saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 19/07/2004

Abdullah Presiden UMNO -- Najib menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden

ABDULLAH AHMAD BADAWI dan NAJIB TUN RAZAK.


KUALA LUMPUR 18 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti September ini.

Abdullah yang kini Pemangku Presiden mendapat 172 pencalonan kecuali Gua Musang, sejak persidangan bahagian bermula 8 Julai lalu.

Najib, yang merupakan Naib Presiden dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden pula mendapat 173 pencalonan.

Tengku Razaleigh Hamzah, yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden 9 Julai lalu, tidak mendapat sebarang pencalonan bahagian yang bersidang hari ini.

Beliau kekal dengan satu pencalonan yang diterimanya daripada bahagiannya sendiri, Gua Musang, pada persidangan perwakilan bahagian itu semalam.

Hari ini kesemua 71 bahagian termasuk bahagian Najib iaitu Pekan, mencalonkan Abdullah sebagai Presiden. Najib pula dicalonkan sebagai Timbalan Presiden.

Ketika diminta mengulas kemenangan tanpa bertanding itu, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata malam ini:

``Saya mengucapkan terima kasih kepada sidang perwakilan kerana sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO dan buat pertama kalinya saya dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.''

Mengikut sistem kuota pencalonan pemilihan UMNO yang diperkenalkan selepas pemilihan parti 1987, Abdullah memerlukan 134 pencalonan daripada 191 bahagian untuk menang tanpa bertanding jawatan Presiden.

Najib pula, memerlukan 153 pencalonan untuk menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Untuk layak bertanding jawatan Presiden, Tengku Razaleigh dan mana-mana ahli UMNO yang menawarkan diri, memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, memerlukan 20 peratus atau 39 pencalonan bahagian untuk melayakkan diri bertanding jawatan tersebut.

Bagaimanapun, kini tinggal 18 bahagian sahaja yang belum bersidang termasuk bahagian Abdullah iaitu Kepala Batas.

Bahagian Kepala Batas yang sepatutnya mengadakan persidangan hari ini, bagaimanapun dibenarkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk bermesyuarat pada 1 Ogos ini.

Ini disebabkan Abdullah berada di luar negara kerana tugasan rasmi.

Esok, tiga lagi bahagian akan bersidang iaitu Arau, Seremban dan Beluran.

Ini merupakan kali pertama Abdullah dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 31 Ogos tahun lalu.

Bagi Tengku Razaleigh pula, ini merupakan kekalahannya yang kedua selepas tewas tipis pada Dr. Mahathir pada pemilihan parti yang paling sengit dalam sejarah UMNO pada 1987.

Semalam juga, menyaksikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rafidah Aziz mengekalkan jawatan itu dengan menang tanpa bertanding.

Begitu juga dengan Naib Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, turut mengekalkan jawatan menang tanpa bertanding.

Khairy Jamaluddin yang juga Exco Pemuda, yang tampil buat pertama kalinya, juga menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda.

Hishammuddin yang semalam mendapat 182 pencalonan, terus menyapu bersih kesemua tiga bahagian Pemuda yang bersidang hari ini.

Begitu juga Khairy, yang dicalonkan oleh ketiga-tiga bahagian itu yang semalam memperoleh 172 pencalonan.

Rafidah pula, pencalonannya terus meningkat daripada 179 semalam kepada 181 pencalonan.

Shahrizat pula, daripada 186 kepada 188 pencalonan.

Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman yang pernah menewaskan Rafidah pada pemilihan parti sebelum ini, yang mendapat tujuh pencalonan sehingga semalam, tidak mendapat sebarang pencalonan hari ini.

Untuk layak bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita, Zaharah memerlukan lagi 32 pencalonan.

Bagaimanapun, hanya tinggal tiga bahagian Wanita sahaja yang belum lagi bersidang.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad turut merancakkan lagi pemilihan jawatan itu pada September ini apabila layak bertanding.

Adnan mendapat 28 pencalonan manakala Shahrir pula 22 pencalonan.

Selain mereka, lima lagi yang layak ialah dua penyandang, Tan Sri Muhyiddin Yassin (139) dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (87).

Dua muka baru iaitu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (113) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed (56).

Seorang lagi ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh 30 pencalonan.

Pada persidangan hari ini juga menyaksikan satu muka baru iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis yang dicalonkan oleh Bahagian Tanjung Piai (Johor) untuk jawatan Naib Presiden.

Calon-calon lain yang belum lagi melepasi had kelayakan bertanding ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar (16); dan Ahli Parlimen Kota Baharu, Datuk Zaid Ibrahim (4).

Seorang lagi yang dicalonkan ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang masih kekal dengan lima pencalonan.

Bagaimanapun semalam, beliau mengesahkan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden.

Untuk layak bertanding mereka memerlukan 10 peratus atau 20 pencalonan bahagian.

Sementara itu, jawatan Ketua Puteri UMNO terus menyaksikan pertembungan antara Naib Ketua Puteri UMNO Pusat, Noraini Ahmad (152) dan Ketua Puteri UMNO Kedah, Suraya Yaacob (32).

Seorang lagi, Sarah Ali Bashah iaitu Ketua Puteri Cawangan Taman OUG di sini, terus kekal dengan satu pencalonan.

Untuk layak bertanding, memerlukan dua pencalonan daripada bahagian.

Bagi Naib Ketua Puteri pula terus dikuasai oleh Ketua Puteri Sabah, Rosnah Abdul Rashid (93);

Ketua Puteri Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Khalid (37), Ketua Puteri Wilayah Persekutuan, Azalinda Mohd. Rashad (27), dan Ketua Puteri UMNO Pahang, Shahaniza Shamsuddin (26).

Dua lagi yang kekal dengan satu pencalonan ialah Nori Abdullah dan Suraya.

Bagaimanapun, Nori telah mengesahkan tidak akan bertanding jawatan Naib Ketua Puteri.

Sehingga hari ini, 187 bahagian Puteri telah selesai bersidang dan bakinya empat lagi akan bersidang dalam minggu depan.

Persidangan bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri yang bermula 8 Julai lalu akan berakhir 22 Julai kecuali bahagian Kepala Batas, pada 1 Ogos ini.

Bahagian Permatang Pauh pula ditangguhkan persidangannya sehingga petisyen pilihan raya Parlimen Permatang Pauh di mahkamah, selesai.

Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung dari 23 hingga 25 September ini.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.