saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 02/01/2005

Siti Nurhaliza bikin gempar di Indonesia

SEGALA-GALANYA hebat dan terbaik. Konsert Siti Nurhaliza Indonesia Tour yang bermula Oktober dan berakhir pada minggu lalu bukan hanya sebuah konsert yang biasa kita tonton. Tetapi ia melangkau daripada batas dan sempadan kebiasaan itu.

Ia telah mempertemukan insan seni yang terbaik dari dua negara, Malaysia dan

Indonesia sebenarnya. Malaysia sudah tentu diwakili oleh penyanyi Siti Nurhaliza, sementara tuan rumah diwakili oleh pemuzik tersohor, penari terhebat di samping dianjurkan oleh stesen televisyen paling popularnya,

Transtv.

Konsert di empat daerah, Jogjakarta, Makassar, Surabaya dan Jakarta ini sekali gus mengesahkan tanggapan betapa pengaruh Siti Nurhaliza tidak mungkin dikekang lagi, termasuk oleh artis-artis di negara jiran itu sendiri.

Jika ada peminat yang bersikap `tidak kuasa' dengan Siti Nurhaliza, ia sebenarnya bukanlah kudis pun kepada penyanyi itu. Kerana itu Siti terus melebarkan sayap, mencari ruang kejayaan dengan langkah dan gaya tersendiri.

Bukan mengindonesiakan diri

Sebagaimana meriah dan gahnya setiap konsert Siti Nurhaliza di Malaysia ia menjadi lebih hebat apabila sampai di negara seberang itu.

Siti menggunakan kepakaran pemuzik dan tenaga kreatif yang biasa dalam banyak pementasan hebat di negara berkenaan termasuk pengarah muzik, Erin Butawa selain penari United Dance.

Bagaimanapun menggunakan muzik dan kepakaran tenaga produksi dari Indonesia, bukan bermakna gaya dan lenggok Melayu Siti juga berubah.

Selama di negara berkenaan, kata Siti, dia cuba seboleh mungkin mengekalkan lenggok dan bahasa Melayu dalam persembahan dan pengucapannya.

``Lagipun Siti orang Malaysia, tak perlu cuba jadi macam orang Indonesia. Siti tidak mahu mengindonesiakan diri Siti bila sampai ke sana,'' katanya.

Siti juga berbangga dan sentiasa ingat akan pesanan yang dititipkan oleh Erin Butawa bahawa dalam apa juga keadaan lenggok kemelayuan perlu dikekalkan.

``Dia bagi tahu bahawa Siti diterima di Indonesia kerana lenggok Melayu yang asli. Indonesia susah hendak menerima artis yang memilih muzik yang sama dengan aliran artis mereka di sana.

``Jadi, bila Siti cuba menembusi pasaran negara mereka dengan muzik yang penuh dengan lenggok dan ciri kemelayuan, itu sebab tidak menjadi masalah untuk Siti diterima di sana,'' katanya.

Bangga Siti bukan hanya untuk dirinya secara peribadi. Tetapi dalam masa yang sama dia juga telah melihat fenomena yang tidak dijangkakan apabila lagu ciptaan komposer tempatan diterima dengan begitu baik oleh masyarakat di negara seberang itu.

``Itulah yang paling Siti banggakan. Mereka sama menyanyi, menari dan menghayati muzik kita.

``Sekurang-kurangnya Siti juga memainkan peranan membawa karya komposer ini ke mata dunia luar,'' kata Siti.

Hayati budaya masyarakat Indonesia

Rupa-rupanya peluang ke Indonesia tidak hanya digunakan untuk menjayakan konsert. Tetapi Siti juga dibawa ke beberapa daerah yang berdekatan untuk merasai dan menghayati sendiri keindahan budaya masyarakat di satu-satu tempat.

Habis sahaja konsert di sana, Siti bawa pulang banyak pengetahuan. Bagaimana penduduk di kota Jogjakarta yang pemurah dengan pelbagai hadiah, tentang Surabaya yang kuat dengan penghayatan budaya dan telor kedaerahan serta orang Makassar yang suka menjamu selera tetamu dengan pelbagai masakan sendiri, semuanya menjadi kenangan indah dalam diari 2004 penyanyi ini.

``Siti juga baru tahu bahawa masyarakat Betawi di Jakarta mempunyai gaya pembinaan rumah, pakaian dan makanan yang tersendiri dan berbeza dari daerah lainnya.

``Segala-galanya berbaloi sebab Siti dapat belajar dan faham tentang itu semua yang selama ini hanya Siti tonton dalam televisyen sahaja,'' katanya yang turut mendapat sokongan banyak artis popular di Indonesia ketika konsert di Jakarta yang turut hadir sebagai penonton.

Bebas daripada gosip dan fitnah

Tiga bulan berulang-alik antara Indonesia dan Malaysia, Siti mengakui situasi sangat mencabar.

Bagaimanapun ada ketenangan yang terhasil daripada kesibukan itu.

Selama di Jakarta kata Siti, dia banyak bertemu dengan pihak media di sana.

