saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 03/09/2004

Mahkamah bebaskan Anwar -- Panel hakim ketepikan hukuman penjara sembilan tahun dengan majoriti 2-1

ANWAR Ibrahim yang dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan semalam bersama-sama Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan kediaman bapa mentuanya di Country Heights, Kajang untuk kembali ke rumah mereka di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.


PUTRAJAYA 2 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hampir enam tahun menjalani hukuman penjara hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini apabila rayuannya dibenarkan bagi mengetepikan sabitan kesalahan meliwat.

Keputusan itu bermakna Anwar telah bebas daripada hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2000 atas kesalahan tersebut.

Adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja juga dibebaskan daripada sabitan dan hukuman kes liwat.

Sebelum ini, Anwar, 57, telah pun menjalani hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April 1999 selepas mendapati bersalah atas empat tuduhan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

Dia sepatutnya dipenjara enam tahun, tetapi tempoh hukuman itu dikurangkan setelah berkelakuan baik.

Anwar berada di penjara sementara menunggu keputusan akhir rayuan Mahkamah Persekutuan berhubung pensabitannya dalam kes liwat sehingga dibebaskan hari ini, iaitu genap enam tahun beliau dipecat daripada Kabinet.

Sejurus penghakiman hari ini selesai dibacakan, Anwar yang duduk di kandang perayu bersama Sukma, berkata: ``Yang Arif, terima kasih banyak, semoga Tuhan merestui anda. Itu saja yang ingin saya katakan.''

Di luar mahkamah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu pemberita: ``Syukur kepada Allah kerana semuanya sudah berakhir. Tetapi saya kekal komited dengan perjuangan saya bagi keadilan.

``Saya juga ingin menyuarakan penghargaan saya kepada Perdana Menteri.''

Pada sidang akhbar di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, Anwar berkata, pembebasannya merupakan satu permulaan yang baik ke arah sistem keadilan yang lebih berwibawa.

Katanya, rancangan seterusnya ialah untuk mendapatkan rawatan di luar negara.

``Saya berharap mendapatkan dokumen perjalanan dan boleh berangkat esok,'' katanya.

Sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar, beliau dan isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail singgah di rumah mentuanya, Datuk Dr. Wan Ismail Wan Mahmud di Country Heights, Kajang, sebelum pulang ke rumahnya di Bukit Damansara.

Panel tiga hakim membuat keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Anwar dan Sukma untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas tuduhan meliwat bekas pemandu keluarga, Azizan Abu Bakar.

Anwar telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah didapati bersalah atas tuduhan meliwat Azizan. Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Datuk Arifin Jaka (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 8 Ogos 2000.

Sukma, 43, pula dihukum penjara enam tahun dan sebatan empat kali kerana didapati bersalah bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud memutuskan membenarkan rayuan tersebut.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datin Paduka Rahmah Hussain pula membuat keputusan menentang rayuan Anwar dan Sukma.

Hakim Abdul Hamid yang mengetuai sidang yang mengumumkan keputusan majoriti tersebut, bagaimanapun mengingatkan orang awam supaya membaca terlebih dahulu keseluruhan alasan penghakiman sebelum membuat sebarang komen.

(Penghakiman penuh rayuan ini dimuatkan dalam laman web: www.kehakiman.gov.my/)

Seorang peguam belanya, Karpal Singh turut mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua hakim yang membuat keputusan majoriti membenarkan rayuan Anwar.

Namun, Hakim Abdul Hamid berkata, begitulah jika keputusan memihak kepada perayu.

Sementara itu, peguam S. N. Nair memberitahu pemberita, pihaknya memfailkan satu usul tambahan hari ini berhubung permohonan Anwar untuk mengkaji semula keputusan mahkamah yang mengekalkan perintah hukuman penjara enam tahun atas empat pertuduhan rasuah menyalah guna kuasa di bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) 1970.

Permohonan itu akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada 6 September ini.

Tempoh hukuman penjara terhadap Anwar dalam kes itu sudah selesai setelah beliau menjalani dua pertiga daripada hukuman dengan berkelakuan baik.

Dalam rayuan itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai barisan mewakili pendakwa raya yang dinamakan sebagai responden. Turut mewakili responden ialah Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Ishak Mohd. Yusof.

Anwar pula turut diwakili oleh peguam Christopher Fernando, Gurbachan Singh, Pawancheek Marican, Kamar Ainiah Kamaruzaman, Zulkifli Nordin, Marisa Regina dan Saiful Izham Ramli.

Tiga anak Karpal Singh pula, Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh Deo mewakili Sukma.

Pada prosiding yang bermula kira-kira pukul 9 pagi ini, Hakim Abdul Hamid membacakan alasan penghakiman setebal 88 muka surat yang diputuskan oleh beliau bersama Hakim Tengku Baharudin.

Hakim Rahmah kemudian membaca alasan penghakimannya setebal 35 muka surat menentang rayuan tersebut.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.