saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 03/10/2004

Pendedahan


TUAH tidak dapat melelapkan matanya walaupun memang kepenatan. Nalurinya kurang enak. Tubuhnya tidak berapa sedap. Tercetus juga rasa iri melihat isterinya begitu pulas tidur dan sesekali berdengkur sedang dia sedari tadi terkebil-kebil sendiri.

Sudah jenuh dia menukar posisi - mengiring ke kanan, ke kiri, menelentang, meniarap - tetapi mata tidak juga mahu bertaup. Puas pandangannya menerawang ke setiap penjuru kamar beradunya, akhirnya dia duduk berlunjur kaki sambil bersandarkan bantal.

Dalam termangu-mangu begitu, nada dering telefon bimbitnya memecah dominasi sepi.

Siapa pula telefon tengah-tengah malam begini?

Tuah bangkit separuh terpaksa sambil merungut-rungut perlahan. Cuba mengingat di mana diletakkannya telefon. Dia jarang menjawab panggilan tengah malam, apalagi waktu dinihari. Tetapi entah mengapa ringan kakinya menuju jihat deringan, mencapai telefon di atas meja solek isterinya.

Dia menggenyeh-genyeh mata. Nombor yang muncul tertera di skrin telefon bimbitnya belum pernah dilihat. Nombor asing.

Siapa? Mahu dijawab atau dibiarkan saja?

Barangkali setiausaha sulitnya mahu memberitahu perkembangan pasaran saham dan politik terkini, hatinya memujuk. Barangkali juga panggilan daripada penyokongnya dalam pemilihan nanti. Lalu dia menjawab panggilan.

Helo!

Telinganya mendengar suara seorang perempuan memberi salam. Macam dia kenal. Suara siapa ya?

Waalaikumussalam.

Err, boleh saya nak bercakap dengan Datuk Tuah.

Maaf, Datuk Tuah tak ada... Tan Sri ada. Tan Sri Tuah bercakap ni.

Tuah mengetap bibir. Ada lagi orang yang ketinggalan kereta api!

Oh, maaf Tan Sri. Saya tak perasan bila pula Tan Sri Tuah mendapat gelaran Tan Sri. Tahniahlah daripada saya walaupun terlambat.

Tuah melangkah perlahan-lahan ke sofa.

Siapa yang bercakap ni?

Tan Sri tak kenal suara saya?

Awak siapa?

Mustahil Tan Sri tak kenal saya. Bukankah Tan Sri yang melarikan saya dulu?

Hei, awak cakap baik-baik sikit. Jangan nak fitnah saya!

Sayalah orang yang Tan Sri culik dulu.

Tuah memandang telefon bimbitnya. Rasa mahu ditekannya sahaja butang yang akan mematikan perbualan mereka. Biar padan muka. Tetapi, suara perempuan si pemanggil itu memang pernah dia dengar.

Awak gila ya? Tolonglah jangan main-main. Saya tak ada masa nak layan perempuan gila macam awak ni.

Sanggup Tan Sri kata saya gila?

Habis tu? Tolonglah. Cakap betul-betul awak ni siapa. Dan apa tujuan awak hubungi saya tengah malam buta begini.

Saya Teja. Teja?

Dahi Tuah berkerut sejuta. Dia terduduk di sofa, terkulat-kulat seketika. Mungkin konspirasi pihak lawan menghantar perempuan ini untuk menggodanya lalu mencetus skandal bagi menjatuhkannya!

Beginikah caranya seorang yang pernah bergelar laksamana melayan wanita yang dikasihinya suatu ketika dulu?

Bila masa saya ada bercinta dengan awak?

Bukankah Tan Sri yang menggoda saya, membawa saya lari ke Melaka dan kemudiannya memberi sirih jampi pembenci supaya saya melupakan Tan Sri?

Tuah teringat sesuatu. Dia mengelih isterinya yang begitu lena. Senyum.

Oh, tak sangka ingatan tuan puteri begitu kuat. Apa hajat tuan puteri menelefon patik ni?

Tak usahlah nak ber`patik' dengan saya, Tan Sri. Tujuan saya menelefon demi membersihkan nama saya.

Membersihkan nama awak?

Ya. Saya mesti membersihkan nama baik saya. Kerana setiap kali kisah Tan Sri disebut, nama saya kerap terkait sama.

Bila pula saya mengaitkan nama awak? Awak fikir awak cantik? Tak ingin saya nak babitkan nama awak.

Saya ada menonton sebuah filem baru-baru ini. Kisah percintaan Tan Sri dengan perempuan lain - kononnya puteri Majapahit yang bersembunyi di sebuah gunung.

Lalu awak cemburu?

Cemburu? Lantaklah Tan Sri nak berasmaradana ke, beristeri lima sekalipun, saya tak kisah.

Jadi, apa masalahnya?

Masalahnya nama saya dilibatkan juga. Malah yang bikin saya geram, sebelum itu lagi, banyak karyawan sewenang-wenang menggunakan nama saya. Saya kononnya menjadi gundik Sultan Melaka sedangkan ia tidak benar.

