saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 11/02/2005

Petua dan rahsia - Di sebalik keindahan seni khat

ALAM diciptakan penuh dengan rahsia yang menakjubkan. Bumi di angkasa raya umpama kuman di tengah samudera yang amat luas. Ilmu mengenai rahsia alam membantu manusia menguasai dan memanfaatkan alam untuk keharmonian hidupnya. Ia juga menyedarkan bahawa ilmu manusia amat terbatas. Di sebalik yang tersurat pasti ada yang tersirat. Di sebalik keindahan tampak, terdapat rahsia dan petua yang menyerlahkan keindahan sesuatu karya seni khat.

Hikmah seni khat ialah pemahaman mengenai selok belok petua dan rahsia-rahsia halus seni ini. Memahami ilmu yang tersirat ini adalah kebijaksanaan hikmah yang menjadi inti kepada sesuatu ilmu pengetahuan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Dia memberi hikmah kepada sesiapa yang Dia Kehendaki. Sesiapa yang diberikan al-Hikmah sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. (Al-Baqarah:269). Rasulullah s.a.w. juga menyatakan bahawa hikmah adalah permata yang hilang setiap mukmin yang perlu dicari walau di mana sahaja. Semakin mengerti seseorang tentang rahsia ilmu, semakin mendalam kecintaannya kepada perkara yang mulia dan tinggi.

Ia juga akan menyedarkan kita bahawa seni khat sebenarnya tidak sesukar yang disangka. Ia juga membantu meningkatkan kemahiran dan meringkaskan proses pembelajaran khat. Dengan ilmu sesuatu karya bertambah mantap, hidup dan memindahkan makna ke hati yang memandangnya. Petua dan rahsia ini dipelihara dan diwariskan kepada satu generasi ke generasi berikutnya.

Seni adalah kepandaian. Ada kalanya kepandaian ahli khat seperti trick ahli silap mata. Pada huruf ada petua dan rahsia. Tahukah kita bahawa huruf-huruf mempunyai ibunya? Ibu huruf bermaksud bentuk-bentuk asas yang daripadanya boleh melahirkan bentuk huruf yang lain.

Teknik ini pernah dipopularkan oleh Muhammad Hasyim al-Baghdadi, khattat Baghdad yang terkenal. Ibu-ibu kepada huruf-huruf tunggal adalah (alif, ba, jim, dal, ra, sin, shad dan nun). Sebagai contoh, daripada huruf alif boleh dilahirkan huruf kaf dan lam. Daripada huruf ba pula dilahirkan ta, sa dan fa. Begitulah seterusnya bagi ibu huruf yang lain.

Huruf-huruf sambungan pula boleh dipecahkan pula kepada lebih seribu bentuk. Namun hakikatnya bentuk-bentuk ini terangkum dalam 30 bentuk sambungan sahaja. Inilah satu keajaiban seni pembelajaran huruf khat. Pemahaman ini mengukuhkan lagi latihan huruf satu-persatu. Hanya dengan latihan tulisan seseorang akan mencapai tahap kecemerlangan.

Khat juga menggunakan teknik melukis. Pada bahagian huruf yang sukar penulis akan melukis garisan dengan hujung pena dan menghitamkan bahagian tersebut dengan tinta. Teknik ini digunakan terutamanya dalam membentuk kepada ain dan hujung ra khususnya khat nasakh dan thuluth.

Black & Brown memberi penumpuan khusus kepada latihan membentuk huruf ha simpul, kerana huruf ini mempunyai pelbagai variasi arah dan mempunyai unsur dal, fa, ra dan lain-lain. Ha adalah huruf terakhir pada perkataan `Allah' yang mempunyai makna walaupun hanya satu huruf.

Jari manusia dibina dengan struktur yang sempurna dan fungsi yang mengkagumkan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan kembali tulangnya? Bukan begitu. Malah Kami berkuasa menyusun kembali jarinya dengan sempurna. (Al-Qiamah : 3-4).

