saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 15/01/2005

APM 2005 pencalonan meningkat 50 peratus


KRIS DAYANTI.


PENCALONAN Anugerah Planet Muzik 2005 (APM 2005) merupakan pencalonan paling banyak diterima sejak APM mula dianjurkan pada 2001.

Pengarah Program Radio MediaCorp, AB Sheikh berkata, bagi APM 2005, pihaknya telah menerima sebanyak 385 pencalonan, meningkat hampir 50 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kata AB Sheikh yang juga wakil Radio MediaCorp di negara ini, pada tahun lepas, APM hanya menerima kira-kira 270 pencalonan.

``Bukan sahaja berlaku peningkatan dalam jumlah pencalonan, lebih membanggakan mutu album yang tercalon juga amat memberansangkan,'' katanya pada sidang akhbar pelancaran APM 2005 di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Beyond DDB, Amin Hussen dan Ketua Program Astro, Zainir Aminullah.

APM 2005 yang memasuki tahun kelima penganjurannya akan diadakan pada 18 Februari depan di Suntec Convention Halls, Singapura.

Ia dianjurkan oleh Radio MediaCorp Warna 94.2FM, Ria 89.7FM dan Beyond DDB.

Pencalonan anugerah ini mempertandingkan artis dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

AB Sheikh berkata, secara purata peningkatan jumlah pencalonan bagi artis Malaysia dan Indonesia bagi APM tahun ini adalah sama berbanding artis Singapura yang sedikit merosot berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 16 anugerah pelbagai kategori dipertandingkan termasuk satu anugerah khas yang diberikan kepada mereka yang telah banyak berjasa kepada industri muzik di rantau ini. Setiap pencalonan, diadili oleh para juri terdiri daripada ahli muzik, komposer, produser dan media ketiga-tiga negara berkenaan.

``Yang menariknya, para peminat juga boleh mengundi untuk empat kategori popular iaitu Artis Lelaki Paling Popular, Artis Wanita Paling Popular, Artis Berkumpulan/Duo Paling popular dan Lagu Paling Popular melalui SMS (sistem pesanan ringkas) atau melalui majalah Manja Singapura, Media Hiburan dan Bintang Indonesia,'' jelasnya.

Kata AB Sheikh, APM 2005 akan disiarkan secara langsung di stesen TV Suria dan Astro serta Radio Era dan Radio Ria.

Pertandingan itu akan dihoskan oleh pengacara terkenal Malaysia iaitu Aznil Nawawi, artis Shanty dan VJ Sarah Sechan dari Indonesia serta DJ Adi Rahman dari Radio Warna, Singapura.

Sementara artis-artis yang mengadakan persembahan pada majlis itu termasuklah Siti Nurhaliza, Kris Dayanti, Melly, Gerhana Ska Cinta, Iskandar Ismail dan Bhumiband.

Menurut AB Sheikh, satu pakej istimewa bagi penonton tempatan untuk menyaksikan anugerah itu di Singapura, turut disediakan oleh Sri Amera Holidays (M) Sdn. Bhd. Pakej berharga RM198 itu termasuk penginapan dua malam, sarapan dan tiket APM 2005 bernilai S$28.

Pada majlis pelancaran itu, AB Sheikh turut mengumumkan akan menerbitkan cakera padat video (VCD) khas petikan terbaik kelima-lima anugerah APM yang bertujuan untuk mengumpul dana tabung mangsa tsunami.

``Bagi setiap pembelian VCD tersebut, S$5 akan disalurkan kepada tabung berkenaan. Bagaimanapun kami masih belum menetapkan harga VCD tersebut,'' katanya.

Sementara itu, Zainir memberitahu, sebagai stesen rasmi APM, Astro telah menyusun pelbagai strategi promosi selain menyiarkannya secara langsung anugerah tersebut di Astro RIA.

Katanya, bagi menyemarakkan mood anugerah itu, Astro akan menyiarkan beberapa siaran ulangan APM tahun-tahun sebelumnya selama tiga hari bagi mengimbau kembali kenangan.

Siaran ulangan itu akan bermula 9 Februari ini pada setiap 12.30 malam dimulakan dengan APM 2002, diikuti APM 2003 dan APM 2004.

``Selain penyiaran itu, kita juga akan turut mempromosikan APM pada program seperti Beat TV dengan menyiarkan liputan setiap ground events yang diadakan oleh Beyond DDB.

``Begitu juga di [email protected] yang akan mempunyai segmen khasnya tersendiri yang akan memberi laluan kepada APM 2005 menerusi wawancara artis yang tercalon, klip video dan sebagainya,'' jelas Zainir.

Siti Nurhaliza bertanding empat kategori utama
PENYANYI tersohor negara, Siti Nurhaliza sekali lagi dicalonkan bagi merebut empat kategori utama pada Anugerah Planet Muzik 2005.

Dia dicalonkan bagi merebut kategori Artis Wanita Terbaik, Lagu Terbaik, Artis Wanita Paling Popular dan Lagu Paling Popular.

Bagi kategori Artis Wanita Terbaik, dia bersaing dengan Audy, Dayang Nurfaizah, Dewi Sandra, Kris Dayanti dan Misha Omar.

Manakala bagi Lagu Terbaik, Siti mempertaruhkan lagu Dialah Di Hati, menyaingi lagu Ku Lihat Ku Dengar Ku Rasa (Ari Lasso), Berhenti Berharap (Sheila On 7), Cobalah Untuk Setia (Kris Dayanti dan Pulangkan (Misha Omar).

Sementara bagi kategori Artis Wanita Popular, saingannya adalah Agnes Monica, Anita Sarawak, Audy, Azharina, Dayang Nurfaizah, Ezlynn, Kris Dayanti, Melly, Misha Omar, Siti Sarah dan Ziana Zain.

Bagi Lagu Paling Popular, Siti Nurhaliza mempertaruhkan Lagu Rindu dan Bagaikan Sakti, duet bersama M. Nasir. Lagu yang bertanding bagi kategori sama adalah Alhamdulillah (Too Phat dan Yassin), Berhenti Berharap (Sheila On 7), Cobalah Untuk Setia (Kris Dayanti), Suziela (Flop Poppy), Pulangkan (Misha Omar), Relaku Pujuk (Spider), Sedih Tak Berujung (Glenn), Seksis (Anita Sarawak), Tak Tahan Lagi (Melly) dan Tipah Tertipu (Ruffedge).

Kategori lain yang dipertandingkan ialah Artis Baru Lelaki Terbaik, Artis Baru Wanita Terbaik dan Duo/ Kumpulan Baru Terbaik.

Selain itu turut dipertandingkan ialah kategori Artis Lelaki Terbaik, Duo/ Kumpulan Terbaik, Album Terbaik, Artis Lelaki Paling Popular dan Kumpulan Paling Popular serta kategori khas bagi artis Singapura iaitu Artis Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.