Tuah ketawa besar.

Oh, fasal itu. Biarlah mereka nak buat filem, nak tulis buku. Awak juga yang tumpang dapat nama.

Masalahnya ramai orang memandang rendah dan lekeh kepada saya. Saya dianggap perempuan murahan, mudah termakan pujuk rayu lelaki. Itu semua dusta.

Habis, apa yang benarnya pula? Bukankah awak memang jenis mengada-ngada dan rela mengikut saya pulang ke Melaka?

Tan Sri fikir saya ni perempuan jenis apa? Memang saya mengikut Tan Sri pulang ke Melaka, tapi bukan dengan kerelaan saya. Saya takkan sanggup mengkhianati tunang tercinta apalagi menconteng arang ke muka bapa sendiri. Ini semua angkara Tan Sri.

Angkara saya? Apa yang saya telah buat?

Tuah terasa darahnya naik ke kepala.

Tan Srilah yang berpakat dengan Dang Rakna, inang yang telah saya gocoh mulutnya untuk mengguna-guna saya hingga saya melupakan segala-galanya.

Awak tuduh saya menggunakan ilmu guna-guna untuk melarikan awak? Kan kita ni orang Islam. Itu perbuatan tak Islamik. Itu semua kerja syirik!

Wah! Bila pula Tan Sri menjadi seorang yang Islamik?

Perempuan itu ketawa terkekeh-kekeh pula.

Semasa berada di Majapahit, bukankah Tan Sri yang meneguk arak di hadapan majlis setelah dicabar pembesar di sana, kemudiannya Tan Sri bukan main lagi menari-nari sambil memegang senjata? Itukah yang Tan Sri dakwa Islamik?

Tuah terlongo seketika.

Dan sesudah itu, Tan Sri datang ke Pahang sebelum melarikan saya dengan ghali ke Melaka - semata-mata untuk memenangi semula hati sultan. Apakah hukumnya merampas tunangan orang lain? Apa perasaan Tan Sri jika bakal isteri yang dikasihi diculik orang?

Awak perempuan mana tahu soal kesetiaan kepada raja?

Ini bukan soal kesetiaan, tapi soal patuh dan taksub membabi buta. Kasihan Jebat yang terkorban kerana dituduh menderhaka. Sanggup Tan Sri tikam sahabat karib sendiri yang pernah membela Tan Sri. Bukankah itu zalim namanya?

Oh, Si Jebat tu. Kalau tak menderhaka pun dia telah bermukah dengan dayang istana. Memang layak balasan yang diterimanya.

Mana Tan Sri tahu yang Jebat bermukah, walhal dia sebenarnya telah menikahi Dang Baru secara diam-diam semasa Tan Sri dalam buangan. Kenapa Tan Sri tak siasat dulu? Itu kan fitnah Patih Kerma Wijaya, orang yang dengki dengan kemakmuran Melaka.

Jadi awak tetap menyalahkan saya kerana membunuh Si Jebat?

Ya. Ketaatan Tan Sri tidak bertempat. Dan Tan Sri sebenarnya seorang pemimpin yang gilakan kuasa dan nama. Kerana kedua-duanya Tan Sri sanggup berbuat apa saja. Jebat dan saya sendiri adalah mangsa kegilaan Tan Sri.

Ikut suka awaklah. Saya peduli apa. Baiklah, tolong ringkaskan, apa yang awak mahu saya lakukan?

Tuah mendengar dengkur isterinya makin kuat. Hatinya tambah geram.

Saya hanya mahu Tan Sri buat penafian. Panggil media dan katakan, bahawa tidak ada bekas kekasih Tan Sri yang bernama Teja. Biar semua orang tahu: Tun Teja adalah mangsa keadaan. Saya tidak pernah tergila-gilakan Tan Sri. Saya tidak pernah curang terhadap Megat Panji Alam apalagi mabuk kasmaran tetapi telah dipukau dan dihadiahkan kepada Sultan Melaka. Saya juga telah bersama Tun Fatimah berjuang menentang penjajah Feringgi.

Awak fikir mereka akan percaya? Nanti saya pula yang dituduh gila.

Kalau Tan Sri enggan, saya sendiri akan tampil membuat pendedahan dan menjelaskan siapa sebenarnya Tan Sri yang disanjung-sanjung selama ini.

Awak nak ugut saya pula? Memanglah awak ni kurang siuman. Kenapalah saya terlalu rajin melayan awak malam ni.

Sebelum terlupa, saya juga mahu mengingatkan Tan Sri dan membetulkan beberapa fakta yang akan saya dedahkan.

Apa lagi yang awak mahu?

Saya lihat Tan Sri sekarang lebih banyak berbahasa asing berbanding bahasa Melayu. Dalam temu ramah dengan media tempatan pun Tan Sri nampaknya sangat gemar dan bangga menggunakan bahasa penjajah.

Tuah bingkas berdiri.

Hei, tolong sikit. Apa hak awak nak menegur saya? Awak sendiri pun tahu yang saya menguasai hampir dua puluh bahasa.