Keunikan susunan tulang pada jari amat penting dalam menulis khat. Ibu jari mempunyai dua ruas menjadi penyangga yang menyokong pena semasa menulis. Jari telunjuk pula sebagai peneraju utama semasa huruf dibentuk. Jari secara semula jadi adalah ergonomik untuk memegang pena. Gerakan jari digunakan untuk bentuk yang halus, sementara gerakan pergelangan dan lengan untuk bentuk melintang serta garisan tegak memanjang.

Semasa menulis, semua anggota yang lain diam, mata pula dipaku kepada hujung mata pena. Ada kalanya pernafasan perlu dikawal. Ini merupakan latihan kepada khusyuk (fokus). Tanpa khusyuk, tulisan tidak akan menjadi. Aktiviti manusia termasuk solat dan aktiviti hariannya perlu khusyuk dan mempunyai objektif yang jelas.

Terapi

Dari sudut psikologi, ia adalah terapi yang berkesan bagi memulihkan ketegangan jiwa. Tidak hairanlah di dalam al-Quran Allah s.w.t. bersumpah demi pena dan penulisannya, agar manusia kembali menoleh perhatiannya terhadap keajaiban ciptaan-Nya pada jari, tangan dan apa yang manusia catatkan.

Tinta pula diperbuat daripada unsur karbon seperti beras atau gandum yang hangus yang ditumbuk halus. Ia dicampur pula dengan gam yang sesuai seperti gam Arab, getah pohon dan lain-lain. Telah menjadi tradisi, setiap kali alu diangkat, setiap itu juga bibir menuturkan zikir memuji Allah s.w.t.

Pendek kata, zikrullah menjadi rutin kebiasaan dalam meraut pena, menyediakan tinta menulis dan sebagainya. Oleh itu, seni khat bukan sahaja memupuk kesempurnaan jiwa seni yang tinggi, malah ia salah satu jalan menuju Allah s.w.t.

Ciri-ciri pena yang baik ialah kering, keras, lurus dan beruas tebal supaya mudah dikawal serta tidak mudah patah. Mata pena dibelah tengah, dilubangkan pada jarak 2 sm dari hujung pena, dan dikelar garis-garis melintang bagi membekalkan tinta secukupnya ke mata pena.

Ruang pena yang kosong disumbat fabrik seperti kapas atau sutera bagi tujuan yang sama. Antara rahsia keindahan khat ialah penyediaan kertas yang baik yang mempunyai ciri-ciri permukaan rata, tidak kembang serta cepat menyerap tinta. Satu teknik penyediaan kertas secara tradisi ialah penyediaan kertas telur.

Caranya ialah dengan menyapukan putih telur atas kertas, keringkan dan gosokkan permukaannya dengan batu licin. Cara ini masih digunakan khususnya di Turki dan Iran sehingga ke hari ini. Ia bertujuan supaya tulisan menjadi lebih lancar dan stabil.

Masih banyak lagi petua dan rahsia yang tidak mampu diungkap dalam ruang yang terbatas ini. Namun petua terpenting bagi memperoleh hikmah adalah taqwa, sebagaimana kata pujangga, Takutkan Allah adalah pintu kepada al-Hikmah.

Justeru Black & Brown terpanggil untuk menyelidiki dan menyebarkannya kepada masyarakat sebagai langkah pemangkin ke arah pembinaan umat bertamadun tinggi. Semoga suatu masa nanti negara kita tidak akan sunyi daripada nama-nama besar di persada dunia khat. Wallahu A'lam.

* Artikel di atas adalah hak intelektual Black & Brown Resources Sdn.Bhd. Ia sebuah syarikat bumiputera yang berpengalaman dalam seni Islam, penerbitan dan pengiklanan selama 16 tahun dan pembinaan manuskrip al-Quran beriluminasi penuh selama 11 tahun. Untuk makluman lanjut sila layari laman web berikut.

http://www. black brown. com.my

E-mel:sisipanseni@ blackbrown.com.my Tel: 03-6156 5660 Faks: 03-6156 5661

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.