saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/07/2004

Punca orang Malaysia kurang membaca


Minggu ini akan berakhirnya Bulan Membaca Kebangsaan bagi tahun ini. Penulis percaya kempen bagi menggalakkan membaca yang dilakukan sepanjang bulan ini tidak memberi kesan bererti kepada masyarakat negara ini. Pastinya tahap membaca rakyat ini akan berterusan.

Tahun depan, hampir pasti kempen seumpama ini akan terus dijalankan.

Persoalan mengapakah rakyat Malaysia kurang minat membaca? Jawapan ringkas yang penulis boleh beri ialah rakyat Malaysia kurang minat pada ilmu, fikiran dan kreativiti.

Andai kata rakyat Malaysia benar-benar berminat terhadap tiga perkara ini, maka sudah tentu buku dan bahan bacaan lain akan menjadi sasaran mereka. Ini kerana dalam banyak-banyak media, hanya bahan bacaan yang memberikan skop paling luas untuk mendapatkan ilmu, fikiran dan kreativiti.

Tetapi rakyat Malaysia secara umumnya kurang berminat terhadap perkara-perkara ini. Ilmu yang dicari hanya sekadar untuk lulus periksa, mendapatkan pekerjaan dan untuk melakukan amal ibadat.

Berfikir pula adalah sekadar yang selaras dengan cara hidup turun-temurun. Sebarang idea baru tidak dapat ditimbangkan. Kreativiti juga sukar bertapak kerana lebih mudah untuk meniru daripada mencipta yang baru.

Tanpa dorongan untuk mendapatkan ilmu, mempelbagaikan fikiran dan meneroka kreativiti, maka dorongan untuk menatap buku juga kurang.

Justeru, untuk menggalakkan mereka membaca, usaha yang selari dengannya adalah juga dengan menggalakkan minat terhadap ilmu, berfikir dan mereka cipta.

Tetapi apakah caranya untuk menggalakkan perkara-perkara ini? Jawapannya ialah mewujudkan budaya rasa ingin tahu, gemar dan berani mempersoalkan idea atau fakta di samping tidak sensitif jika disanggah atau dibantah. Bagi menggalakkan kreativiti pula, suasana mencuba perkara-perkara baru wajar digalakkan di samping sentiasa berfikiran positif terhadap sesuatu cadangan.

Maka perubahan budaya ini akan membawa kepada minat membaca yang lebih tinggi.

Ketinggalan

Dalam pada itu, infrastruktur bagi menghidupkan budaya membaca perlu tersedia, sesuatu yang negara ini amat ketinggalan. Sememangnya tidak ramai di kalangan rakyat Malaysia yang minat membaca.

Akibat tidak ramainya pembaca, maka sudah tentu tidak muncul banyak kemudahan bagi pembaca. Ini kerana bekalan akan mengikut permintaan.

Maka buku tidak banyak diterbit dan dijual. Kedai buku tidak banyak wujud. Perpustakaan juga tidak banyak didirikan. Kalau ada pun, tidak dikendalikan dengan baik kerana sambutan kurang di samping pengendalinya tidak mempunyai minat untuk menggalakkan pembacaan.

Bagaimanapun, terdapat segolongan di kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai minat membaca. Kebanyakannya mempunyai minat itu secara naluri sendiri yang dipupuk daripada kanak-kanak. Orang inilah yang bertumpu ke perpustakaan dan kedai buku yang tidak banyak adanya di negara ini.

Malangnya oleh kerana infrastruktur bagi golongan pembaca ini amat kurang, maka ada antaranya yang kehilangan minat membacanya kerana kekurangan kemudahan.

Sebagai contoh, seorang anak kecil yang minat membaca tetapi oleh kerana bahan-bahan bacaan tidak mencukupi di rumah dan di sekolah, kedai buku juga tidak banyak di bandar kecilnya, maka minatnya terpupus dan apabila dia dewasa kelak, dorongan untuk membacanya hilang begitu saja.

Maka negara telah kehilangan segelintir pembaca akibat kekurangan kemudahan.

Justeru, pemupukan sifat membaca ini harus ditingkat daripada kanak-kanak hingga dewasa dan berterusan sampai menjadi warga emas. Minat membaca wajar berbentuk sepanjang hayat. Untuk mempertahankan minat membaca ini maka diperlukan kemudahan yang dapat membekal buku sepanjang hayat bagi seseorang.

Bagi ibu bapa yang mempunyai wang, maka mudahlah mereka meneruskan pemupukan minat membaca ini melalui pembelian buku. Sekali gus ia akan menggalakkan percambahan kedai buku, penerbit, editor dan penulis.

Tetapi bagi mereka yang kurang memiliki wang, hanya perpustakaan dapat menggalakkan pembacaan mereka. Malangnya di negara ini perpustakaan tidak memainkan peranan sepenuhnya. Perpustakaan awam terletak di bawah kuasa negeri-negeri. Apa yang diutamakan ialah pembinaan bangunan cantik tetapi buku-buku yang disediakan jauh daripada memuaskan.

Kunjungan

Cubalah lawati perpustakaan-perpustakaan negeri, pastinya ia hanya menjadi tempat kunjungan budak-budak sekolah.

Dua perkara yang lebih penting daripada bangunan ialah buku dan pustakawan. Buku hendaklah sentiasa terbaru dan pustakawan mestilah mereka yang mempunyai kecintaan tinggi terhadap buku dan ilmu.

Buku pula mestilah boleh dipinjam dan bilangannya mestilah banyak dan mudah untuk dipinjam oleh pembaca. Perpustakaan bukannya untuk menyimpan buku. Ia adalah untuk memberi pinjam buku.

Oleh kerana negeri-negeri tidak mampu menyediakan perpustakaan yang mencukupi maka tidak semua daerah dan bandar-bandar kecil mempunyai perpustakaan. Sedangkan apa yang patut ada ialah perpustakaan di setiap taman dan desa.

Di Kuala Lumpur, terdapat dua perpustakaan utama iaitu Perpustakaan Negara dan Perpustakaan Kuala Lumpur yang baru dibina dan tersergam indah di Dataran Merdeka.

Perpustakaan Negara popular di kalangan warga kota tetapi bahagian pinjamannya terlalu kecil dan bukunya tidak banyak yang terkini.

Nilai sebuah kota terletak pada kualiti perpustakaan awamnya. Kuala Lumpur seperti bandar-bandar raya negara maju yang lain perlu mempunyai banyak perpustakaan awam di setiap bahagian kota. Barulah warganya tergerak untuk meminjam dan membaca buku.

Di Putrajaya belum ada perpustakaan awam.

Sementara itu, di sekolah-sekolah perpustakaan yang pernah satu masa dikenali sebagai kutubkhanah sudah tidak wujud. Yang ada ialah pusat sumber. Pustakawan sekolah dikenali sebagai pengawas pusat sumber. Apresiasi kepada buku sudah hilang dengan perubahan konsep ini. Maka akibatnya yang ada di pusat sumber sekolah adalah lebih banyak buku-buku untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Perubahan mesti dilakukan demi masa depan negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.