saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/01/2005

Genap setahun konflik selatan Thailand bergelora

SEMUANYA baik sahaja di selatan Thailand sebelum tarikh 4 Januari 2004. Jika pun ada yang kurang baik, ia cuma catatan kematian biasa dan tidak dikaitkan dengan soal keganasan sama sekali.

Tetapi tarikh 4 Januari tahun lalu yang dikatakan menjadi titik tolak tercetusnya keganasan semula di tiga wilayah yang didiami majoriti umat Islam itu telah genap setahun semalam.

Serangan ke atas pos tentera di Narathiwat, selatan Thailand pada pagi 4 Januari tahun lalu menjadi pencetus kepada gelombang keganasan di wilayah yang bergolak itu.

Selepas tarikh terbabit, yang berpunca daripada serangan di pos tentera dan menyebabkan empat askar terbunuh serta banyak senjata dilarikan, semuanya menjadi serba-serbi tidak baik di selatan Thailand.

Akibat daripada peristiwa serangan itu, angka korban di tiga wilayah sama ada di Yala, Narathiwat dan Pattani dicatatkan hampir saban hari.

Susulan daripada peristiwa pencetus itu juga, kerajaan Thailand, yang sebelum ini didakwa mengetepikan masyarakat Thailand dalam banyak segi mula bertindak keterlaluan terhadap penduduk di situ.

Para penduduk berpendapat, tindakan sesetengah pasukan keselamatan itu yang menggunakan kekerasan dalam menangani soal fahaman pemisah adalah penyebab utama kemarahan mereka kepada Kerajaan Pusat di Bangkok kembali menyala semula.

Walaupun sebelum ini mereka mendakwa disisihkan oleh Bangkok, sebahagian besar masyarakat Islam di situ cuba menjadi `rakyat Thai' yang baik dengan bercakap dalam bahasa kebangsaan, bukannya bahasa Melayu selain melibatkan diri dengan acara yang dianjurkan oleh kerajaan.

Tetapi dalam banyak hal yang agak memeranjatkan ialah kerajaan Thailand, pimpinan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra tidak berusaha untuk memenangi hati, apatah lagi cuba menyelami derita atau gelodak rasa penduduk di situ lebih-lebih lagi selepas apa yang berlaku pada tarikh 4 Januari itu.

Akibatnya berlaku peristiwa pada 28 April 2004, iaitu cerminan daripada rasa marah penduduk selatan Thailand kepada kerajaannya.

Seramai 108 orang penduduk Islam yang didakwa oleh Bangkok sebagai militan dibunuh selepas mereka bertempur dengan pasukan keselamatan dalam satu serbuan berdarah di beberapa pos keselamatan dan tindakan gempur di Masjid Kerisik, Pattani.

``Tindakan keterlaluan kerajaan menangani kes masyarakat Thailand sebelum, sesudah tarikh 4 Januari itu dan tragedi di Pattani menyebabkan penduduk lebih memberontak, tidak berpuas hati dan seterusnya membawa kepada berlakunya satu lagi peristiwa iaitu pada bulan Oktober lalu di luar Balai Polis Tak Bai, Narathiwat di mana 87 orang penduduk Islam dibunuh,'' kata penganalisis politik selatan Thailand, Dr. Mala Rajo Sathian ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga Pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Malaya (UM) dan banyak mengkaji mengenai politik selatan Thailand berkata, berbanding kes di Pattani, peristiwa di Tak Bai lebih menyayat hati dan mengundang simpati.

Mangsa-mangsa mati disebabkan mereka disusun seperti bata dan dibiarkan lemas di dalam trak semasa dibawa dalam perjalanan menuju ke pusat tahanan berikutan satu rusuhan di Tak Bai.

Berikutan peristiwa di Tak Bai itu, kutukan antarabangsa mencurah-curah terhadap Thaksin dengan kebanyakannya menggesa jutawan berkenaan meminta maaf secara terbuka.

``Thailand tidak cuba menjadikan masalah di selatan Thailand lebih baik, sebaliknya membuatkan ia lebih sukar.''

