saya nak baca ..

LAPORAN KHAS


ARKIB : 02/01/2005

Detik cemas 26 Disember

``MULA-mula ingat benda kecil saja tapi rupa-rupanya... tak sangka,'' itulah perkataan yang boleh diluahkan oleh bukan sahaja kalangan mana-mana pemimpin kanan, anggota mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang malahan pada media cetak dan elektronik di negeri itu pada petang 26 Disember lalu.

Selama beberapa tahun membuat liputan tentang bencana yang berlaku di Pulau Pinang dan sepanjang pengetahuan rakyat, Malaysia sememangnya bebas daripada apa yang dikatakan sebagai `bencana global' - ombak besar atau gelombang gergasi tsunami sememangnya tiada dalam kotak fikiran apatah lagi bagi penduduk Pulau Pinang sendiri.

Selama ini hanya banjir kilat, air pasang besar dan sesekali gegaran kecil serta pencemaran jerebu menyelubungi panorama Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) masing-masing akibat fenomena alam dari Sumatera dan Kalimantan - menyebabkan sedikit `kekalutan'. Namun itulah kenyataannya dengan apa yang terjadi pada Ahad lalu. Ironisnya, penduduk Pulau Pinang tidak pernah menyangka bahawa gegaran kecil yang menyebabkan sebahagian besar penduduk negeri itu - dari Georgetown, Bayan Baru dan Paya Terubong di daerah Timur Laut sehinggalah ke Nibong Tebal di daerah Seberang Perai Selatan - seawal kira-kira pukul 9 pagi, rupa-rupanya mengundang satu tragedi, malapetaka yang tidak akan dilupakan dalam sejarah negara.

Penulis yang ketika itu berada di dalam rumah di Taman Batu Uban 2, Jalan Pantai Jerejak bersama keluarga pada mulanya menyangka diri kurang sihat sehinggalah ternampak potret keluarga di dinding bergoyang bagaikan pangsapuri yang didiami `dibuai perlahan'. Di luar rumah, jiran tetangga dan penghuni lain di setiap tingkat telah tersedia berada di luar, sambil raut wajah yang gusar bertumpu ke arah laut di Pulau Jerejak. Begitu pun gegaran selama beberapa minit itu diabaikan - setelah pengesahan polis tiada sebarang kerosakan harta benda - diperkuatkan lagi dengan keadaan cuaca cerah tanpa sebarang tompok awan hitam.

Dan sehinggalah pada kira-kira pukul 1.40 tengah hari, pejabat Mingguan Malaysia menerima pengesahan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bahawa `mungkin terdapat perkaitan' antara keanehan gegaran pada 9 pagi dan ketika itu. ``Ada antara empat hingga lima orang dipercayai lemas di Batu Feringghi,'' demikian kata jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dan penulis bersama jurugambar Sazali Che Din mula bergegas dengan kereta menuju ke tempat kejadian kira-kira pukul 1.50 petang. Namun tidak seperti kebiasaannya, kesesakan lalu lintas mula dirasai lebih awal di Jalan Burmah, Jalan Kelawei dan Jalan Tanjong Tokong, kira-kira 12 kilometer dari Batu Feringghi.

Pembahagi jalan konkrit di Tanjong Tokong berselerak atas jalan dan batunya merempuh rumah di situ. Masa ini tak boleh masuk Batu Feringghi, kata seorang anggota polis sambil mengarahkan semua kenderaan berpatah balik ke Georgetown.

Kami berdua bersama Sazali kemudian berpatah balik dan dengan menggunakan dua motosikal, kami memulakan perjalanan. Dan apa yang disaksikan di sepanjang laluan menuju ke Batu Feringghi begitu berbeza sekali. Jalan di Pesiaran Gurney dilimpahi lumpur membasahi jalan dan puluhan kereta manakala sejumlah motosikal saling tertindih. Bulatan Pesiaran Gurney yang ditakungi air ditutup untuk semua kenderaan. Apabila tiba di Pantai Boon Siew, Batu Feringghi, kedengaran orang ramai di situ bersembang sesama sekali gus mendedahkan perkara sebenar yang berlaku.

``Tak pernah saya saksikan sepanjang 23 tahun menjual laksa di sini, ombak tinggi sehingga pokok kelapa memukul pantai ini menyebabkan semua (yang ada di situ) lari,'' kata Jan Puteh, 60.

Ketika itu hanya siren kenderaan polis, bomba dan ambulans memecah suasana di pantai itu yang menjadi tumpuan ramai berkelah di hujung minggu.

Kami kemudiannya ke Pantai Miami - yang mempunyai deretan bongkah batu besar di gigi air - dan terkejut dengan kesibukan pasukan penyelamat - polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) - mencari dan menyelamat mangsa yang lemas. Ketika anggota keluarga mangsa dan sanak saudara sedang risau tentang nasib ibu, suami dan anak-anak, satu per satu mayat ditemui oleh pasukan penyelamat. Kaunter sementara pasukan penyelamat yang dibuka yang terletak tidak jauh dari Hotel Feringghi Beach - tidak putus-putus menerima aduan tentang kehilangan keluarga.

