saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/08/2004

Percaturan cinta ahli catur AS-Jepun

PADA abad ke-19, dunia mengenang Robert James Fischer atau Bobby Fischer sebagai juara catur yang unggul dan memiliki strategi tersendiri semasa menumpaskan pihak lawan.

Fischer, warga kelahiran Chicago, Amerika Syarikat (AS) itu diangkat sebagai hero negara selepas mengalahkan juara dunia dari Rusia, Boris Spassky pada tahun 1972.

Ketika itu adalah era Perang Dingin, di antara AS dan Kesatuan Soviet.

Maka apabila perlawanan penting antara Fischer dengan Spassky diadakan pada 11 Julai 1972, ia seolah-olah `membawa' bersama perlawanan, strategi dan percaturan AS melawan Soviet.

Perlawanan itu berlarutan sehingga 24 permainan dan berakhir pada 1 September tahun yang sama.

Justeru, tidak menghairankan mengapa Fischer dipuja dan diangkat begitu tinggi oleh AS selepas beliau muncul juara dengan menewaskan Spassky ketika bermain di Reykjavik, ibu kota Iceland itu.

Secara peribadi, Fischer menjadi rakyat AS yang pertama mampu mengalahkan juara dari Rusia itu.

Di bawah sistem Soviet, catur bukan semata-mata sukan atau permainan tetapi ia dipromosikan sebagai sebahagian daripada dasar negara.

Tetapi, itu berlaku pada abad yang lalu. Jika sebelum ini Fischer menjadi raja catur yang selalu menang dan berkuasa, beliau kini tidak ubah seperti `raja' yang terperangkap dengan `bidak-bidak' yang lebih pantas dan panjang akal.

Fischer pada abad ini tidak lagi mempunyai status, gagal mencatur hala tuju hidupnya dan menghabiskan hari-hari tua sebagai bekas juara catur dunia dengan penuh kekecewaan.

Pada usia 61 tahun kini, impian untuk hidup bersama wanita yang dicintai, Miyoko Watai terhalang oleh masalah yang dicipta oleh beliau sendiri sebelum ini.

Permohonan perkahwinan beliau dengan Watai, wanita Jepun berusia 59 tahun itu tidak boleh difailkan di Tokyo atas alasan Fischer tidak mempunyai pasport AS yang sah.

Sukar dipercayai bahawa individu yang pernah mengharumkan nama negaranya sendiri itu kini menjadi pelarian dan berdepan dengan seribu macam masalah.

Fischer mencintai tunangnya, Pemangku Presiden Persatuan Catur Jepun dan juara empat kali di negara Matahari Terbit itu.

Tetapi, undang-undang di Jepun tidak membenarkan beliau berbuat demikian kerana tarafnya sebagai rakyat AS seolah-olah tergantung.

Pada satu sidang media di Tokyo baru-baru ini, Watai, yang telah tinggal bersama dengan Fischer selama lebih empat tahun mengakui amat mencintai warga AS itu.

``Saya fikir Fischer adalah `raja' dan saya mahu sekali menjadi `permaisuri','' kata Watai.

``Saya mahu hidup gembira bersama Fischer selama-lamanya.''

Hasrat dan impian Watai itu mungkin boleh menjadi kenyataan atau tidak lebih diibaratkan sebagai angan-angan sahaja.

Ini kerana tindakan tanpa `percaturan' Fischer pada masa lampau mengheret sama Watai.

Gelaran juara dunia yang dirangkul Fischer dilucutkan selepas beliau enggan berlawan dengan Anatoly Karpov, juga dari Rusia pada tahun 1975.

Beliau selepas itu menghilangkan diri selama beberapa tahun sebelum `bertemu' semula dengan Spassky pada tahun 1992.

Perlawanan catur pada tahun 1992 itu berpihak kepada beliau tetapi telah merintis masalah kepada Fischer dan ia berlanjutan sehingga kini.

Hasil kemenangan itu, beliau membawa pulang wang tunai sejumlah AS$3 juta (RM11.4 juta).

