saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/01/2005

Juara Lagu menoleh 18 malam yang mendebarkan

Malam ini akan lahir beberapa lagi juara di kalangan komposer; juara kategori balada, irama Malaysia dan pop rock selain juara keseluruhan. Selalunya siapa yang dipilih menjadi juara jarang mengejutkan. Tidak ada keputusan di luar jangkaan kecuali satu dua kali daripada 18 kali kejuaraan ini berlangsung.

Inilah Juara Lagu ke-19. Malam ini seperti 18 malam Juara Lagu sebelum ini; ada kemilau, ada bintang, yang menang, yang tewas dan tidak kurang komen-komen stereotaip.

Juara Lagu ke-19 akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil. Dalam sejarah industri muzik tempatan inilah pertandingan muzik yang paling konsisten dan mendapat perhatian yang meluas daripada peminat.

Sebenarnya Juara Lagu telah lama menjadi indikator kepada trend industri muzik tempatan. Selepas 18 kali dianjurkan, malam ini kita boleh menilai sejauh manakah sumbangan peranan yang dimainkan oleh Juara Lagu memotivasikan karyawan muzik menghasilkan yang terbaik selain popular. Pertandingan ini bukanlah menjadi yang terbaik semata-mata tetapi mewujudkan pertandingan tetapi premis untuk mengukur kualiti.

Pada usia yang semakin dewasa ini, apakah Juara Lagu anjuran TV3 telah mencapai sasaran untuk memartabatkan lagu-lagu tempatan?

Semenjak mula dianjurkan pada 1985, TV3 berhasrat memartabatkan karya-karya hebat komposer tempatan.

Tetapi yang mengecewakan adalah penampilan penyanyi membayangi orang yang sebenarnya bertanding iaitu komposer. Komposer yang menjuarai Juara Lagu jarang diingati kecuali M. Nasir yang menyanyikan sendiri lagunya.

Selebihnya Shuhaimi Mohd. Zain tenggelam dalam ledakan tepuk sorak kepada Siti Nurhaliza malah ada yang menganggap Siti Nurhaliza mendominasi kerana lagu ciptaan Shuhaimi kerap menang.

Berapa banyak menghargai ciptaan Manan Ngah, A. Ali, Adam Ahmad, Rahim Othman, Shuhaimi Mohd. Zain atau Adnan Abu Hassan berbanding dengan kita mengenali Aishah, Fauziah Latiff, Siti Nurhaliza atau Misha Omar?

Meskipun Anugerah Industri Muzik kemudiannya muncul pada tahun 1994, Juara Lagu kekal sebagai satu-satunya pertandingan nyanyian yang mencari siapa komposer paling hebat di kalangan yang ada di negara ini.

Pada awal kemunculan Juara Lagu, lagu-lagu berentak balada menguasai pertandingan ini. Maka pada tahun-tahun terawal, komposer yang menonjol dengan genre muzik balada ialah Manan Ngah, A. Ali dan Datuk Ahmad Nawab.

Manan Ngah akan terus dikenang dalam sejarah Juara Lagu sebagai komposer pertama menerima anugerah Juara Lagu melalui lagu Sekadar Di Pinggiran nyanyian Francisca Peter.

A. Ali pula pada tahun berikutnya melalui Menaruh Harapan yang disampaikan dengan cukup sempurna dan bertenaga penyanyi Zaiton Sameon. Gaya rambut menggerbang Zaiton dengan gaun petang berwarna merah di pertandingan berkenaan sehingga kini masih diingati oleh peminat Juara Lagu.

Tercatat juga bagaimana Ramlah Ram dalam Juara Lagu ke-3 pada tahun 1988 apabila lampu berbentuk hati yang menjadi hiasan di dada tidak menyala.

Ketika itu Ramlah menyampaikan lagu Kau Kunci Cintamu Dalam Hatiku ciptaan Ahmad Nawab.

Kegagalan lampu berkenaan berfungsi bagaimanapun tidak melemahkan Ramlah untuk membawakan lagu itu dengan baik dan lagu itu menjuarai Juara Lagu.

Tahun 1989, ketika era kegemilangan lagu-lagu rock melanda industri muzik tempatan, lagu Isabella nyanyian Search utuh di persadanya.

Lagu ciptaan Search lirik oleh Bob (ada yang kata Isabella adalah ciptaan M. Nasir) ini bagaimanapun tidak menamatkan penguasaan lagu-lagu berentak balada.

Ini dibuktikan pada tahun berikutnya, dalam Juara Lagu ke-5, Janji Manismu yang bernuansa balada pula diumumkan sebagai juara. Lagu ciptaan Adam Ahmad ini liriknya ditulis sendiri oleh penyanyinya, Aishah sebelum pada tahun 1991 kembali semula kepada lagu berentak rock apabila Takdir dan Waktu menjadi juara.

Lagu ciptaan Rahim Othman dan lirik oleh Juwie ini disampaikan oleh kumpulan Mega. Lima tahun selepas itu bermula dari Juara Lagu ke-7 hingga ke 12, irama yang mendominasi ialah balada.

Nama komposer seperti Fauzi Marzuki, Adam Ahmad, M. Nasir, Jari dan Adnan Abu Hassan adalah nama yang menguasai Juara Lagu dalam tempoh ini.

Satu kejutan berlaku pada tahun 1996, apabila penyanyi Siti Nurhaliza yang baru pertama kali mencuba nasib ke Juara Lagu yang menyanyikan lagu Jerat Percintaan karya Adnan Abu Hassan muncul juara.