``Ibu saya, di mana dia? Tadi dia dan empat adik saya ada bersama, tapi sekarang hilang,'' adu Mohd. Shamson Mohd. Hassan, 21, kepada seorang anggota polis. Dia yang dihampiri kelihatan tenang dan memberitahu: ``Waktu itu kami semua sedang makan di bawah pokok dekat bongkah batu, dan tiba-tiba dengar pekikan `lari-lari ombak datang'. Memang saya nampak ada macam ombak tapi samar-samar dan tak sangka ia besar dan tinggi,'' katanya.

Suasana ketika itu sibuk dan hiruk-pikuk. Setiap kali anggota penyelamat mengusung mayat yang ditemui, anggota keluarga menyerbu untuk melihat kemungkinan mangsa waris mereka.

``Bukan, mana dia ni,'' kata seorang anggota keluarga sebaik sahaja plastik hitam yang menutupi mayat diselak. Raut wajah beberapa keluarga memperlihatkan pengharapan yang amat tinggi agar anggota keluarga ditemui - selamat. Di situ kelihatan beberapa anggota keluarga mangsa ditenangkan oleh anggota pasukan perubatan.

Begitupun - kerana takdir-Nya - untuk Mohd. Shamson, beliau beberapa jam kemudian dimaklumkan tentang penemuan mayat ibunya, Nazari Mahmod, 39, adik beliau, Nurul Naimah Mohd. Hassan, 18, Nurul Hasinah, 14, manakala Nurul Nazirah, 13, dan Mohd. Ferdaus, 4, dijumpai keesokannya.

Dan apa yang menggusarkan kami bahawa kemungkinan kepiluan serupa di Pantai Boon Siew dan Pantai Miami turut membabitkan pantai peranginan lain di seluruh Pulau Pinang ada kebenarannya apabila dimaklumkan Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong, Balik Pulau turut mengalami bencana yang sama. Malah, angka kematian yang dialami pada hari pertama kejadian hampir sama - dengan daerah Barat Daya (Balik Pulau) dan Timur Laut (Batu Feringghi) masing-masing mencatat 15 dan 13 orang, tidak termasuk dua kematian di Seberang Perai Utara (Pantai Kuala Bekah).

Pada masa sama, beberapa kematian turut dilaporkan di Kota Kuala Muda, Perak dan Sungai Besar, Selangor.

Malahan, apa yang dialami Mohd. Shamson turut menimpa Zulkifli Mohd. Noor, 42, yang kehilangan lima daripada tujuh anak sekali gus ketika berkelah di Pantai Pasir Panjang. Ketika hanya mayat-mayat ditemui dan semakin banyak mangsa yang hilang ditemui dan dicatat dari sehari ke sehari - di beberapa kawasan yang dilanda tragedi mencatat kerugian yang bukan sedikit kepada penduduk termasuk perkampungan nelayan Tanjong Bungah, Sungai Batu, Telok Kumbar, Permatang Damar Laut, Permatang Tepi Laut, Gertak Sanggol, Pulau Betong dan Kuala Muda, Kepala Batas serta Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.

``Sampan saya rosak teruk, pukat hilang, enjin pula kena dibaiki dengan belanja yang tinggi. Ini tak tahu macam mana nak ke laut,'' kata Ramli Samad, nelayan di Pulau Betong.

Dan pukulan ombak tsunami Ahad itu mengakibatkan jumlah kerosakan dan kemusnahan kepada nelayan seluruh Pulau Pinang sehingga kerugian dianggarkan berjuta-juta ringgit.

Setakat Jumaat lalu angka kematian akibat bencana itu mencecah 64 mangsa. Pulau Pinang mencatat 52 kematian, Kedah (10), Perak (3) dan Selangor (1).

Sementara seramai 184 mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dengan 108 kes di Pulau Pinang; Kedah (73) dan Perak (3).

Tragedi Ahad lalu bukan sahaja merobah kehidupan keluarga mangsa malah mencetuskan kebimbangan yang keterlaluan kepada penduduk Pulau Pinang setiap kali gegaran kecil skala Richter 5 dilaporkan oleh radio di utara Sumatera.

``Benarkah kehidupan kami di tepi laut tak selamat lagi? Macam mana dengan kenderaan di Jambatan Pulau Pinang, adakah terjamin?'' ujar Zabri Abidin, 34.

Dan sesungguhnya tragedi tsunami pada tengah hari 26 Disember itu menjadi iktibar kepada semua. Sebagai manusia yang bergelar hamba Allah, kita harus memahami dan mengerti bahawa tidak ada seorang atau satu bangsa pun dapat menghindari daripada bencana kecuali jika Allah berkehendakkan sebaliknya. Firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud: Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.