saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 20/12/2004

Elly, Yassin, Serina - Bergabung dalam Tangkai Jering

Elly MAZLEIN, YASSIN & SERINA.



ELLY Mazlein, Serina Redzuawan dan Yassin Yahya adalah pelakon generasi baru yang sedang meningkat naik dalam industri perfileman tempatan. Walaupun masih baru tetapi bakat lakonan mereka mendapat kepercayaan beberapa produksi filem termasuk Metrowealth Movies Production (MMP) yang telah mengabungkan ketiga-tiganya dalam filem Tangkai Jering di bawah arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen.

Utusan Malaysia sempat bertemu Elly, Yassin dan Serina untuk berkongsi pengalaman mereka di lokasi Tangkai Jering.

Elly Mazlein - Tangkai Jering hadiah hari lahir

FILEM Tangkai Jering memberi makna yang besar terhadap pembabitan Elly Mazlein dalam bidang lakonan. Buat pertama kali, Elly diberi peranan melakonkan watak utama sebagai Syakila dalam filem itu.

Malah tarikh tayangan Tangkai Jering pada Khamis ini pun memberi kesan nilai sentimental kepadanya.

``Elly baru menyambut ulang tahun yang ke-24 pada 17 Disember lalu. Tangkai Jering pula akan ditayangkan pada 23 Disember ini. Elly rasa filem ini bagaikan hadiah hari lahir Elly tahun ini,'' akui penyanyi yang kini bersinar masa depannya di layar perak.

Menceritakan pengalaman berlakon Tangkai Jering, kata Elly, dia seronok bergandingan dengan Yassin Yahya walaupun itu merupakan kali pertama mereka dipertemukan dalam filem.

``Yassin seorang yang kelakar. Ada satu ketika saya sampai terpaksa mengigit filem sebab tidak dapat menahan gelihati melihat telatah Yassin,'' kata Elly.

Di sebalik keseronokan berada di lokasi, dugaan juga turut dilalui oleh Elly. Dia rasa tercabar, di saat pengarah memintanya melakukan adegan menangis, meraung dan menjerit dalam satu waktu.

Mujur Elly sukakan cabaran. Lalu arahan itu diterimanya dengan hati terbuka walau ada debaran kuat di dadanya.

``Berlakon dan menyanyi sudah menjadi karier sepenuh masa Elly. Kerana itu, Elly akan terima apa sahaja watak yang diberikan, termasuk watak sampingan. Apa lagi tawaran berlakon yang Elly terima sejak kebelakangan ini umpama `hujan lebat'. Jadi Elly tidak boleh terlalu cerewet asalkan ia sesuai dengan diri Elly,'' ujarnya yang kini mula membuat persiapan untuk merakamkan albumnya yang kelima dengan NAR Records.

``Mungkin Mac tahun depan Elly masuk studio,'' katanya.

Tangkai Jering adalah filem ketiga Elly selepas Janji Diana dan Gerak Khas The Movie.

Yassin - Idam watak perogol

PARA penonton mengenali Yassin sebagai pelakon komedi kerana pembabitannya dalam kumpulan lawak Senario dan Aku Kaya.

Namun, di sebalik gayanya yang kelakar itu ramai tidak menyedari, Yassin juga mahu melakar namanya sebagai pelakon versatile.

``Kalau boleh saya mahu melakonkan apa juga jenis watak. Ditawarkan melakonkan watak seorang perogol sekalipun, saya tetap akan terima. Saya yakin, saya mampu melakonkan watak yang bukan komedi,'' kata Yassin yang mengharapkan akan ada produser yang bersedia menawarkannya watak-watak yang lebih mencabar selepas ini.

Apa pun, kata Yassin, Tangkai Jering turut membanggakannya kerana ia merupakan filem pertama yang menawarkannya melakonkan watak utama, juga sebagai Yassin.

``Ini adalah filem kedua lakonan saya di bawah arahan A. Razak Mohaideen selepas filem Kuliah Cinta,'' kata Yassin.

Serina - Bertemu idola

Penglibatan dalam Tangkai Jering dianggap oleh Serina Redzuawan sebagai laluan memenuhi keinginannya melakonkan berbagai genre filem.

``Tangkai Jering, filem komedi pertama lakonan saya. Selepas ini, saya harap diberi peluang melakonkan bermacam lagi genre filem yang lain walaupun sebenarnya saya paling suka filem aksi,'' katanya.

Menceritakan pengalaman sepanjang di lokasi Tangkai Jering, kata Serina, dia rasa bertuah dapat berlakon dengan pelakon yang lebih berpengalaman daripadanya.

``Selain Yassin, saya juga seronok dapat berlakon bersama Khatijah Tan dalam Tangkai Jering. Saya anggap dia sebagai salah seorang pelakon idola saya. Dia banyak membantu saya semasa berlakon dalam filem ini,'' cerita Serina.

Walau bagaimanapun kata Serina, dia paling teruja sewaktu berlakon filem 7 Perhentian yang juga diterbitkan oleh MMP.

``Filem itu memberikan saya watak sebagai seorang pegawai polis. Dari dulu cita-cita saya memang mahu jadi polis tetapi ayah saya tidak benarkan,'' kata Serina lagi sambil tersenyum.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.