saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/07/2004

Berlari ke Langit - Judul yang puitis dan menarik

Skrin Oleh A. Wahab Hamzah
Harus diakui judul filem ini indah, puitis dan abstrak. Bayangkan imej dan maknanya. Berlari ke Langit memberikan kita makna kepada satu usaha yang sukar dan mustahil, penuh cabaran, hajat yang besar tetapi sukar mencapainya.

Harus juga diakui judul filem ini adalah antara judul filem Melayu yang cukup bertenaga dan besar. Sebelum ini kita mempunyai beberapa judul filem yang juga hebat dan besar seperti, Perempuan Melayu Terakhir. Memang memberikan judul kepada sesebuah filem atau karya adalah antara usaha yang sukar. Judul mempunyai peranan yang cukup besar bagi sesebuah filem atau apa sahaja karya. Ini kerana judullah kenyataan pertama tentang karya tersebut yang dibaca dan dikenal penonton. Judul yang memberikan makna yang menarik akan menjadi perhatian khalayak dan selalunya tinggal lama dalam ingatan penonton.. Bayangkan dua judul filem arahan Martin Scorsese ini, What's a Nice Girl Like You Doing in a Place Like This? atau Alice Doesn't Live Here Anymore. Judulnya bersahaja, mempunyai unsur humor dan sekali gus menceritakan sesuatu. Tetapi terdapat juga judul filem yang sungguh puitis seperti Pasir Berbisik (Nan T. Achnas) atau Bulan Tertusuk Illalang (Garin Nugroho).

Berlari ke Langit membawa kisah di sebuah perkampungan nelayan di Pahang. Indra (Rosyam Nor) seorang nelayan muda telah sembilan bulan hilang di laut selepas botnya di landa ribut tengkujuh. Dia yang disangka mati, lalu kekasihnya, Zu (Siti Elizad) pun bertunang dengan kawan baiknya, Bokhari (Hasnul Rahmat) yang telah menyertai sebuah kumpulan dakwah. Tiba-tiba suatu petang Indra kembali. Suasana berkocak, permasalahan baru timbul. Filem ini merupakan sebuah imbasan kehidupan Indra dalam catatan bukunya yang berjudul Berlari ke Langit, buku yang menjadikan adik Indra, Iman (Adik Daniel) yang mati dalam satu peristiwa tragis di Kuala Lumpur sebagai inspirasinya. Adegan dibuka ketika Indra sedang menyiapkan catatan terakhir bukunya.

Pada ketika filem-filem tempatan banyak memfokuskan kepada kehidupan kota, kisah cinta remaja, skandal orang kaya dan ternama, cerita hantu atau dunia hiburan yang bersifat escapist, realiti sekumpulan rakyat yang terpinggir dan miskin yang masih bergelut membina kehidupan seperti di kampung nelayan sudah tidak begitu diminati oleh pembikin filem kita kerana dikatakan tidak membawa nilai komersil. Filem ini membawa sebahagian realiti kehidupan nelayan. Indra yang tidak berpelajaran tinggi terpaksa bergelut di laut untuk membina kehidupannya dua beradik. Sementara itu seorang guru muda, Yasmin Suraya (Fasha Sandha) yang ditugaskan mengajar di perkampungan itu, sebenarnya juga sedang bergelut dengan sisa hidupnya yang tinggal sedikit kerana sedang mengidap sakit kanser.

Dua watak yang menarik. Sayangnya mereka dipertemukan dalam satu adegan yang tidak seharusnya dibuat begitu. Mengapa Indra yang begitu mementingkan pelajaran adiknya bersifat angkuh ketika guru adiknya datang menemuinya untuk menceritakan sedikit tentang masalah pelajaran Iman. Meskipun Indra kemudian datang memohon maaf kepada guru itu dan memberitahu dia sebenarnya buta huruf, tetapi adegan tersebut boleh sahaja dilakukan dengan cara lain yang lebih cantik dan halus.

Watak

Pembikin filem kita seharusnya lebih sensitif dan bijaksana dalam menampilkan sesuatu watak. Watak-watak yang ditampilkan akan meninggalkan imej tersebut lama dalam psikik penonton. Lihat bagaimana kumpulan agama ditampilkan dalam filem ini. Mereka ditampilkan tidak toleran, sombong dan tidak bijak dalam dakwah mereka. Mengapa stereotaip begini? Dalam filem Fenomena (arahan Aziz M. Osman) kumpulan agama bersifat sombong dan tidak toleran dengan orang lain. Dalam filem Perempuan Melayu Terakhir, kumpulan agama digambarkan militan dan juga tidak toleran dengan hal budaya. Tidak adakah gambaran lain yang positif harus diberikan kepada mereka? Lebih menarik dalam kebanyakkan filem tempatan, kegiatan kumpulan agama yang begini berlokasi di pantai timur. Persamaan yang barangkali tidak disengajakan, tetapi tidakkah ini juga satu imej yang disengajakan? Bukan bermakna kelemahan mereka tidak boleh ditonjolkan tetapi elakkan stereotaip. Dalam Berlari ke Langit, Bokhari dan kumpulan dakwahnya kelihatan sombong, tidak toleran walaupun dialog yang dilontarkan mempunyai makna mendalam dan dalam suara yang perlahan tetapi berupa ancaman. Secara mudah mereka diberikan kostum serban dan jubah. Kecuali watak imam tua di kampung itu yang dilakonkan oleh Adman Salleh (hampir tidak dikenali wajahnya) yang memperlihatkan kebijaksanaan.