Kejayaan manis membawa pulang wang sejumlah itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil `lumayan' kerana Fischer sebenarnya telah mencabuli sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Yugoslavia dengan bertanding di negara tersebut.

Rakyat AS pada masa itu dilarang menjalin sebarang hubungan perniagaan dengan Yugoslavia kerana kerajaan tersebut menyokong kekejaman Serbia di Bosnia.

Apabila Fischer berdegil dan tetap ke Yugoslavia untuk melawan Spassky, persekutuan AS terpaksa mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Jika sabit kesalahan melanggar sekatan ekonomi AS itu, Fischer boleh dihukum penjara 10 tahun dan didenda sebanyak AS$250,000 (RM950,000) jika kembali ke AS.

Sejak itu Fischer menjadi pelarian selama lebih 12 tahun dan pernah mengembara ke Hungary, Switzerland, Hong Kong, Macau dan Korea Selatan.

Menjelang tahun 2000, Jepun dan Filipina seolah-olah menjadi kediaman utama, apatah lagi beliau telah mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita Jepun.

Ironinya, beliau mengembara ke sana ke mari tanpa menyembunyikan identitinya dan menggunakan pasport AS.

Beliau juga muncul di radio sebanyak 21 kali dengan memberi kenyataan menyokong keganasan selepas peristiwa serangan berani mati di Washington dan New York pada 11 September 2001.

Perkara itu tidak menimbulkan masalah sehingga beliau ditangkap di Tokyo pada bulan lalu.

Berikutan penangkapannya itu, para penyokong beliau dan pertubuhan menyokong pembebasan Fischer segera memfailkan permohonan supaya beliau diberikan suaka politik.

Mahkamah daerah Tokyo bagaimanapun menolak permohonan Fischer itu dan memutuskan supaya warga AS itu perlu dihantar pulang ke negara asal.

Fischer kini diletakkan di penjara imigresen di bandar Ushiku, kira-kira 50 kilometer dari lapangan terbang tempat beliau diberkas.

Dalam masa sama, beliau turut merayu kepada Setiausaha Negara AS, Colin Powell supaya melepaskannya daripada tuduhan mencabuli sekatan ekonomi AS.

Tetapi kedutaan AS di Tokyo enggan menghantar wakil untuk berunding dengan Fischer.

Fischer juga gagal dalam mengisytiharkan perkahwinan dengan Watai kerana didakwa tidak mempunyai dokumen AS yang sah.

Di bawah undang-undang Jepun, mana-mana warga asing yang mahu mengahwini rakyat tempatan, mereka perlu mengemukakan pasport yang sah atau dokumen yang mengesahkan kerakyatan mereka.

Dalam hal yang bukan sedikit mempunyai kaitan dengannya, Watai ternyata tidak mempunyai idea berhubung apa yang sedang berlaku sekarang.

Fischer berkata, penangkapannya itu dilakukan kerana mempunyai motif politik.

Tetapi kepada pemberita di Tokyo baru-baru ini, Watai juga mengakui beliau tidak kisah menjadi `bidak yang dikorbankan' jika ia boleh menyelesaikan masalah membabitkan Fischer.

Selebihnya, Watai terpaksa menunggu jika nasib menyebelahinya, jika beliau dapat hidup bersama Fischer - lelaki yang dicintainya dengan sepenuh hati itu.

Bagaimanapun, para pegawai AS berkata, Fischer tetap tidak akan lari daripada pendakwaan sekalipun kerakyatan AS beliau dilucutkan dan diberi status pelarian politik oleh mahkamah lebih tinggi di Tokyo.

Kepada banyak pihak, Fischer mungkin bijak mengatur buah-buah catur tetapi beliau kurang bestari dalam menyusun perjalanan kehidupan sendiri sehingga ia bukan sahaja memerangkap dirinya tetapi orang-orang kesayangannya.

Mengapakah begitu malang nasib Fischer, seorang juara dunia yang namanya pernah mengharum seabad yang lalu kerana bijak mencatur langkah menumpaskan lawan?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.