saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 29/11/2004

Rogol temu janji - Mangsa mudah terpedaya

MUKADIMAH

ROGOL temu janji, pelik bunyinya tetapi realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh remaja terutama golongan masa kini akibat keterlanjuran nafsu.

Statistik kes rogol yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur mencatatkan 80 peratus jenayah rogol berlaku di kalangan pasangan yang saling mengenali.

Bersandarkan Akta Kanak-Kanak di negara ini, sesiapa yang melakukan hubungan seks dengan gadis bawah usia 16 tahun sama ada secara rela atau paksa dikategorikan sebagai jenayah rogol dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

Kemudahan remaja era globalisasi mendapatkan maklumat mengenali seks di samping pengaruh dadah dan alkohol dikatakan punca kepada berleluasanya hubungan terlarang ini sehingga mencetus fenomena yang semakin membimbangkan.

Wartawan Keluarga, Rahana MD mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai Siasatan Jenayah Bukit Aman Kuala Lumpur dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) bagi isu ini.

BARU kenal dua jam, Asikin, 15 sudah berani membonceng motosikal seorang lelaki mengelilingi tasik di taman rekreasi dan akhirnya terpedaya dengan pujukan untuk melakukan hubungan seks.

Contoh di atas merupakan peristiwa sebenar yang berlaku terhadap mangsa rogol hasil temu janji yang diatur kerana sikap para gadis ghairah menikmati keseronokan.

Pegawai Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur, Chif Inspektor Marina Hashim berkata, sikap remaja perempuan sekarang amat dikesali kerana terlalu mudah diperdaya.

Katanya, remaja terutama anak gadis sekarang terlalu mudah jatuh hati dan membuat keputusan keluar dengan lelaki walaupun baru beberapa jam berkenalan.

``Kebanyakan kes yang dirujuk kepada pihak polis, sebanyak 80 peratus mangsa rogol berlaku di kalangan pasangan yang saling mengenali.

``Kaum Melayu mencatat bilangan tertinggi iaitu sebanyak 920 kes sejak tahun 2000 hingga September 2004 dengan melibatkan seramai 665 orang di bawah usia 16 tahun.

``Bersandarkan kepada Akta Kanak-Kanak Malaysia, mengadakan hubungan seks dengan gadis berusia 16 tahun ke bawah sama ada secara rela atau paksaan dikategorikan sebagai jenayah rogol dan siasatan akan dijalankan,'' katanya.

Menurut Marina, mengikut statistik tahun ini sehingga bulan September lepas, sebanyak 469 kes rogol melibatkan kenalan, manakala rogol yang dilakukan oleh teman lelaki mencatat bilangan 271 kes.

Penuntut

``Pelajar sekolah atau penuntut pusat pengajian tinggi merupakan bilangan yang paling banyak terlibat iaitu 615 kes dicatatkan diikuti dengan golongan penganggur sebanyak 381 kes pada tahun ini sehingga September lepas,'' katanya.

Beliau menambah, tidak ada had tempoh tertentu bagi pasangan untuk melakukan hubungan seksual kerana ada mangsa baru kenal suspek dua jam pun sudah rela melakukannya.

``Lebih menyedihkan apabila siasatan dijalankan, ada mangsa yang tidak kenal pun siapa suspek, nama penuh, tinggal di mana, kerja apa, malah kereta yang mereka naiki pun, dia tidak ingat nombor.

``Hasil siasatan mendapati mangsa tahu kesan dan akibat perbuatan mereka tetapi sering tidak mengendahkannya kerana mahukan kebebasan.

``Kelemahan mereka mengawal tingkah laku menyebabkan terdorong kepada perbuatan tidak senonoh,'' katanya.

Marina menambah, kebanyakan mangsa rogol temu janji terdiri daripada gadis berusia 13 hingga 15 tahun yang mudah terdorong melakukan hubungan seks.

``Mereka mudah termakan dengan janji manis lelaki yang baru dikenali dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menyerahkan diri.

``Sebaliknya lelaki pula sekadar mencuba kerana menganggap gadis tersebut adalah pelengkap kepada `kelakian' mereka,'' katanya kesal.

Dalam hal ini beliau turut menyelar sikap ibu bapa sekarang yang lepas tangan dalam menjaga pergaulan anak remaja.

Bahkan, terdapat kes di mana seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun sanggup lari dari rumah dan tinggal sebilik dengan teman lelaki berusia 15 tahun selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

``Pada hari ke 10 baru ibu kepada teman lelakinya tahu ada budak perempuan tinggal di dalam bilik anaknya dan mereka sudah berkelakuan seperti suami isteri.

``Kejadian ini jelas menunjukkan ibu bapa budak lelaki ini tidak pernah menjenguk bilik anaknya malah tidak peduli si anak ada di rumah atau tidak,'' katanya.

Selain mangsa mengenali suspek yang terdiri daripada kenalan atau teman lelaki terdapat juga mangsa yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek atau disebut sumbang mahram.

Bapa kandung

``Statistik menunjukkan bapa kandung, suspek yang paling banyak didapati merogol anak sendiri dan sehingga bulan September lepas 80 kes dilaporkan.

``Apa yang menyedihkan berdasarkan siasatan didapati 70 peratus ibu kepada mangsa tahu perbuatan si suami tetapi enggan mengakui hakikat tersebut.

``Walaupun beberapa kali mangsa mengadu ayah mereka melakukan perbuatan tidak senonoh, si ibu tetap menyalahkan anak-anak dan sanggup menuduh mereka menipu atau sengaja menggoda suaminya.

``Selain takut hilang pergantungan, isteri ini tidak sanggup menanggung, malu malah ada pula yang beranggapan ayah mempunyai hak ke atas anak-anak dan boleh melakukan apa sahaja,'' katanya.

Marina merujuk satu kes di mana seorang bapa telah merogol anak gadisnya yang berusia 15 tahun sejak tiga tahun lalu di dalam bilik air sebelum si anak ke sekolah.

Alasan bapa tersebut, isterinya tidak melayan kerana sibuk bekerja menjual kuih dan keluar rumah sejak jam enam pagi.

``Si isteri pula memberi alasan, suaminya mahukan hubungan seks yang sangat kerap sedangkan dia penat bekerja.

Rawatan pakar

``Dalam situasi begini, si suami sebenarnya sakit dan memerlukan rawatan pakar. Malangnya, di Malaysia kebanyakan masyarakat beranggapan, orang hanya bertemu pakar psikiatri kerana gila,'' katanya.

Persepsi tersebut katanya, perlu diubah untuk menangani pelbagai masalah sebelum sampai ke peringkat yang lebih serius.

Tambahnya, pihak polis juga sering mengadakan ceramah bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar sekolah bagaimana terjadinya jenayah rogol termasuk rogol temujanji.

``Kepada pelajar lelaki sering diingatkan, sama ada secara rela atau tidak, melakukan hubungan seks dengan gadis di bawah usia 16 tahun dikategorikan sebagai jenayah rogol dan mereka boleh didakwa dan jika sabit, boleh dijatuhkan hukuman,'' katanya.

Nasihatnya, kepada ibu bapa sekarang yang sentiasa sibuk, luangkan sedikit masa untuk memantau pergerakan anak-anak dengan bertanya aktiviti seharian.

``Sentiasa hubungi anak-anak di mana dan dengan siapa mereka berada, kerana kita sekarang hidup dalam era globalisasi yang dikelilingi dengan kemudahan canggih termasuk telefon bimbit.

``Ambil tahu di mana anak-anak berada kerana dengan sedikit ruang waktu itu mampu menyelamatkan anak-anak dari terjerumus ke lembah kehancuran,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.