saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/01/2005

Lagu kanak-kanak bentuk sahsiah

LAGU kanak-kanak Melayu yang klasik telah kita pinggirkan jauh dalam sejarah kegemilangannya. Sama ada kita sedar ataupun tidak, itu adalah satu hakikat yang lahir bukan dari cakap-cakap kosong semata.

Tepuk Amai-Amai, Rasa Sayang, Tom Tombak ataupun Air Pasang Dalam hampir kita kuburkan hari demi hari.

Apabila kemodenan hadir di depan mata, kita lupa kepada lagu-lagu yang telah sekian banyak menabur jasa kepada musim kanak-kanak yang ditinggalkan.

Benar, kita sudah menyisihkannya. Buktinya berapa banyak antara anak-anak kita yang masih tahu tentang keindahan melodi lagu kanak-kanak klasik bahasa Melayu ini?

Kita menjadi lebih senang mempromosikan Twinkle-Twinkle, Jingle Bell, London Bridge dan Itsy Bitsy Spider ketika mahu menidurkan si kecil.

Selera kitalah yang sebenarnya telah mempengaruhi anak-anak kecil ini semenjak kecil lagi supaya lebih mengagung-agungkan sesuatu yang menjadi milik orang luar, bukan khazanah nenek moyang mereka sendiri.

Lalu apabila anak-anak kecil ini membesar dan lebih menjurus kepada budaya yang dibawa dari luar, cinta kepada hip-hop atau alternatif rock berbanding dondang sayang dan zapin, siapa yang seharusnya kita persalahkan?

Kita sendiri bukan? Sebenarnya lagu kanak-kanak Melayu membawa inspirasi yang bukan sedikit kepada kehidupan orang lama.

Banyak lirik yang menjana semangat di kalangan kanak-kanak dalam pembentukan pelbagai nilai murni dalam kehidupan.

Ia bukan hanya sekadar sebuah lagu rakyat semata-mata. Nilai-nilai moral yang sangat tinggi diterapkan oleh pujangga yang tidak bernama ini dalam lagu-lagu berkenaan sekali gus telah menyemarakkan rasa kasih sayang, kehidupan yang harmoni dan cintakan ibu bapa.

Air Pasang Pagi misalnya bercerita tentang keindahan alam, Tepuk Amai-Amai tentang perasaan kasih sayang kepada ibu bapa.

Sementara Lompat Si Katak Lompat membawa harapan yang besar kepada kehidupan positif kanak-kanak, begitu juga sekian banyak lagi lagu kanak-kanak Melayu yang membawa mesej positif ke dalam kehidupan kanak-kanak.

Masalah yang sedang mendepani lagu-lagu kanak-kanak Melayu lama ini sebenarnya jauh lebih teruk daripada virus yang menyerang irama tradisional seperti zapin, inang atau lagu joget.

Walaupun hanya sesekali disiarkan di corong radio, sekurang-kurangnya lagu tradisional masih ada kesinambungannya dengan usaha pelbagai pihak untuk mengembalikan semula kegemilangannya.

Keghairahan syarikat rakaman dan artis tempatan menerbitkan album-album tradisional penghujung tahun 90-an dan awal tahun 2000 yang lalu telah memberi peluang kepada lagu tradisional untuk kembali bernafas, walaupun masih dalam keadaan kurang selesa.

Bagaimanapun keadaan ini berlainan sama sekali dengan lagu kanak-kanak Melayu yang langsung tidak mendapat tempat termasuk di media penyiaran.

Pernahkah anda secara tidak sengaja terdengar lagu-lagu ini diputarkan di radio baik milik kerajaan mahupun radio swasta di negara kita?

Jawapannya, hampir tidak ada. Kalau adapun hanya melalui sesetengah rancangan di televisyen yang dikhaskan untuk golongan kanak-kanak.

Itu pun hanya sekali dalam seminggu, rancangan pendek dengan durasi masa setengah jam pula.

Faktor-faktor ini sekali gus menolak lagu-lagu berkenaan hari demi hari, yang akhirnya merugikan budaya bangsa Melayu sendiri kerana ia tidak berkesinambungan. Justeru, atas dasar itu lagu kanak-kanak Melayu lama ini perlu diselamatkan.

Seperti kata Ketua Pegawai Operasi Megah Makmur Sdn. Bhd., Richard Ung, sudah sampai masanya untuk kita mengembalikan semula kegemilangan lagu kanak-kanak Melayu ini.

Orang kuat di syarikat penerbitan yang menerbitkan banyak drama dan filem animasi tempatan ini menyahut cabaran berkenaan.

Kerana prihatin terhadap lagu kanak-kanak Melayu, syarikat berkenaan mengambil pendirian untuk mengembalikan semula kegemilangan itu.

Dengan gabungan bersama syarikat PMP Entertainment, lahirlah album Tok Tam yang sudah pun berada di pasaran pada 24 Januari lalu.

``Tipulah kalau saya katakan album ini dihasilkan bukan dengan tujuan komersial. Bagaimanapun faktor utama kami menerbitkan album ini adalah untuk mengembalikan semula ingatan kita terhadap lagu kanak-kanak Melayu lama ini agar ia tidak pupus ditelan zaman,'' katanya.

Apa yang sangat membuatkan mereka teruja apabila bercakap mengenai album berkenaan ialah apabila melihat kepada sambutannya yang cukup menggalakkan.

Keadaan ini membuktikan permintaan di kalangan anggota masyarakat terhadap lagu-lagu berbentuk sedemikian belum berakhir.

Masyarakat terutamanya kaum ibu bapa masih percaya kepada lagu-lagu seperti ini dalam membina dan membentuk rohani dan emosi anak-anak mereka.

``Bagaimanapun kerana tidak ada pihak yang berani tampil dengan album seperti ini sebelum ini, mereka tidak berpeluang untuk mendapatkan bahan.

``Apabila album kami terjual dalam unit yang membanggakan di awal pengedarannya, ia sekali gus telah membuktikan bahawa permintaan untuk lagu kanak-kanak Melayu lama masih hebat,'' katanya lagi.

Album Tok Tam turut dihiasi dengan animasi berkualiti tinggi bagi disesuaikan dengan cita rasa peminat cilik yang semakin ke hadapan dewasa ini.

Meskipun album berkenaan dilahirkan khas untuk golongan kanak-kanak, faktor kualiti perlu dititikberatkan sebagai persaingan dengan produk-produk lain di pasaran yang semakin canggih dan terkini.

Animasi yang dihasilkan juga lebih kepada pembentukan sahsiah diri kanak-kanak selain berhibur dengan lagu-lagu yang menjadi khazanah budaya bangsa Melayu sendiri.

``Saya juga berharap dengan penerbitan Tok Tam akan meningkatkan penghayatan di kalangan masyarakat pelbagai bangsa kepada lagu Melayu kanak-kanak klasik ini,'' kata Richard lagi.

Sudah tentu kita tidak mahu syarikat berkenaan keseorangan dalam usaha ini.

Biarlah hendaknya lebih ramai yang tampil ke depan demi untuk menyelamatkan khazanah yang tidak ternilai ini daripada pupus ditelan zaman. Masih ada masa untuk kita melakukannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.