Katanya, Thaksin lebih gemar menabur janji tetapi tidak pernah menggerakkan usaha untuk melaksanakannya.

Tindakan Thaksin yang tidak meminta maaf secara terbuka, sebaliknya hanya mengakui tenteranya ada melakukan kesilapan dalam menangani kes di Tak Bai itu menyebabkan hati penduduk Islam di situ yang sememangnya terluka menjadi lebih parah.

``Sudahlah nyawa orang tersayang sangat murah harganya di mata anggota pasukan keselamatan Thailand, tiada sedikit pun perkataan maaf terkeluar daripada mulut pemimpin mereka, sekurang-kurangnya boleh meringankan beban dan rasa terbuku di hati. Perkataan maaf itu mungkin mahal harganya, itulah dendam yang terindah,'' kata Mala membandingkan situasi di antara kerajaan Thailand dan masyarakat Islam di negara itu.

Setiap kali berlaku insiden melibatkan selatan Thailand, Kerajaan Pusat segera membuat pelbagai janji untuk mengatasi masalah di wilayah berkenaan.

Mereka berjanji mahu menukar dasar di selatan Thailand, bermula dengan soal pembangunan dan pendidikan selain ingin menjadikan pendekatan `mesra rakyat selatan Thai' sebagai langkah penyelesaian.

Namun akhirnya, janji-janji itu tidak dilaksanakan. Pembangunan di selatan Thailand masih belum begitu diberi perhatian dan sektor pendidikan turut disisihkan.

Malahan, pegawai-pegawai Kerajaan Pusat bukan sahaja tidak mesra rakyat sebaliknya menggunakan unsur kekerasan dan penderaan dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah.

Bangkok juga berjanji untuk melaksanakan pelan tujuh perkara yang merangkumi soal autonomi tetapi sehingga sekarang masih belum nampak kemajuannya ke arah itu.

Menurut Mala, apabila kita meletakkan masyarakat dalam situasi dilema, mereka sebenarnya semakin merasakan terpinggir dalam apa jua perkara.

``Hal yang sama berlaku kepada masyarakat di selatan Thailand di mana kejujuran tidak pernah ada di pihak kerajaan Thailand untuk membantu kumpulan minoriti seperti mereka.''

Sekalipun kejujuran itu ada, tindakan yang dilakukan adalah terlalu sedikit dan sudah terlalu lambat untuk merawat luka parah masyarakat Islam di Thailand.

``Perasaan itu telah terbuku sejak sekian lama. Soal keganasan dan pelbagai janji Kerajaan Pusat untuk mengatasi masalah itu juga adalah cerita lama yang diulang kembali.

``Parut luka itu yang dijaga sekian lama sekalipun akan tetap berdarah semula jika berlaku sesuatu, apatah lagi melibatkan nyawa.''

Tidak ada perkara lain yang lebih utama dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand melainkan pihak berkuasa harus berlaku jujur dan ikhlas kepada masyarakat di situ yang menjadi sebahagian daripada rakyat mereka.

Tetapi Mala berkata, beliau tidak fikir tindakan Thaksin dan isu di selatan Thailand itu akan menjadi punca kekalahan pemimpin terbabit dalam pilihan raya Februari depan.

Tambahan pula, reputasinya yang teruk di mata penduduk Islam selepas peristiwa di Pattani dan Tak Bai itu kembali pulih selepas beliau dengan murah hati menderma dalam jumlah yang banyak kepada mangsa-mangsa tsunami di Phuket - wilayah yang paling teruk terjejas akibat gelombang maut itu pada 26 Disember lalu.

Menurut laporan media, seramai lebih 5,000 orang di Thailand terkorban akibat tsunami.

``Lebih daripada itu, undian mereka di selatan Thailand cukup kecil untuk memberi kesan kepada jatuh atau bangunnya Thaksin di negara itu.

``Tetapi jika kisah duka mereka mendapat perhatian antarabangsa dan ia mencuri tumpuan negara luar untuk memberi tekanan kepada Thaksin, tidak mustahil pemimpin itu akan kalah dalam pilihan raya nanti. Tetapi kemungkinan itu juga tipis,'' komen Mala.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.