Adegan di perkampungan nelayan adalah antara adegan-adegan yang menarik bagi filem ini. Suasana perkampungan nelayan dirakamkan dengan cukup cantik. Alam bukan sahaja digambarkan kerana keindahannya sahaja tetapi juga untuk menyampaikan makna. Lihat adegan Indra yang kecewa berbaring di atas batu terhampar luas di tepi pantai, atau ketika dia terapung di atas alunan ombak laut batu karang yang jernih dan ketika itu hati Yasmin sedang membicarakan nasib hidupnya yang menghitung hari. Semuanya indah dan penuh makna. Bagaimana pun Pengarah fotografi filem ini Mohd. Azla Kamaruddin seharusnya lebih bijak mengeksploit dan memanfaatkan keindahan pantai, laut, kawasan lereng bukit yang menghijau dan langit yang terbentang luas dengan shots jarak jauh untuk memberikan perspektif lanskap dan membina karakter pada lanskap tersebut. Saya mengharapkan filem ini akan menggunakan alam yang luas terbentang untuk menyampaikan ceritanya secara indah dan puitis. Tetapi peluang ini tidak digunakan sepenuhnya oleh Bade Hj Azmi yang sudah berpengalaman luas sebagai pengarah fotografi. Pada babak tertentu dia bijak menggunakan imej. Adegan Yasmin yang sembuh dari sakit diikuti oleh syot lampu trafik warna hijau dan kenderaan yang bergerak di jalanan yang senyap tetapi sibuk adalah gambaran kehidupan dan harapan.

Bagaimanapun pada bahagian kedua cerita apabila adegan filem ini berpindah ke Kuala Lumpur, adegan-adegannya gagal meyakinkan. Di Kuala Lumpur Indra berusaha menjejak Yasmin yang telah tiba-tiba menghilangkan dirinya untuk mengubat kansernya tanpa memberitahu Indra. Sementara itu Iman juga berharap impian menemui penyanyi pujaannya Siti Sarah tercapai di Kuala Lumpur. Tetapi Kuala Lumpur bukan sebuah kota yang mesra dan turut dihuni oleh mereka yang bijak menipu dan mengambil kesempatan seperti seorang penagih dan pencopet (dimainkan oleh Md. Said Abd. Ghani) yang mereka temui. Bagaimanapun jika adegan di kampung lebih meyakinkan, adegan di Kuala Lumpur memperlihatkan kelemahan yang nyata dari segi binaan plot. Banyak persoalan yang timbul dengan adegan-adegan yang tidak meyakinkan apabila realiti adegan-adegan tidak diberikan alasan yang kuat. Persoalan timbul tentang mengapa Indra dengan mudah membawa adiknya ke kota dan kemudian menyekolahkannya di Kuala Lumpur pula, bukankah dia ke Kuala Lumpur hanya untuk mencari Yasmin. Dan kemudian mengapa dia dengan mudah mengikut dan tinggal bersama seorang penipu yang pernah mencuri duitnya dan akhirnya mengorbankan adiknya, walhal dia sudah bekerja baik sebagai nelayan. Walaupun Indra tidak berpelajaran tetapi dia bukan naif tentang kehidupan dan dia seorang yang bijak sebagai nelayan sebab itu dia dapat balik ke kampungnya selepas sembilan bulan tinggal disebuah pulau. Perhatikan juga kewajaran adegan Yasmin yang baru lepas menerima rawatan di hospital boleh dengan pantas memandu kereta selepas melihat Indra dalam siaran televisyen konsert Siti Sarah.

Adegan-adegan begini harus diberikan kewajaran dan perlu diyakinkan kerana sebuah filem seperti Berlari ke Langit adalah bercerita tentang realiti kehidupan. Orang miskin juga tidak harus selalu tenggelam dengan melankolik sebuah melodrama. Secara keseluruhan filem ini tidak mengecewakan dan wajar dipuji kerana berusaha mengangkat sisi kehidupan mereka yang sering dilupakan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.