``Bagaimanapun mereka tidak banyak tanya soal gosip ataupun kisah e-mel layang yang sudah menjadi kes di mahkamah.

``Mereka tanya biasa-biasa sahaja dan tidak terlalu memberi tumpuan kepada soal itu,'' jelasnya.

Ini menyebabkan Siti merasakan dirinya bebas daripada gosip dan cerita-cerita yang tidak berasas sepanjang tempoh berkenaan.

``Mungkin juga kerana terlalu sibuk, tak ada masa Siti hendak fikir fasal soal lain. Yang penting setiap masa Siti fikir hendak buat show yang terbaik dan terhebat.

``Siti hanya akan puas kalau keinginan itu dapat disempurnakan,'' katanya yang terpaksa dihantar ke klinik untuk disuntik kerana demam panas sehari sebelum konsert di Jogjakarta tempoh hari.

Peduli apa kata orang

Apabila Siti berpeluang membuat persembahan besar-besaran di Indonesia, tidak kurang mulut yang bercakap.

Kononnya Siti ke sana membawa hati yang duka setelah banyak sangat peristiwa hitam melanda hidupnya di negara sendiri sebelum ini. Di pihak Siti bagaimanapun soal itu tidak timbul.

``Tak ada asas kalau kata Siti merajuk. Siti masih kuat untuk berhadapan dengan itu semua.

``Tetapi bila peluang sudah datang, kita tidak boleh tangguhkan lagi.

``Lagipun Siti fikir, Siti sudah laksanakan sebahagian daripada tanggungjawab kepada bidang seni dalam negara dan sudah masanya untuk Siti berjalan ke luar pula,'' katanya.

Dan secara peribadi, kata Siti dia faham tujahan seperti ini akan dilalui juga kerana sifat manusia lebih banyak memandang kepada soal negatif daripada positifnya.

``Siti faham, bila Siti ke luar, orang akan kata Siti kecewa atau tidak lagi diterima dalam negara sendiri. Keluar dari Malaysia saja orang akan cakap macam-macam.

``Tetapi kalau Siti layan kata-kata macam ini, Siti tidak akan ke mana-mana. Jadi, jalan terbaik pekakkan saja telinga dan buat apa yang Siti fikir baik,'' katanya, matang meluah bicara.

Hasrat untuk menawan dunia tidak pernah terhenti setengah jalan. Dan Indonesia adalah permulaannya.

``Bukan mudah ke pasaran dunia. Jauh lagi perjalanan Siti. Tetapi kata orang, hendak tawan dunia, kena yang dekat dengan kita dulu.

``Kebetulan orang Indonesia lebih menghargai kesenian dan di situlah Siti menapak,'' katanya lagi.

Bebas dari SRC

Mungkin banyak yang tidak tahu, kontrak Siti Nurhaliza dengan syarikat rakaman SRC sudah berakhir semenjak awal tahun lalu.

Perkara ini tidak pernah diceritakan oleh Siti kepada mana-mana media sebelum ini.

``Tetapi itulah hakikatnya. Siti bukan lagi artis di bawah pengurusan syarikat rakaman SRC lagi,'' katanya.

Bagaimanapun kata Siti, antara SNP dan SRC tidak pernah mempunyai sebarang masalah yang menyebabkan dia tidak menandatangani perjanjian kontrak baru.

``Kami masih bekerjasama sampai sekarang. Siti tidak fikir untuk ke syarikat lain kerana lebih senang diuruskan oleh SNP sendiri selepas ini.

``Kerjasama dengan SRC macam biasa, cuma Siti tidak perbaharui kontrak sahaja. Pada Siti kontrak hanya hitam putih di atas kertas.

``Apa yang lebih penting ialah sikap tolak ansur dan kerjasama dan sepanjang hampir 10 tahun di bawah pengurusan SRC, Siti tidak pernah berhadapan dengan masalah,'' tegasnya panjang lebar.

Album rakaman solo terbaru Siti pada tahun hadapan adalah usaha pertamanya di bawah label sendiri.

Sebelum ini SNP telah menerbitkan

album Siti Nurhaliza Live In Concert

2004 dan sedang mendapat sambutan hebat

di pasaran.

Sedih mengenang mangsa tsunami

Dalam rancak bercerita tentang kejayaan konsertnya di Indonesia yang lalu, ada riak sedih di wajah si jelita ini.

Siti masih bertarung dengan perasaan apabila menatap akhbar tentang peristiwa sedih yang menimpa sebahagian

masyarakat di utara negara ini

kerana tragedi ombak besar tsunami.

``Siti tumpang sedih dengan bencana yang berlaku sehingga mengorbankan lebih 60 nyawa di negara kita.

``Yang mampu Siti lakukan ialah menghadiahkan Al-Fatihah dan berdoa agar roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,'' katanya.

Siti antara artis yang pertama menyumbang kepada Tabung Bencana Tsunami Utusan pada Khamis lalu.

Siti juga berharap agar semua pihak tampil memberi bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka yang memerlukan.

``Hari ini hari mereka. Semoga dengan bantuan kita akan meringankan bebanan yang mereka hadapi,'' katanya mengharap.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.