Ya, saya tahu. Tapi bukankah bahasa Melayu yang menjadi identiti kebanggaan Kesultanan Melayu Melaka dulu? Itulah lingua franca zaman itu. Itulah bahasa ilmu, bahasa perdagangan di Nusantara malah terkenal ke seluruh dunia.

Apa kelas cakap bahasa Melayu macam awak ni?

Eleh, masa Tan Sri menjadi diplomat Melaka ke Siam, Majapahit, China dan India dulu, itulah bahasa perantaraannya. Kita kena bangga dengan bahasa ibunda kita, Tan Sri. Sebagai tokoh ternama, tindak-tanduk Tan Sri menjadi model kepada rakyat. Lagi satu...

Ya salam, ada lagi ke?

Saya juga melihat kecenderungan Tan Sri menghabiskan masa di padang golf. Alangkah baiknya jika masa yang ada itu dimanfaatkan dengan menjenguk rakyat bawahan. Ramai yang perlukan bantuan Tan Sri. Ini tidak, bila ada pemilihan barulah nampak muka.

Awak ni memang dah melampau!

Saya bercakap untuk kebaikan Tan Sri.

Memang dasar bangsa awak ni mudah lupa. Suka hati awak tuduh saya macam-macam ya. Awak lupa saya yang bersusah payah mengangkat awak sehingga menjadi isteri sultan dulu?

Tan Sri tuduh bangsa saya mudah lupa? Habis Tan Sri sendiri berbangsa apa?

Tuah terkedu. Apakah perempuan ini tahu segala-galanya? Sampai begini sekali pihak lawan sudah menghidu rahsianya?

Saya Melayulah.

Melayu?

Sayalah yang berkata, takkan Melayu hilang di dunia! Takkan itu pun awak tak tahu?

Perempuan itu ketawa terpingkal-pingkal.

Takkan Melayu hilang di dunia? Tiba-tiba pula mengaku Melayu? Tadi Tan Sri juga kata, apa kelas guna bahasa Melayu? Dan, rasa-rasanya nama Tan Sri sendiri pun sudah menunjukkan yang Tan Sri bukan Melayu.

Jahatnya! Awak ni perempuan sewel yang patut masuk Tanjung Rambutan!

Gelak perempuan tidak tahu malu itu makin kuat. Sahihlah memang dia muncikari lawan!

Sengaja saya mahu menduga Tan Sri dari tadi. Saya kenal siapa Tan Sri sebenarnya. Tan Sri sewajarnya tidak layak mendapat sanjungan yang diterima pada hari ini. Kehebatan Tan Sri hanyalah rekaan semata-mata.

Sedapnya bercakap. Ini semua fitnah!

Saya tidak bercakap tanpa ada bukti. Dalam buku 1421: The Year China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang saya kaji, tidak tercatat pun nama Tan Sri sebagai Laksamana Melaka.

Sah! Memang awak ni barua. Fasal apalah saya layan awak dari tadi?

Juga ada yang mendakwa, Tan Sri ini penderhaka kerana menjalin hubungan sulit dengan Puteri Gunung Ledang yang sangat diingini sultan.

Siapa upah awak untuk memfitnah saya, hah?

Malah saya dapati Tan Sri juga seorang pengecut dan pengkhianat kerana berpura-pura uzur tetapi sebenarnya lari dari peperangan menentang Feringgi.

Kurang ajar!

Tangan Tuah mula menggigil. Katalah apa sahaja, tetapi pantang datuk neneknya jika dituduh bacul. Matanya menjeling sekilas keris keramat yang tersisip kemas pada dinding kamarnya.

Kerana itulah, kerana mahu menjulang semula imej Tan Sri yang jatuh serta demi nama dan kedudukan, Tan Sri telah mereka hikayat Hang Tuah!

Hei, perempuan gila, tolong jangan ganggu saya lagi tau!

Baiklah. Saya ulangi amaran tadi: Kalau Tan Sri tidak mahu membuat penafian seperti yang saya kehendaki, saya sendiri akan memanggil pihak media!

Hoi, pergi jahanamlah!

Tuah mencampak telefon bimbitnya ke sofa. Darahnya menggelegak. Gigilnya masih belum reda. Sakit betul hatinya.

Dia mesti mengajar perempuan biadab itu. Tetapi bagaimana?

Dia mundar-mandir beberapa ketika sebelum menyandar semula di kusyen empuk. Terkerenyih seorang diri kemudian disusuli tawa berdekah-dekah. Perempuan murahan, tahulah engkau balasannya nanti!

Ya. Dia berhasrat memanggil sutradara terkenal itu pagi esok. Kalau boleh dia mahu kisahnya difilemkan sekali lagi tetapi dalam versi yang lain pula. Kali ini dia akan meminta penulis skrip memburuk-burukkan watak Teja yang gatal, miang dan langsung tidak tahu segan-silu itu. Biar satu dunia tahu.

Dan buat kali yang entah ke berapa, dia sendiri akan menjadi produsernya!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.