saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 18/02/2005

Wajah-wajah -- Ibu yang kehilangan


CHE SALIHA (tengah) ditenangkan oleh ahli keluarganya sebaik jenazah anak-anaknya hendak disembahyangkan di rumahnya di Taman Tazali, Sitiawan, Perak.



SENYAMAN mana seorang bayi berada dalam perut ibu, sesejuk itulah air mata ibu yang tumpah kala meratapi kematian anak yang telah pergi.

Tidak kira dalam tragis atau biasa air mata menceritakan segala-galanya.

Esak tangis, sedu-sedan tidak membawa apa-apa erti lagi kala hati dihambat duka menyaksikan anak-anak yang membesar di depan mata tiba-tiba diambil Tuhan yang Esa tanpa sebarang amaran.

Sesungguhnya ajal maut, jodoh pertemuan adalah ketentuan Tuhan, kita hanya merancang, Tuhan jadi penentu. Sampai masa jika ditakdirkan berlaku, maka akan berlaku jua apa yang telah tertulis dalam luh mahfoz, malah tidak akan tercepat atau terlewat walau sesaat.

Sepanjang minggu lalu, kita dikejutkan dengan tiga kejadian menyayat hati membabitkan kematian remaja, kanak-kanak dan seorang guru yang cukup tragis.

Kegembiraan semasa berkhemah dan mandi manda 147 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring (SMKATJ) yang mengikuti Kem Kecemerlangan Jati Diri di Taman rekreasi Merang, Setiu Terengganu berakhir dengan tragedi apabila empat pelajar dan seorang guru ditemui mati lemas.

Kejadian di sungai Pahang turut mengorbankan Siti Yusliza Mohd. Yassin, 10 dan Zahari Azri Rahman, 10 yang mati lemas di Machang Manis.

Di kampung Machang Manis Desa Baru, Purun dua mangsa yang mati lemas adalah Khairul Iman Kamaruddin, 15, dan Nabila Edora Idris, 15. Di Kampung Lada pula, Mohamad Hanis Hashim, 18, dan Khairulmizam Mohamad, 19 turut dibawa arus deras.

Kejadian itu juga menyebabkan ibu-ibu kehilangan anak dalam sekelip mata. Bayangkan bagaimana perasaan dan hati mereka, hilang segala kemanisan yang telah tercipta sepanjang hidup bersama.

Kasih sayang dan kemesraan yang tercurah hilang umpama ditiup angin lalu. Kini segalanya menjadi sepi. Keseronokan hidup berkeluarga terjejas.

Setiap ruang dalam rumah mengingatkan mereka kepada wajah-wajah yang selama ini mencetus ceria dan bahagia. Mereka penawar merekalah pengusik jiwa.

Kejadian paling tragis menimpa Che Saleha Che Abdul Rahman, 50 yang kehilangan empat anak gadis sekali gus dalam nahas jalan raya kira-kira pukul 1 petang di km 9.1 Lebuhraya Timur Barat.

Siapa pun tidak dapat membaca hati Che Saleha ketika ini malah beliau sendiri tidak menduga perjalanan pulang dari kampungnya di Lundau, Kota Bharu, Kelantan ke Sitiawan itu adalah perjalanan terakhir buat dia dan keluarga.

Terbabas

Perjalanan itu telah memisahkan Che Saleha daripada anak-anak kesayangannya, Intan Mazwin Mohamed Imran, 26, Intan Maszmin, 25, Intan Syafarin Hanni, 23, dan Intan Syafinaz, 20 apabila kereta Mercedez Benz E220 yang dipandu Intan Mazwin Mohamad Imran, terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebatang pokok.

Tiga daripada anaknya terbunuh di tempat kejadian manakala Intan Syafinaz meninggal dalam perjalanan ke hospital.

Nahas itu juga mengingatkan Che Saleha kepada kata-kata anaknya Intan Syafinaz kepada seorang sepupunya bahawa dia merasakan baju putih yang dipakainya seperti memakai kain kapan.

``Anak kedua saya (Intan Mazmin) dulu pernah berseloroh... kalau kita ni terlalu baik, kita akan pergi awal. Waktu itu kami sekeluarga tidak fikir apa-apa dan kami tergelak,'' katanya mengenangkan kata-kata akhir anak-anaknya.

Kini segalanya telah tiada, empat anak gadis yang di ibaratnya sebagai terpelajar, taat kepada ibu bapa, dan rajin telah kembali kepada pencipta mereka. Che Saleha menerima takdir itu dengan redha.

