah mempunyai tiga anak dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Isterinya pula tidak bekerja.

``Polis mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes dadah dan mencuri motosikal,'' katanya ketika dihubungi di sini.

Keluarga lelaki itu telah pun menuntut jenazahnya petang ini.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam Sabtu di hadapan sebuah restoran di Jalan Meru di sini, Mazlan yang menunggang sebuah motosikal cuba meragut beg tangan seorang wanita yang sedang berjalan kaki.

Bagaimanapun, katanya, wanita berusia 37 tahun itu melawan dan ketika bergelut, beberapa pelanggan restoran yang berdekatan telah membantunya dengan menangkap dan memukul lelaki tersebut sehingga cedera parah.

Katanya, polis menemui sebilah pisau, sebuah motosikal curi dan sebuah beg tangan mengandungi sejumlah wang tunai di tempat kejadian.

Mohd. Fauzi berkata, walaupun polis menggalakkan orang ramai membantu dalam usaha menangani kes-kes ragut tetapi mereka dinasihatkan supaya tidak bertindak keterlaluan seperti memukul sehingga cedera parah.

Katanya, polis menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 304, Kanun Kesiksaan iaitu bunuh tanpa niat.

``Bagaimanapun, setakat ini belum ada yang ditahan kerana polis belum dapat mengenal pasti mereka yang terlibat,'' katanya sambil menambah pemilik restoran dan mangsa juga gagal mengecam mereka yang memukul lelaki terbabit.

Dalam kes di Johor Bahru, seorang kerani, Chong Fee Cheng, 37, meninggal dunia semalam di Hospital Pakar Puteri, tempat beliau dirawat setelah tercedera akibat tersungkur apabila beg tangannya direntap ketika mangsa dan suami melintas jalan di Taman Molek pada kira-kira pukul 7 malam Sabtu.

Mangsa meninggalkan suami dan dua anak yang masih kecil.

Peristiwa malang yang menimpa Fee Cheng itu adalah kes kedua melibatkan kematian mangsa ragut dalam tempoh sebulan.

Pada 23 Mei lepas, seorang wanita, Chin Wai Fun, 28, juga menemui ajalnya, setelah lebih 17 jam koma akibat tercedera teruk ketika beg tangannya diragut di Brickfields, Kuala Lumpur.

Pendedahan mengenai kesengsaraan dua mangsa ragut yang terpaksa bertarung nyawa untuk terus hidup itu, telah menyebabkan pelbagai pihak memberi perhatian serius kepada usaha membanteras jenayah ragut yang didapati semakin meningkat.

Polis misalnya telah membuat operasi secara besar-besaran termasuk di Lembah Klang bagi membanteras kegiatan ragut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar berkata, polis akan melakukan rombakan kecil dari segi keanggotaan dalam tempoh sebulan bertujuan untuk mempertingkatkan tugas membanteras jenayah termasuk ragut.

Kelmarin, Ketua Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Musa Hassan berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian ragut, boleh membuat tangkapan awam terhadap peragut.

``Mereka (orang awam) boleh melaksanakan kuasa mereka untuk menangkap peragut termasuk melanggar kenderaan si peragut bertujuan menyekat peragut itu daripada lari,'' katanya.

Beliau berkata, tindakan melanggar kenderaan peragut itu adalah tidak salah dan selepas peragut itu ditahan, orang ramai harus menyerahkan peragut itu kepada pihak polis.

Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 4,511 kes ragut dilaporkan di seluruh negara. Pada tahun lepas sebanyak 15,798 kes dilaporkan manakala pada tahun 2002, 14,640 kes ragut dicatatkan.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.