saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/08/2004

Buai Laju-Laju - U-WEI cuba bernakal-nakal

U-WEI (tengah) bersama para pelakon Buai Laju-Laju (dari kiri) Eman Manan, Hasnul Rahmat, Betty Benafe dan Adlin Aman Ramli.



SETELAH lima tahun tidak mengarah (selepas filem Jogho), U-Wei Haji Saari kini muncul semula dengan filem terbarunya Buai Laju-Laju (BLL). Filem yang mengambil masa penggambaran cuma 21 hari (bermula April tahun lalu) ini, akan menemui para peminat filem Melayu pada 9 Ogos ini di 21 pawagam seluruh negeri.

Filem yang dikatakan menelan kos penerbitan sehingga RM1 juta lebih, menampilkan para pelakon antaranya Eman Manan, Khalid Salleh dan Betty Banafe. Ia membawa kisah mengenai seorang wanita yang sanggup buat apa sahaja termasuk berlaku curang dan membunuh suami demi untuk mencapai kemewahan hidup.

Menghayati jalan cerita filem ini, walaupun menampilkan pelakon yang berlainan tetapi temanya hampir sama dengan filem Perempuan, Isteri dan... yang diarah U-Wei pada tahun 1993.

Utusan Malaysia cuba menyingkap isi hati U-Wei tentang Buai Laju-Laju.

Filem ini mirip Perempuan, Isteri dan... Apa komen anda?

U-WEI: Buai Laju-Laju adalah sambungan dari filem Perempuan Isteri dan... Walaupun temanya hampir sama tetapi ia tidak serupa.

Kedua-dua filem ini memaparkan kecurangan seorang isteri. Tidakkah anda menjatuhkan maruah seorang wanita melalui filem?

U-WEI: Saya tidak merasakan begitu. Apa yang ingin saya tonjolkan, mengenai perempuan Melayu yang selalu dianiaya suami. Saya tidak berniat menjatuhkan maruah perempuan Melayu dalam filem ini. Bagi saya, apa yang saya tonjolkan dalam filem ini tidak salah.

Kenapa masih ada adegan berunsur seks dalam filem ini?

U-WEI: Seks sangat penting dalam hidup saya.

Apa komen anda jika ada yang melabelkan anda sebagai pengarah filem berunsur seks?

U-WEI: Saya seorang yang sensuality tetapi tetap beradab. Walaupun filem ini ada memaparkan unsur seks tetapi ia tidak keterlaluan. Ia dibuat dengan cara halus dan indah. Sebenarnya pembikin filem di Malaysia susah, kerana kita buat filem seks tanpa menunjukkan seks dan bunuh tanpa darah.

Bagi anda kenapa filem ini harus ditonton?

U-WEI: Sebagai orang Malaysia, saya rasa masyarakat kita terutama orang Melayu harus menonton filem kita. Jangan asyik menonton filem luar. Naskhah-naskhah tempatan lebih indah dan menarik berbanding naskhah luar.

Kenapa judul filem ini Buai Laju-Laju?

U-WEI: Buai Laju-Laju adalah rangkap pertama pantun Melayu biasa dan lekat di hati. Cerita ini juga tentang orang biasa. Cuma saya cuba bernakal-nakal dengan pantun Melayu kerana ia adalah kisah orang biasa.

Penggambaran filem ini sudah lama selesai iaitu Mei tahun lalu tetapi kenapa mengambil masa begitu lama untuk ditayangkan?

U-WEI: Seperti yang saya katakan, susah mahu dapat produser tempatan yang mahu melabur. Jadi saya ramai kenalan orang luar dan nasib baik LeBrocquy Production Ltd., sanggup melaburkan wang mereka. Maka filem ini dapat disiapkan.

Anda memberitahu kos penerbitannya mencecah lebih RM1 juta tetapi jika dilihat lokasi dan propsnya tidak sampai begitu mahal?

U-WEI: Orang kita selalu melihat lokasi dan props sebagai topik yang akan membuatkan sesebuah filem itu mahal. Sebenarnya filem ini mencecah sehingga lebih RM1 juta kerana saya menjalani prosesnya di Paris sebab saya tidak gunakan kamera High Defination sebaliknya kamera digital. Mahal kosnya mahu buat pertukaran dari digital kamera kepada filem 35mm.

Watak Eman dalam filem ini hampir sama dengan Nasir Bilal Khan dalam Perempuan, Isteri dan... tetapi tidak serakus Nasir. Apa komen anda?

U-WEI: Antara watak Eman sebagai Amran dengan Nasir memang berbeza tetapi yang penting, belum hebat lelaki Melayu kalau tidak mengalah kepada perempuan.

Apakah Betty yang memegang watak Zaiton dalam filem ini, pilihan pertama anda?

U-WEI: Bukan. Pilihan pertama saya ialah penyanyi Rita Dewi tetapi kerana dia banyak komitmen saya cari alternatif lain. Saya bersyukur memilih Betty kerana dia seorang pelakon cerdik yang dapat melahirkan watak Zaiton yang sangat keras dan akan berusaha untuk mencapai apa saja yang diinginkan.

Apa filem anda selepas Buai Laju-Laju?

U-WEI: Pada November ini saya akan memulakan penggambaran filem Dan Bintang-Bintang Mulai Menyanyi di Terengganu dengan kos penerbitan lebih RM2 juta. Di samping itu saya juga akan meneruskan kerja-kerja untuk menerbitkan filem seterusnya Almayer's Folly. Saya sudah ke Kalimantan, Sabah dan Sarawak untuk mencari watak Nina, gadis yang lahir dari hasil kahwin campur tetapi sayangnya hingga kini masih belum berjaya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.