saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 22/08/2004

Aku No. 1 hmmm... tontonlah

HARI ini bergurau senda dan berseloka, tetapi hari esok belum pasti menjanjikan kebahagiaan serupa.

Mungkin juga mereka akan bermasam muka malah lebih teruk lagi satu Malaysia akan merebak bicara tentang persengketaan antara mereka.

Itulah kisah antara dua pengacara yang cukup popular dan terhebat di Malaysia, Aznil Nawawi dan Azwan Ali.

Kontroversi mengenai hubungan sekejap `baik' dan sekejap `dingin' dua pengacara ini kini telah dibawa ke layar perak oleh Boommax Sdn. Bhd. dan AA Pictures.

Aku No. 1 sudah berada di pawagam bermula 19 Ogos lalu.

Aznil yang diberi kepercayaan sebagai pengarah filem ini nyata telah memainkan peranannya dengan baik.

Sudah tentu elemen spoft yang diserapkan dalam filem Aku No. 1 ini berjaya menyelamatkan Aznil dan akhirnya memberi banyak kelainan kepada filem genre komedi ini.

Dengan segala unsur `melampaunya' telah menjadikan filem ini sandaran sebenar untuk memperlihatkan kreativitinya secara maksimum.

Walaupun filem yang berdurasi tiga jam ini dipendekkan kepada satu setengah jam, perjalanan plotnya langsung tidak terganggu dan di sini sekali lagi Aznil memperlihatkan kebijaksanaannya sebagai penyunting yang baik.

Lalu, siapa kata filem komedi tidak boleh lari daripada lawak `slapstik' dan `entah apa-apa' seperti yang pernah dilakukan oleh banyak pengarah filem komedi sebelum ini?

Aznil telah membuktikan bahawa meskipun filem komedi, dengan sedikit buah fikir dan kreatif idea mampu memberikan kelainan kepada karya pertamanya ini.

Aku No. 1 di tangan Aznil yang juga bertindak sebagai pelakon utama bersama Azwan nampak segar dan cukup elemen menghiburkan.

Filem ini dilihat telah berjaya membuktikan kehebatan Aznil sebagai pengarah, walaupun ini hanya kerja sulungnya sebagai pengarah filem cereka.

Ditambah dengan bantuan penghayatan pelakon seperti Jaafar Onn, Khaty Fauziah, Jeslina Hashim, Yassin, Rosnah Mat Aris dan banyak lagi, filem ini lengkap.

Bercakap tentang plot filem berkenaan, sudah tentu banyak yang dapat mengagak bagaimana `gaya' Aznil bercerita melalui filem ini.

Aznil bijak menangkap emosi penonton yang sudah tentu sebelum ini sudah terbiasa dengan kisah-kisah panasnya dengan Azwan yang banyak didedahkan media.

Dalam industri hiburan kedua-dua mereka pernah dianggap sebagai pasangan sahabat paling karib dan pernah berkongsi suka duka, ketawa dan menangis bersama.

Seperti kawan baik lain, mereka saling memerlukan, saling membantu dan memberi semangat untuk kejayaan peribadi.

Tetapi apa boleh buat. Panas tidak sampai ke petang dan banyak sebab yang membawa kepada pergaduhan besar mereka.

Bagaimanapun atas dasar profesionalisme mereka bersatu juga dalam filem ini dan Aznil bijak memainkan peranan dengan menjadikan kontroversi hubungan mesra dan dinginnya dengan Azwan sebagai `pelaris' utama filem ini.

Difahamkan banyak adegan dalam filem ini adalah kisah benar di sebalik dingin dan mesranya hubungan mereka.

Bagaimanapun Aznil tidak menyatakan sama sekali mana satu adegan sebenar yang pernah berlaku dan membiarkan penonton terus berteka-teki sehingga ke akhir cerita.

Banyak juga yang menganggap dinginnya hubungan Aznil dan Azwan berpunca daripada hasutan pihak ketiga yang tidak senang dengan keakraban mereka.

Di sinilah peranan Jaafar Onn, Rosnah Mat Aris dan Sheila Mambo. Ketiga-tiga individu ini ialah dalang di sebalik kekecohan hubungan Aznil dan Azwan.

Ketiga-tiga pelakon ini membawa karakter sebenar daripada dunia realiti yang dikatakan menjadi punca utama yang membawa kepada keretakan hubungan Aznil dan Azwan.

Menariknya apabila filem ini turut membawakan watak-watak sampingan yang boleh membuatkan anda tidak kering gusi dan mahu menonton lagi dan lagi.

Lihatlah bagaimana peranan Yassin yang sentiasa muncul dalam banyak babak dalam filem ini. Penampilan Yassin secara `spontan' juga adalah gaya Aznil yang cukup dikenali dengan keletah bijaksananya di pentas persembahan. Bercakap tentang topik Aznil dan Azwan ini memang tidak pernah menemui titik noktah.

Aznil mengakui kebenaran bahawa filem Aku No. 1 ini juga dihasilkan khas untuk mengetengahkan kemelut dan kisah sebenar di sebalik hubungan mereka berdua. Filem dengan belanja RM1.2 juta ini isu-isu yang berkaitan dengan kisah persahabatan dan persengketaan kedua-dua pengacara popular ini secara terus kepada penonton.

Penuh dengan sikap adu domba, hipokrit, saling menjatuhkan dan banyak lagi anasir negatif yang dihidangkan filem ini akan memberi jawapan bahawa inilah realiti yang berlaku dalam dunia hiburan kita.

Dihidangkan dengan unsur lawak jenaka, filem ini adalah terapi terbaik untuk menenangkan jiwa dan berhibur ke tahap maksimum.

Menonton filem ini juga, anda akan lebih memahami tentang kisah-kisah yang berlaku di sebalik kontroversi-kontroversi yang pernah timbul membabitkan mereka berdua.

Dengan nama besar Azwan, Aznil dan pelakon pembantu lain, filem ini dijangka mampu menebus kekecewaan Boommax yang telah gagal melalui filem pertama mereka, Aku Kaya The Movie.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.