Meskipun ketika pertandingan Juara Lagu 1996 berlangsung di saat-saat genting ketika Siti Nurhaliza sedang berhadapan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Siti hampir-hampir menarik diri daripada pertandingan berkenaan kerana `gerun' dengan SPMnya dan dengan pencabar terdekat, Ziana Zain.

Apa pun lagu Jerat Percintaan tetap dibawakan dengan gaya yang cukup sederhana dan penuh penghayatan vokal sehingga diumumkan sebagai pemenang kategori persembahan terbaik.

Setelah sekian lama dikuasai oleh lagu-lagu berentak rock dan balada, akhirnya setelah 12 tahun, Juara Lagu memberi peluang kepada lagu bernuansa irama Malaysia mendominasi pertandingan berkenaan.

Bermula tahun 1997, pertandingan ini memperlihatkan penguasaan lagu-lagu berirama Nusantara diadun dengan kemelayuan apabila lagu Ghazal Untuk Rabiah diumumkan sebagai juara.

Lagu ciptaan dan nyanyian M. Nasir dan Jamal Abdillah ini diumumkan sebagai juara keseluruhan pada tahun 1997 dan telah merobah sejarah Juara Lagu.

Kemenangannya ini membuktikan bahawa lagu-lagu berteras budaya bangsa mula mendapat tempat dalam pertandingan lagu yang sebelum ini lebih dikuasai lagu-lagu pop.

Beberapa tahun selepas itu, di tahun berikutnya Juara Lagu masih lagi dikuasai oleh kategori Irama Malaysia apabila kemenangan diberikan kepada lagu Cindai ciptaan Shuhaimi Mohd. Zain.

Pada tahun 1999 M. Nasir sekali lagi menjuarai Juara Lagu dengan lagu Andalusia yang dinyanyikan sendiri. Juara Lagu pada tahun 2000 pula ialah komposer muda, Yasin melalui lagu berhantunya Mimpi Laila.

Pada tahun 2001, Juara Lagu kembali kepada lagu berentak rock apabila lagu Keliru yang bersaing dengan kategori pop rock menjadi juara.

Lagu ciptaan Aidit Alfian ini bagaimanapun mencetus kontroversi apabila beberapa juri mendedahkan mereka tidak memilih lagu berkenaan sebagai pemenang.

Kontroversi ini menjadikan imej Juara Lagu tercalar dan TV3 dikatakan cuba untuk turut campur tangan dalam menentukan seseorang juara walaupun sedari awal telah melantik juri profesional. Memang keliru.

Pada tahun 2001 juga TV3 tampil dengan gagasan baru melalui rancangan berkenaan. Dengan tema Terbaik Dari Malaysia Ke Pentas Dunia hasrat TV3 untuk membawa muzik tempatan ke mata dunia luar baru bermula.

Meskipun usaha ini sudah sekian lama dinantikan oleh segenap lapisan karyawan muzik tanah air, hanya pada tahun ini penganjur merealisasikannya.

Malangnya, di tahun yang sama TV3 melakukan kesilapan besar apabila menamatkan penggunaan orkestra sebagai pengiring dalam persembahan mereka.

Persembahan artis hanya diiringi dengan muzik minus one, sesuatu yang berlawanan sama sekali dengan hasrat untuk membawa Juara Lagu bertaraf dunia.

Memperkenalkan muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan hanya bersandarkan kepada muzik minus one adalah sesuatu yang `kelakar', demikian pendapat sesetengah karyawan muzik di tahun berkenaan.

Dan slogan berkenaan hanya berakhir di tahun itu sahaja. Selepas itu TV3 tidak lagi muncul dengan slogan yang sama kerana mungkin mereka akhirnya akur bahawa untuk menjengah ke dunia luar, masih lagi sesuatu yang belum mampu terjangkau oleh tangan.

Timbul pula pertanyaan kenapa TV3 tidak cuma mengetengahkan semula juara-juaranya di Juara Lagu 1999 memandangkan ia adalah tahun terakhir untuk abad yang ke-20.

Sementara itu, lagu ciptaan Adnan Abu Hassan, Bunga-Bunga Cinta memberi peluang kepada pendatang baru dalam dunia hiburan ketika itu, Misha Omar menjadi lebih dikenali.

Misha juga pada tahun 2003 telah mengetepikan Siti Nurhaliza apabila beliau diumumkan sebagai vokal terbaik untuk hadiah RM10,000 dan trofi.

TV3 sepatutnya memainkan peranan yang lebih agresif untuk menonjolkan juara mereka ke tahap yang lebih ke depan.

Sebagai saranan, setiap kali menganjurkan persembahan usaha sama dengan stesen televisyen luar, mungkin juara-juara ini boleh ditampilkan semula sebagai penghias sesuatu rancangan. Apa pun natijahnya, TV3 mempunyai percaturan tersendiri.

Siapakah yang bakal diumumkan sebagai juara pada Juara Lagu kali ini? Banyak yang meramalkan lagu Pulangkan karya komposer Ajai akan membawa pulang kemenangan besar pada malam ini melalui lagu Pulangkan.

Jangan hiraukan dengan ramalan kerana semuanya bersandarkan kepada populariti. Sedangkan kita percaya pemilihan lagu terbaik adalah kerana ia terbaik dan mungkin tidak popular.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.