saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/10/2004

Rentak Juara 2004 juara kualiti bukan populariti


BAGAIKAN disambar halilintar apabila pengumuman pertandingan akhir Rentak Juara 2004 anjuran RTM yang disiarkan secara langsung dari Stadium Negara, Selasa lalu berakhir dengan kekecohan.

Perasaan debar dua pasukan menanti siapa yang layak bergelar juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 bertukar terkejut dan kecewa apabila pengacara terkenal Azwan Ali tersalah umum pemenangnya.

Kumpulan NRG yang sepatutnya menduduki tempat kedua hanya sempat mencium kejuaraan selama seminit sebelum memulangkan semula trofi dan replika cek kepada pemenang sebenar, kumpulan Thunderstorm.

Bagaimanapun, Azwan secara profesional telah memohon maaf berkali-kali atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Manusia mana yang tidak melakukan kesilapan. Atas dasar itu Azwan harus dimaafkan walaupun kesilapannya mengundang kemarahan penonton.

Walaupun mencacatkan sedikit pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu, namun penganjuran Rentak Juara 2004 yang diinspirasikan sendiri oleh Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir tetap mencatatkan kejayaan.

Tidak boleh dinafikan lapan buah kumpulan muzik yang berentap di peringkat akhir malam itu sememangnya hebat. Buktinya, Stadium Negara yang pernah mencatatkan kejayaan manis apabila pasukan badminton negara menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 sekali lagi gemuruh dengan kehadiran peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pertandingan akhir Rentak Juara 2004 yang ditaja bersama oleh Kumpulan Naza.

Selain menampilkan skil muzik dan vokal yang mantap, para finalis juga dilihat menggunakan gabungan lagu dan susunan muzik yang menarik sebagai strategi untuk menang.

Bagi kumpulan yang pertama kali menyertai pertandingan dan menjadi juara, kejayaan Thunderstorm amat mengagumkan.

Bayangkan, Thunderstorm bukan sahaja menundukkan tujuh pasukan lain pada final lalu tetapi turut menyingkirkan 27 pasukan lain di peringkat awal yang tidak kurang hebatnya seperti kumpulan muzik popular Def Gab C, OAG, Jinbara, Viper, Ubie dan Screen.

Kumpulan itu yang sepatutnya disertai tujuh anggota turut memenangi hadiah vokal terbaik, pemain gitar dan bass terbaik.

``Susah hendak gambarkan. Kalau naib juara sudah gembira tambah pula dipilih sebagai juara,'' kata Wan Andre Wan Osman mengulas kemenangan kumpulannya.

Rata-rata anggota kumpulan itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik dan pernah mengadakan persembahan di kelab-kelab hiburan terkemuka tanah air.

Menurut Suhaimi Shaari yang juga adik kepada Shuib daripada kumpulan Freedom, di sebalik kesibukan mengadakan persembahan sepenuh masa di Thai Club, Jalan P. Ramlee, Thunderstorm sempat mengambil cuti selama sebulan untuk menyertai Rentak Juara 2004.

``Memandangkan kerja kami habis pada pukul dua pagi, kami terpaksa berlatih dari pukul tiga pagi hingga ke subuh untuk menyertai pertandingan ini.

``Alhamdulillah... pengorbanan kami nampaknya membuahkan hasil. Kami juga ingin berterima kasih kepada isteri dan anak-anak kami,'' katanya selaku ketua pasukan.

Percaturan Thunderstorm menggabungkan lagu Mentera Semerah Padi, Baby Boy dan Unbelievable berbaloi apabila berjaya merangkul hadiah wang tunai paling tinggi yang pernah ditawarkan dalam pertandingan muzik di Malaysia setakat ini.

Sementara itu, kumpulan NRG yang ternyata sedikit kecewa dengan kesilapan yang berlaku tetap menerima hakikat kekalahan mereka di tangan Thunderstorm.

Tampil dengan lagu Epilog Cinta Dunia ciptaan mereka sendiri, pasukan pilihan itu terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tempat kedua.

``Sebenarnya tujuan utama kami menyertai Rentak Juara adalah untuk suka-suka. Kami seronok berkumpul dengan rakan-rakan lama yang saling mengenali tetapi jarang berpeluang mengadakan persembahan bersama seperti malam ini,'' kata Jasmin Jamil, ketua kumpulan NRG.

Katanya, apa yang lebih penting ialah NRG dapat sama-sama memartabatkan kumpulan muzik tempatan melalui Rentak Juara 2004.

``Ini adalah kejayaan untuk pemuzik kelab seperti kami. Jika dulu orang kita sering mengagungkan pemuzik luar tetapi sekarang RTM telah memberi pengiktirafan yang sewajarnya melalui pertandingan ini,'' ujarnya lagi.

Sementara itu, kumpulan The Big Band yang juga menjadi pilihan pada malam itu menganggap kemenangan tempat ketiga sebagai menepati sasaran.

Kumpulan itu yang bakal mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur awal tahun depan adalah satu-satunya kumpulan yang dianggotai oleh pelbagai kaum.

Selain Thunderstorm, NRG dan The Big Band, lima kumpulan lain iaitu Havoq, Gypsy, Azia, Skyhigh dan Gerhana Skacinta juga sebenarnya turut memberikan persembahan yang `menggigit'.

Walaupun tewas, tahniah kepada mereka yang telah berjuang selama sebelas minggu dalam pertandingan ini.

Semoga kehadiran mereka yang dicungkil oleh RTM akan dapat merancakkan lagi persada muzik tanah air.

Abdul Kadir yang hadir menyaksikan pertandingan pada malam itu mahu pertandingan itu diangkat sebagai pertandingan bertaraf kebangsaan.

Dalam sidang media rancangan hiburan yang pertama diadakan secara langsung di RTM pada malam itu katanya, RTM bercadang menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan.

``Kami akan memikirkan format yang lebih baik. Mungkin kita boleh mula dengan mencungkil bakat di peringkat negeri dan mereka yang berjaya akan diberi kesempatan bertanding di peringkat kebangsaan pula,'' katanya.

Selain memberi peluang menunjukkan bakat masing-masing, beliau berharap pertandingan itu juga dapat memberi pendedahan kepada kumpulan muzik tempatan.

RTM sebelum ini pernah merintis pertandingan muzik berkumpulan menerusi Juara Kugiran selama tujuh tahun mulai 1970.

Pertandingan tersebut bagaimanapun dihentikan selama 23 tahun sebelum Bintang Kugiran diwujudkan pada 2001.

Para pemenang setiap kategori dipilih oleh juri profesional kecuali kategori Kumpulan Popular yang dibuat melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

Barisan juri Rentak Juara 2004 diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail yang dibantu Manan Ngah, Fauzi Marzuki, Roslan Aziz, Ramlan Imam dan Ahmad Ali.

Pertandingan malam itu turut diserikan dengan persembahan Ramli Sarip, Awie dan kumpulan Wings, XPDC, Spider dan Ruffedge.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.