saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 04/01/2005

Lekar nipah dari ceruk dapur ke ruang tamu

KAWASAN muara sungai dan pinggir laut berlumpur yang banyak terdapat di negara ini dipenuhi dengan pohon nipah yang hidup subur bersama-sama pohon bakau.

Pohon nipah lebih toleran dengan air tawar dan mampu menjadi sumber rezeki kepada sesiapa sahaja yang bijak merebut peluang mempelbagaikan sumber pendapatan.

Seperti pokok kelapa yang mempunyai pelbagai guna, pokok nipah juga tidak terkecuali.

Selain daunnya dibuat atap, batangnya yang kering dijadikan kayu api, manakala nira nipah juga enak diminum dan buahnya bersari untuk dimakan sebagai pencuci mulut.

Hasil kreativiti masyarakat desa telah mempelbagaikan kegunaan nipah dengan menganyam lidinya menjadi himpunan kraf yang unik dan boleh dikomersialkan.

Bertemu Maimun Mohamad, 45, atau mesra dengan panggilan kak Za baru-baru ini di Pesta Kraf Langkawi 2004 di Kompleks Kraf Langkawi, Kedah, membuktikan kebenaran perumpamaan Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Terdorong atas keinginan membantu suami meningkatkan pendapatan, kak Za berusaha belajar daripada ibu mentuanya teknik menganyam lidi nipah untuk dijadikan pelbagai bentuk barangan kraf.

Bermastautin di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu, Terengganu, kak Za menjadikan tumbuhan semula jadi yang banyak terdapat di sekitar kampungnya itu sebagai alternatif menyempurnakan impiannya.

``Sejak 15 tahun dahulu, kak Za sudah mempelajari cara-cara menganyam lidi nipah kerana pokoknya banyak terdapat di hujung kampung. Kak Za mewarisi kemahiran mak mentua, Renik Omar yang rajin membuat lekar.

``Mulanya hanya menganyam lekar dan digunakan untuk melapik periuk atau kuali panas di dapur. Sejak enam tahun kebelakangan ini apabila terdedah dengan pelbagai maklumat, kak Za terpanggil untuk mengkomersialkan barangan yang diperbuat daripada lidi nipah,'' katanya.

Berbekalkan asas yang ada, kak Za mencuba pelbagai teknik anyaman untuk menjadi pelbagai barangan kraf walaupun kini fungsi kegunaannya sudah berbeza dari yang asal.

``Dahulu, lekar hanya di dapur, tetapi kini perubahan masa telah mengubah kedudukannya kepada yang lebih bernilai.

``Kebanyakan barangan kraf dari lidi nipah termasuk lekar kini menjadi barangan perhiasan dan mengindahkan dekorasi rumah,'' katanya.

Perubahan fungsi barangan kraf katanya, menyumbang keuntungan kepada kelompok sepertinya yang memiliki kemahiran menganyam.

``Asas menganyam sama cuma teknik untuk mempelbagaikan jenisnya bergantung kepada daya kreativiti seseorang. Kak Za sendiri gemar mencuba untuk menguji sejauh mana kebolehan dan kemahiran yang ada. Syukur, hasilnya kak Za dapat membuat pelbagai jenis bekas seperti bakul untuk kegunaan ataupun hiasan kediaman, pejabat dan restoran,'' katanya.

Kak Za yang berupaya menghasilkan 10 biji lekar sehari berkata, walaupun hutan nipah boleh ditemui dengan mudah, namun untuk mendapatkan bahan-bahan mentah itu beliau menghadapi kesukaran kerana tidak mempunyai kemudahan pengangkutan yang sesuai.

``Hutan nipah tumbuh di kawasan paya berselut dan berlumpur hingga ke paras dada. Bagi mendapatkan daun nipah kak Za akan ke pinggir sungai dan membawa parang untuk kerja-kerja menebang pokok nipah.

``Ada masanya kak Za meredah di dalam lumpur dengan cara terjun ke dalam paya dan berjalan di celah-celah rimbun nipah untuk mendapatkan lidi yang baik,'' katanya.

Cabaran tersebut katanya, bukan sekadar menguji kesabaran tetapi turut menggugat keselamatannya kerana ada masa beliau tergelincir ke dalam lumpur.

Situasi ini menyebabkan kaki terseliuh dan luka tercucuk duri atau serpihan kayu tajam di dalam lumpur.

``Ka Za pernah rebah di dalam lumpur kerana ada masa badan tidak begitu kuat meredah air lumpur setinggi dada namun semangat untuk membantu keluarga menyingkir perasaan takut atau bimbang berlaku apa-apa bencana,'' katanya.

Justeru katanya, beliau amat berharap ada agensi tertentu yang sudi menghulurkan bantuan memberinya peluang memperoleh bot kecil berenjin bagi memudahkan beliau menjalankan kerja-kerja menebang pokok nipah.

Sementelah katanya, beliau amat memerlukan pendapatan sampingan kerana suami bekerja sebagai buruh dan beliau mempunyai enam anak dan yang ke empat mengalami kecacatan.

``Selain cacat fizikal, Mohd Azhari 16, juga sering sakit-sakit sendi dan terganggu kesihatan yang memerlukan perhatian yang lebih. Tidak tahu di mana silapnya permohonan kak Za mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah tempat tinggal mengecewakan.

``Melalui bantuan bot kecil berenjin dan bantuan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) kak Za boleh pergi lebih jauh dalam bidang ini demi untuk keluarga terutama anak-anak,'' katanya berharap.,

Ibu kepada Mohd Aisham 28, Mohd Azrul 27, Mohd Azanizam 26, Mohd Azhari 16, Nor Arfa 11 dan Nor Atiqah 8 ini amat berterima kasih kepada Kraftangan Malaysia yang memberinya peluang menyertai pameran dan ekspo.

``Melalui pasaran terus anjuran Kraftangan, kak Za mampu memperoleh pendapatan yang agak selesa dan turut menerima tempahan daripada orang

ramai secara terus,'' katanya.

Setakat ini beliau ada menerima tempahan daripada pihak hotel, restoran dan persendirian dan berharap mendapat sokongan lebih banyak pihak bagi merealisasikan cita-citanya sebagai pewaris kraf tempatan yang berkebolehan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, beliau boleh dihubungi melalui talian 09-6920331.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.