saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 13/12/2004

Banjir ragut 8 nyawa lagi -- Hampir 10,000 mangsa di Kelantan, Terengganu dan Pahang dipindahkan

KEADAAN bandar Kota Bharu, Kelantan yang `lumpuh' setelah dilanda banjir hingga menyebabkan kebanyakan jalan utama di bandar itu terpaksa ditutup semalam. Gambar kiri menunjukkan petugas Hospital Kota Bharu memindahkan pesakit ke tempat selamat selepas hospital itu turut dinaiki air, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Dis. - Lapan orang lagi menjadi korban banjir di Pantai Timur Semenanjung yang bertambah buruk hari ini terutama di Kelantan, menjadikan kematian akibat banjir di tiga negeri terbabit meningkat kepada 11 orang.

Lima orang terkorban hari ini di Kelantan, manakala dua orang mati lemas di Terengganu dan seorang lagi di Pahang.

Semalam, dua orang terkorban di Kelantan dan seorang di Terengganu.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di tiga negeri itu pula telah meningkat hampir 10,000 dengan Kelantan mencatatkan pemindahan tertinggi iaitu 5,459 orang.

Sekurang-kurangnya 20 jalan utama di Kelantan, lima di Terengganu dan dua di Pahang terpaksa ditutup kepada kenderaan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula terpaksa menutup 332 pencawang elektrik yang mengalirkan tenaga elektrik 11 kilowatt di beberapa kawasan banjir di Kelantan dan Terengganu sebagai langkah keselamatan.

Pengurus Kanan Perhubungan Media TNB, Syed Hidzam Osman berkata, tindakan itu terpaksa diambil apabila sebilangan besar pencawang terbabit ditenggelami air dan berbahaya untuk terus beroperasi.

Di Kota Bharu, banjir yang melanda Kelantan disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 15 tahun apabila aktiviti di pusat bandar Kota Bharu serta beberapa daerah lain lumpuh apabila kawasan terbabit ditenggelami air.

Jambatan Sultan Yahya Petra, penghubung utama daerah Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang terpaksa ditutup kepada semua kenderaan berikutan paras air Sungai Kelantan yang semakin naik.

Setakat pukul 4 petang tadi, paras air yang dicatat di Tambatan Diraja berhampiran jambatan berkenaan telah mencecah 6.74 meter, melepasi paras bahaya 5 meter.

Sementara itu, dua daripada lima mangsa banjir hari ini adalah di Kuala Krai, manakala masing-masing satu di Gua Musang, Kota Bharu dan Rantau Panjang.

Dalam kejadian di Kuala Krai, Ibrahim Isa, seorang warganegara Thailand dan rakannya yang dikenali sebagai Baharudin, kedua-duanya berusia 30-an lemas ketika keluar memancing di Sungai Rek, Laloh, malam tadi apabila perahu yang mereka naiki terbalik ketika arus deras.

Sementara itu, di Kampung Dasar Pantai Sabak, Pengkalan Chepa seorang lelaki, Che Wan Husin Che Omar, 40, lemas ketika cuba membaiki pemecah ombak di kawasan berkenaan pukul 2.30 pagi ini.

Dalam kejadian di Aring 10, Paloh, Gua Musang pula seorang lelaki warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Iskandar, lemas setelah terjatuh ke dalam sungai berdekatan.

Dalam satu lagi kejadian, di Rantau Panjang, seorang lelaki yang mengalami masalah mental, Mohd. Zin Daud, 30, lemas selepas terjatuh ke dalam air banjir di kawasan rumahnya.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Kelantan pula berjumlah 5,459 orang dengan Gua Musang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,512 orang diikuti oleh Tanah Merah (1,479 orang), Kuala Krai (1,287 orang), Pasir Mas (665 orang), Machang (311 orang), Kota Bharu (210 orang) orang dan Tumpat (59 orang).

Kesemua mereka ditempatkan di 58 pusat pemindahan.

Banjir itu juga menyebabkan hubungan Kota Bharu dengan tiga bandar lain iaitu Gua Musang, Kuala Krai dan Machang terputus sama sekali.

Di KUALA TERENGGANU, dua terkorban termasuk seorang wanita, Norhayati Saat, 30, yang hilang dibawa arus selepas kereta dipandu suaminya, Zuzuki Mat Sari, 36, tiba-tiba terjerumus ke dalam air sedalam dua meter yang merintangi jalan di Ajil.

Kejadian itu berlaku di Kampung Jak, Ajil dekat sini, ketika Zuzuki mengambil jalan pintas berikutan laluan biasa tidak boleh dilalui untuk ke sebuah klinik di Kuala Berang, setelah mangsa mengalami sakit perut dan pinggang.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Faiz Mohd. Noor, 16, dari Kampung Telaga Mengkudu Bukit Payung, Marang, lemas di sebatang tali air di situ.

Jumlah mangsa yang dipindah di Terengganu pula meningkat kepada 3,603 orang di lima daerah manakala puluhan ribu penduduk kampung terutama di kawasan pedalaman terputus hubungan.

Banjir di Terengganu kali ini disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh 10 tahun dan daerah Dungun mencatatkan mangsa pemindahan paling ramai apabila 2,581 orang diikuti Kemaman (585 orang), Hulu Terengganu (304 orang), Besut (92 orang) dan Marang (31 orang).

Berdasarkan hujan lebat masih turun sekali sekala diikuti dengan wujudnya fenomena air pasang besar malam ini, banjir dijangka terus buruk.

Di KUANTAN seorang warga Indonesia, Mustafa Sukri dikhuatiri lemas apabila tergelincir dan dibawa arus Sungai Belat ketika beliau bersama tiga rakannya ingin melihat banjir di kawasan itu secara dekat.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pahang pula meningkatkan kepada 450 mangsa berbanding 229 orang semalam dengan Kuantan merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.