saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/08/2004

Tempias pindaan undang-undang rizab Melayu

Peguam Menulis Oleh Salleh Buang
Betulkah pindaan undang-undang tanah rizab Melayu akan menguntungkan orang Melayu? Itulah soalan yang telah dikemukakan oleh seorang pembaca akhbar ini dalam e-melnya kepada saya hujung minggu lalu.

Tergamam juga saya bila membaca soalan itu, kerana jawapan yang diminta daripada saya jelas sekali tidak boleh diasaskan kepada emosi atau harapan, tetapi berlandaskan fakta sebenar dan semasa (setidak-tidaknya ramalan munasabah tentang suasana yang akan timbul setelah pindaan undang-undang itu dikuatkuasakan nanti).

Jika undang-undang sedia ada (ramai menganggapnya sebagai pagar keselamatan melindungi tanah rizab Melayu supaya kekal dalam tangan orang Melayu dan tidak terjatuh atau tergadai kepada pihak lain) itu kini nyata tidak mampu sepenuhnya melindungi dan mengekalkan status yang sedia ada, tidakkah undang-undang yang lebih liberal dan longgar itu nanti akan menghasilkan satu situasi yang lebih teruk dan gawat lagi?

Atas gesaan pembaca yang menghantar e-melnya kepada saya itu, saya mencari maklumat lanjut berkaitan hal ini di ruang siber.

Jika maklumat yang saya temui itu (dan yang saya nyatakan semula di bawah ini) tidak betul, saya harap sesiapa sahaja yang mengetahui kedudukan sebenar akan sudi menegur dan membuat pembetulan bagi makluman kita semua.

Sewaktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah rizab Melayu. Kini, jumlahnya sudah susut hingga hampir separuh, kerana jumlah yang tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja.

Di Selangor, hampir 9,000 hektar tanah rizab Melayu hilang (biasanya kehilangan ini ialah menerusi pengambilan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960).

Walaupun Perlembagaan Persekutuan mewajibkan setiap ekar tanah beri milik rizab Melayu yang diambil mesti diganti dengan jumlah keluasan yang sama (menerusi pemberian milik baru), Selangor hanya mampu menggantikan sekadar satu pertiga sahaja (34 peratus).

Di Kedah, kita difahamkan bahawa pada 1990 kira-kira 80 orang Melayu (pemilik tanah rizab Melayu di kawasan Pantai Chenang, Langkawi) hilang tanah mereka setelah ia diambil oleh PBN untuk membangunkan projek pelancongan Pelangi Beach Resort.

Di Negeri Sembilan, pada 1994 lebih 600 orang Melayu yang menduduki Kampung Mambau, Mukim Rasah, hilang tanah mereka (seluas 930 hektar) apabila PBN mengambil tanah mereka itu untuk membangunkan projek gergasi Seremban II.

Setahun sebelum itu, pada 1993 masyarakat petani di sekitar kawasan Kerpan, Kedah, kehilangan tanah mereka (melibatkan 167 lot tanah seluas lebih kurang 1,000 ekar) apabila PBN mengambilnya untuk projek ternakan udang harimau. Projek ternakan itu adalah usaha sama antara kerajaan negeri dengan kumpulan Ben Ladin dari Arab Saudi.

Di Johor, kira-kira 26,000 ekar tanah orang Melayu di sekitar Tanjung Langsat hingga Tanjung Piai juga telah hilang, setelah diambil untuk satu projek bandar baru.

Projek ini dikendalikan oleh syarikat milik Kuok Brothers, secara usaha sama dengan kumpulan UEM.

Di Melaka, penduduk Kampung Pantai Kundur dan Tanah Merah juga telah kehilangan tanah rizab Melayu mereka apabila ia diambil untuk pembinaan satu kawasan zon penampan oleh Petronas.

Di Terengganu, tanah orang Melayu di Pulau Redang (seluas kira-kira 300 ekar) diambil oleh PBN dan kemudian diserahkan kepada satu syarikat swasta milik seorang jutawan bukan Melayu.

Kesimpulannya, jika di bawah Enakmen Rizab Melayu yang sedia ada, pemilik tanah rizab Melayu terus dihalang menjual atau menggadai tanah mereka kepada orang atau institusi bukan Melayu, tanah tersebut tetap hilang (pupus) sedikit demi sedikit, tahun demi tahun, menerusi prosedur pengambilan tanah.

Sementara kita tidak mempersoalkan niat baik (bona fide) tindakan kerajaan negeri ataupun menolak rancangan pembangunan yang hendak dijalankan, soalan undang-undang yang berbangkit (dan yang secara jujur mesti dijawab) ialah kenapa PBN berkaitan terus gagal dan meremehkan kewajipannya menggantikan jumlah tanah rizab Melayu yang telah hilang?

Dari kaca mata rakyat, PBN adalah ketua atau pemimpin mereka. Berasaskan prinsip kepimpinan menerusi teladan, sewajarnya semua PBN (yang telah mengambil tanah rizab Melayu) segera melaksanakan kewajipan mereka untuk menggantikan jumlah yang hilang itu dengan membuat pemberian milik baru atas jumlah yang sama.

Kegagalan PBN melaksanakan kewajipannya di bawah Perlembagaan Persekutuan itu pastinya sedikit sebanyak menghakis kepercayaan masyarakat terhadap mereka yang memegang tampuk pemerintahan. Itu adalah undang-undang alam.

Kini, timbul pula niat hendak melonggarkan lagi ikatan dan menggugurkan halangan yang sedia ada. Tidak dinafikan niat kerajaan memang baik, iaitu hendak meningkatkan nilai pasaran serta kebolehpasaran tanah rizab Melayu di seluruh negara.

Tetapi bila kita lihat isu ini dari kesan jangka panjang, siapakah yang sebenarnya akan untung - pemilik tanah (orang Melayu) atau orang lain yang mengambil pajakan tanah rizab itu (usahawan atau peniaga bukan Melayu)?

Wajar diingat bahawa undang-undang pajakan dan sewaan tanah kita sekarang belum begitu rapi, tersusun indah dan seimbang.

Kedudukan undang-undang kita sekarang jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan undang-undang pajakan dan sewaan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Dalam Kanun Tanah Negara 1965, hanya terdapat dua atau tiga seksyen tertentu menyentuh mengenai perkara ini.

Selebihnya, prinsip caveat emptor terus terpakai, manakala terma-terma pajakan dan sewaan biasanya digubal dan ditentukan oleh pengamal undang-undang berasaskan perundingan dan persetujuan antara pemilik tanah dengan pemajak.

Kepada pembaca yang mengemukakan soalannya minggu lalu itu, apa yang dapat saya katakan ialah tanpa melihat teks sepenuhnya pindaan yang hendak diluluskan, sukar bagi kita menyatakan (di peringkat awal begini) sama ada kepentingan pemilik tanah nanti akan terus dapat dilindungi sepenuhnya, ataupun mereka akan menghadapi risiko yang tinggi andainya mereka setuju membenarkan tanah mereka dipajak oleh bukan Melayu selama tempoh 60 tahun (atau apa-apa tempoh lain yang dibenarkan oleh undang-undang).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:20
Asar 4:36
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.