saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 17/12/2004

Seni Khat - Tiang pemakmuran seni kudus

Biar pena asyik menari
Mengikut rentak tari jemari
Hitam tinta bercahaya di hati
Merakam indah Kalam Ilahi
Mengacu umat berbudaya tinggi.

-Kalam Mas

SENI khat (kaligrafi Islam) adalah salah satu seni yang penting dalam tamadun Islam. Ia adalah antara tiang yang menjadi pancang pembinaan tamadun tinggi. Seni khat bukan sahaja indah, malah ia adalah kudus kerana berkembang daripada budaya penyalinan al-Quran yang kudus dan digunakan sebagai tulisan untuk ayat suci al-Quran. Kesannya turut melimpah kepada tulisan Jawi yang dahulunya digunakan secara meluas untuk catatan ilmiah dan komunikasi.

Perkembangan seni khat bersandar kepada pemakmuran budaya al-Quran yang berkembang pesat pada setiap zaman. Justeru itu perhatian peminat seni khat perlu dikembalikan kepada penyalinan al-Quran seperti sirih pulang ke gagang kerana ia menjadi akar kepada perkembangan seni khat.

Keistimewaan

Seni khat pada era Nabi Muhammad s.a.w. masih berada di tahap awal perkembangannya. Kini seni khat telah menjadi satu bidang ilmu yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Para penyalin al-Quran diilhamkan untuk memperindahkan lagi seni tulisan dan mencipta formula yang bertitik tolak daripada kecintaan kepada Allah s.w.t. Huruf dan mushaf yang dihasilkan seolah-olah menjadi `cincin tanda' kecintaannya itu. Ia terdorong untuk menulis Nama Allah s.w.t. dengan indah kerana

ia menjadi ibadah yang menyubur-

kan iman.

Al-Quran merakam dengan jelas kaitan antara pena, tinta dan manusia. Secara simbolik, manusia laksana pena. Coretan tintanya ialah sejarah yang ia lakarkan di atas lembaran hidupnya. Kefahaman seumpama ini yang ditimba daripada seni khat akan membawa insan ke gerbang taqwa.

Seni khat Islam berkembang daripada seni tulisan Arab. Berdasarkan penemuan inskripsi tulisan Nabatean di Ummul Jamal (250M), dipercayai tulisan Arab berkembang daripada tamadun Nabatean yang wujud sejak ratusan tahun sebelum era Nabi s.a.w. di sekitar Semenanjung Sinai dan Jordan. Dari tahap perkembangan awalnya, pembentukan huruf-huruf itu sendiri berkembang daripada sistem logik yang konsisten serta sistematik. Tokoh pemikir seni khat awal telah menggarap formula yang menjadikan seni khat ini sebagai satu sistem seni tulisan yang matang lagi mantap. Ibnu Muqlah (940M) misalnya telah memperkemas kini sistem khat (khat al-Mansub) dengan aplikasi geometrik dan memperkenalkan formula titik yang menjadi ukuran asas dalam pembinaan huruf khat. Sementara Ibnul Bawwab (1022M) pula memperbaiki sistem tersebut dan memperkemas kini enam khat yang dikenali sebagai Aqlam as-Sittah (enam tulisan iaitu Thuluth, Muhaqqaq, Rayhani, Nasakh, Riqa' dan Tawqi'). Sistem titik yang berdasarkan saiz mata pena dicipta untuk menentukan konsistensi dan nisbah ketepatan huruf (proportion) walau berlaku perubahan saiz pada huruf tersebut.

Bagai cendawan selepas hujan, seni khat bercambah kepada ratusan variasi khat yang kebanyakannya jarang lagi dikenali pada hari ini. Antara seni khat yang paling popular hari ini ialah khat Kufi, Nasakh, Thuluth, Ta'liq (Farisi), Diwani dan Riqa'ah. Seseorang tidak dianggap ahli seni khat selagi ia tidak menguasai khat Thuluth yang digelar sebagai `ibu tulisan'.

Penamaan setiap seni khat ini dinisbahkan kepada konsep, nama tempat dan sebagainya. Khat seperti Hijazi, Maghribi, Andalusi dan lain-lain mengimbas kepada pusat tamadun Islam yang menjadi tempat kelahiran khat itu. Fenomena seumpama inilah yang membuka ruang kepada langkah penghasilan seni khat Melayu sebagai melambangkan kewujudan sebuah pusat tamadun Islam di rantau ini. Ini juga telah memberi inspirasi kepada Black & Brown yang telah memulakan kajian mengenai seni khat Melayu dengan mengambil kira penggunaan pelbagai sistem.

Pengetahuan mengenai konsep dan latar belakang sesuatu khat membantu seseorang untuk menguasai sesuatu bidang khat. Khat Diwani misalnya berbentuk kebulat-bulatan berbentuk bujur telur. Sementara khat Ta'liq (Farisi) oleh Mir Ali at-Tabrizi pula berciri alam seperti api, ombak, angin dan diinspirasi daripada struktur burung. Khat Nasakh pula menjadi pilihan untuk menyalin al-Quran kerana ia indah dan mudah dibaca. Khat Riqa'ah pula mempunyai struktur geometrik yang digubah supaya cepat dan ringkas. Khat Zulfi `Arus (rambut pengantin) pula seakan-akan sanggul mengurai.

Variasi seni khat juga mempamerkan berbagai-bagai ragam kehebatan sebagai tanda ketinggian cita seni umat Islam. Khat Ghubar (debu) misalnya ditulis begitu halus sehingga mampu mencatat surah pendek di atas sebutir biji gandum. Bayangkanlah juga betapa halusnya tulisan beratus helai muka surat sebuah al-Quran yang saiznya hanya sebesar syiling 10 sen. Antara aplikasi lain yang unik ialah ialah mohor (Tughra), khat Kufi Murabba' (bentuk segi empat), khat berbentuk bernyawa (ikan, burung, singa, manusia). Ada juga seniman yang melakarkan seni khat mengikut kreativiti tersendiri.

Melakar seni khat seperti juga melakar lukisan kartun yang boleh ditulis melalui dua cara, iaitu secara garis atau tulisan padu. Antara rahsia keindahan seni khat ialah darjah potongan mata pena, darjah tegak dan lintangnya serta kosistensi gerakan jari semasa menulis. Ini antara rahsia yang menjadikan sesuatu khat itu kelihatan indah dan berseni. Yang lebih penting, tulisan yang lahir daripada hati yang bersih akan menjadikan sesuatu karya itu `bercahaya' dan mampu membias `cahaya'

Mengenali kekayaan dan kehebatan ini, Black & Brown tergerak untuk memperjuangkan seni khat yang berkaitan dengan penyalinan al-Quran. Black & Brown mengajak seniman dalam apa jua bidang untuk mengalami sendiri `mi'raj (perjalanan) rohani' melalui seni khat. Selama seni ini berkaitan dengan al-Quran, seni ini akan tetap kudus dan akan berkekalan hingga ke akhir zaman. Wallahu A'lam.

Artikel di atas adalah hak intelektual Black & Brown Resources Sdn. Bhd.

Ia sebuah syarikat bumiputera yang

berpengalaman dalam seni Islam,

penerbitan dan pengiklanan selama 15 tahun dan pembinaan manuskrip al-Quran beriluminasi selama 10 tahun.

Tel: 03-61565660 Faks: 03-61565661

E-mel:[email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.