saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 22/02/2005

APM 2005 - Artis kita setakat popular saja

TIDAK banyak yang boleh kita banggakan apabila Anugerah Planet Muzik 2005 (APM 2005) melabuhkan tirainya pada malam Jumaat lalu. Barisan penyanyi dan pemuzik kita yang dicalonkan menerusi anugerah itu masih belum membuktikan keunggulan mereka.

Anugerah yang berlangsung di Suntec Convention Halls, Singapura itu menyaksikan penyanyi dan pemuzik kita kebanyakkannya setakat memenangi kategori popular sahaja.

Sedangkan artis-artis dari Indonesia pula mendominasi beberapa kategori terbaik.

Perlu dijelaskan bahawa yang membezakan antara dua kategori tersebut ialah, bagi kategori terbaik ia dipilih oleh barisan juri profesional, manakala kategori popular pula menerusi undian para peminat.

Undian untuk kategori popular dibuat melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan undian pembaca majalah hiburan Manja (Singapura) dan Media Hiburan (Malaysia).

Tentunya penilaian juri profesional bagi kategori terbaik paling bermakna kerana ia sebagai satu pengiktirafan sebenar ke atas bakat para pemenangnya.

Bolot

Indonesia misalnya, membolot lima daripada lapan kategori terbaik yang dipertandingkan. Kita pula hanya memenangi dua daripada keseluruhan kategori itu.

Dayang Nurfaizah, Misha Omar dan Siti Nurhaliza adalah tiga daripada enam calon Artis Wanita Terbaik yang dipertandingkan.

Namun, ketiga-tiganya ditewaskan oleh Kris Dayanti dari Indonesia.

Sementara itu, bagi kategori Artis Lelaki Terbaik pula kita mencalonkan Rem dan Zainal Abidin tetapi mereka pula ditewaskan oleh Ari Lasso, juga dari Indonesia.

Berbeza dengan kategori popular di mana kita membolot kesemua kategori itu iaitu Artis Lelaki Paling Popular (Anuar Zain), Artis Wanita Paling popular (Siti Nurhaliza), Kumpulan Paling Popular (Spider) dan Lagu paling Popular (Lagu Rindu - Siti Nurhaliza).

Paling menyedihkan ialah apabila tiada satu pun kumpulan muzik kita yang layak dipertandingkan menerusi kategori Duo/Kumpulan Baru Terbaik.

Empat dari lima kumpulan muzik yang dipertandingkan dalam kategori itu ialah kumpulan Bamboo, Rocket Rockers, Seurieus dan Ten 2 Five, semuanya dari Indonesia.

Walau bagaimanapun, Vince dan Dia Fadila sedikit sebanyak mengangkat nama industri muzik tempatan apabila masing-masing memenangi kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita Terbaik.

Vince memenangi kategori itu menerusi album sulungnya berjudul Vince dengan mengetepikan empat lagi pesaingnya iaitu AC Mizal (Malaysia), Ressa Herlambang (Indonesia), Iskandar Ismail (Singapura) dan Paundra (Indonesia).

Sementara itu, Dia Fadila pula mengungguli kategori itu melalui album pertamanya, Dia dan sekali gus menewaskan Ajeng (Indonesia), Norazia (Singapura), Saidatul Erma (Malaysia) dan Shahira juga dari Malaysia.

Singapura pula pertama kali diberi peluang menerima Anugerah Pencapaian yang dimenangi oleh Ramli Sarip. Sebelum ini, dua artis Indonesia iaitu Ebiet G. Ade dan Chrisye dari Indonesia serta M. Nasir dan Siti Nurhaliza dari Malaysia mengungguli kategori tersebut.

Pengacara

Namun, APM kali kelima ini memperlihatkan keseimbangan daripada segi gaya pengacaraan yang dipersembahkan oleh empat pengacaranya iaitu Aznil Nawawi dari Malaysia, Adi Rahman (Singapura) serta Shanty dan Sarah Sechan masing-masing dari Indonesia.

Keletah, cara dan konsep yang diketengahkan oleh empat pengacara terbabit berjaya menggamatkan dewan yang memuatkan kira-kira 3,000 penonton pada malam itu.

Anugerah anjuran Mediacorp Radio dan Beyond DDB Sdn. Bhd., itu mengenakan harga tiket $S28, $S38 dan $S48 untuk menyaksikan acara itu secara langsung.

Secara keseluruhannya, artis-artis dari Indonesia masih unggul di rantau Asia Tenggara jika dibandingkan dari Malaysia, Singapura dan Brunei yang bertanding menerusi anugerah kali ini.

APM 2005 dipancarkan secara langsung di empat negara dengan disaksikan oleh kira-kira 25 juta penonton.

Anugerah itu disiarkan secara langsung di Malaysia dan Brunei melalui Astro, Indonesia (TVRI) serta Singapura (Suria TV).

Walaupun APM 2005 hanya menyediakan hadiah berbentuk trofi sahaja dan tanpa imbuhan wang tunai tetapi apa yang pasti, pengiktirafan itu menaikkan imej para pemenangnya di rantau ini.

Sayangnya ada di kalangan pemenang APM 2005 yang tidak hadir misalnya Anuar Zain dan Ari Lasso walaupun kedua-duanya memenangi anugerah pada malam itu.

Kesimpulannya, artis kita masih belum berada di tahap yang terbaik daripada segi kualiti untuk bertanding di peringkat antarabangsa berbanding artis-artis dari Indonesia.

Kebanyakkan artis kita popular kerana publisiti yang diberikan oleh media massa. Namun, itu semua bukan satu landasan yang sebenar untuk dijadikan sebagai kayu ukur bagi menguji bakat mereka yang sebenar dalam bidang muzik.

Daripada segi ekonomi dan kemudahan prasarana, kita memang lebih maju berbanding Indonesia tetapi daripada segi industri muzik pula kita masih ketinggalan berbanding negara jiran itu.

Penulis masih teringat kata-kata vokalis dan gitaris kumpulan Dewa dari Indonesia iaitu Ahmad Dhani apabila dibuat perbandingan antara industri muzik Malaysia dan Indonesia sewaktu bertemu dengannya di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Kata Dhani, pembangunan infrastruktur di Malaysia 10 tahun lebih maju berbanding Indonesia yang masih mundur kerana masalah ekonomi.

Namun, tambah Dhani, industri muzik Indonesia pula 10 tahun lebih ke depan berbanding industri muzik Malaysia.

Perkara itu dapat dilihat melalui kepesatan industri muzik di sana yang melahirkan ramai penyanyi dan pemuzik yang mampu menerawang jauh dengan bakat yang mereka miliki.

Justeru, penyanyi dan pemuzik kita seharusnya mempertingkatkan lagi mutu suara dan persembahan agar karisma mereka mampu terserlah hingga ke peringkat antarabangsa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:32
Maghrib 7:05
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.