``Mungkin pemergian mereka akan menguatkan lagi iman saya dan menjadi lebih sabar,'' katanya memujuk hati.

Sejuk hati seorang ibu yang melafazkan kata-kata itu, begitu juga harapan si ibu yang pastinya mendoakan roh keempat-empat anaknya itu dihimpun bersama-sama orang yang soleh.

Latifah Bujal yang kehilangan anaknya Syahmi Nasaruddin kerana mati lemas di Taman Rekreasi Pantai Merang, Setiu, turut mengalami trauma yang sama.

Begitu juga apa dirasai Lina Said yang kehilangan anak Mohd. Syafiq Zainuddin dalam kejadian yang sama.

Kasihnya ibu membawa ke syurga kasihnya bapa sepanjang masa. Kejadian sedih yang menimpa mereka menjadi iktibar dan mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menjadi lumrah setiap hamba Tuhan akan diuji dengan kejadian yang tidak diduga. Yang pasti kita harus pasrah dan redha dengan segala ketentuan itu kerana begitulah kehendakNya.

Dr. Sharifah Hayati Syed Ismail, Pensyarah Akademik, Pengajian Islam, universiti Malaya berkata, bagi ibu bapa yang ditimpa musibah itu, perkara utama yang harus diterima adalah menerima hakikat bahawa ajal maut di tangan Allah s.a.w.

Takdir

``Sebagai individu yang ada akidah, keimanan adalah perkara yang patut didahulukan sekiranya berlaku apa-apa yang yang menguji keimanan kita. Anggaplah apa yang terjadi sebagai takdir Allah Taala.

``Dari situ akan lahir perasaan besar dalam jiwa iaitu sifat redha,'' katanya.

Perkara kedua yang perlu dilakukan adalah banyak bersabar.

``Dalam hadis, Rasulullah pernah menyebut apabila seseorang itu ditimpa musibah atau masalah nasihatkan dia dua perkara, ingat kepada Allah iaitu bertakwa, kedua banyakkan bersabar,'' tambah Hayati.

Menurut Hayati ada masa sebagai manusia kita kadang-kadang terlupa apabila menghadapi masalah ini. Biasanya kita takut dikatakan orang alim atau mungkin disalah anggap oleh mereka yang menanggung musibah seperti kata-kata awak tidak rasa, saya yang rasa.

``Dalam apa juga keadaan, sebenarnya sabar itu sangat penting,'' kata Hayati.

Beliau turut mengaitkan kesabaran dan ketakwaan ini dengan kisah Nabi Ibrahim yang diperintah Allah s.a.w menyembelih anaknya, Ismail.

``Satu aspek besar yang boleh dikutip daripada kisah ini adalah ketaatan dan kesabaran Nabi Ibrahim kepada Allah Taala.

``Kesabaran terlalu berharga malah Nabi Ismail sendiri menurut riwayat, meminta ayahandanya Nabi Ibrahim menyampaikan salam kepada ibunya dan menyuruh ibunya bersabar mudah-mudahan dia akan dilindungi Allah Taala.'' kata Hayati.

Sehubungan itu kata Hayati kepada para ibu yang berada dalam situasi yang menyayat hati ini elok mereka banyak bersabar dan menerima takdir Allah dengan reda.

``Kesedihan dan kehilangan itu akan pergi, Insya-Allah, cuma bila sahaja yang kita tidak tahu,'' ujarnya.

Menurut Hayati kejadian ini menguji kekuatan iman dan sejauh mana kita reda dengan ujian Allah.

``Saya sejuk hati mendengar luahan seorang ibu, Che Saleha yang berkata, semoga kematian anak-anaknya akan menambah kekuatan iman dan kesabaran padanya. Itulah sebaik-baik perkara yang perlu diperbesar dan ditonjolkan,'' tambahnya.

Apa pun, seperti kata hayati, kesedihan itu akan hilang biarpun kenangan tetap subur sampai ke akhir hayat.

Hubungan ibu bapa dan anak, ibarat darah yang mengalir dalam tubuh, sentiasa panas dan perlukan sentuhan kasih sayang. Bayangkan apabila sentuhan itu telah hilang dan darah yang mengalir tiba-tiba berhenti.

Kepada kaum keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan, salam takziah diucapkan. Doa dipanjatkan agar roh mereka berada dalam tenang dan diihimpunkan bersama ahli sunnah waljamaah. Sabar dan kuatkan semangat serta tabahkan hati.

Hakikat kejadian Tuhan, takdir mengatasi segala, daripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali.

Al-Fatihah!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.