saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/03/2005

Yusof Haslam - Filem saya ada kelas tersendiri


Bercakap tentang filem hari ini, tidak boleh tidak nama Datuk Yusof Haslam,51, pasti akan diperkatakan kerana pengarah ini memang sudah sinonim dalam dunia perfileman tempatan.

Sejak filem pertama arahannya, Debu-Debu Kotaraya dihasilkan pada tahun 1990 hinggalah hari ini, sudah 14 filem diarahkannya.

Sebagai pengarah dan penerbit filem, Yusof pernah catat sejarah gemilang dunia perfileman Melayu apabila filemnya Sembilu berjaya membuat kutipan jualan tiket RM6 juta. Namun di sebalik kejayaan itu, Yusof juga turut terkenal sebagai pengarah yang sering dikritik kerana filem-filemnya yang dikatakan melodrama. Malah usahanya menampilkan penyanyi popular sebagai pelakon utama juga pernah dikritik hebat.

Popular

Filem-filem beliau juga dicop sebagai filem popular tetapi tidak bermutu.

Utusan Malaysia baru-baru ini menemui Yusof Haslam di pejabatnya. Tanpa selindung, beliau meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

SOALAN: Sebagai pengeluar dan pengarah filem, apakah definasi filem bermutu bagi Datuk?

YUSOF: Bagi saya filem bermutu harus menepati cita rasa masyarakat dan penonton. Ia harus digarap dengan sempurna baik daripada segi pengarahan, sinematografi, lakonan, skrip dan sebagainya.

Ada yang melabelkan filem-filem arahan Datuk sebagai tidak bermutu. Apa komen Datuk?

YUSOF: Menilai filem bermutu atau tidak bukan hak individu tetapi masyarakat. Lontaran pandangan individu bukan lontaran pandangan majoriti. Sebenarnya bercakap pasal mutu ni terlalu subjektif kerana akhirnya kita akan balik kepada kehendak majoriti. Saya boleh terima kritikan tetapi janganlah sampai menghina.

Datuk pernah terguris dengan kritikan?

YUSOF: Saya sudah lama dalam dunia ini, menjadi pelakon filem 33 tahun lalu, penerbit drama 20 tahun dan penerbit filem 15 tahun. Sudah lali dengan kritikan. Tetapi sesekali terguris juga kalau dihina. Anda boleh mengkritik apa sahaja tetapi anda juga harus menghormati antara satu dengan lain. Lainlah kalau saya pernah melacurkan filem kita. Saya tidak buat filem bogel.

Apa pandangan Datuk tentang filem arahan pengarah generasi baru seperti Yasmin Ahmad?

YUSOF: Saya sudah tengok Sepet. Saya mengalu-alukan orang-orang baru seperti Yasmin Ahmad. U-Wei juga tidak kurang hebatnya dan saya menghormati hasil karya mereka kerana bagi saya setiap pengarah mempunyai pendekatan sendiri. Bagi saya, apa yang penting sebagai karyawan filem, kita harus menghormati di antara satu dengan lain kerana setiap pengarah ada kelasnya yang tersendiri.

Ada yang berpendapat penonton hari ini sudah berubah dan mahu melihat filem kelas Sepet?

YUSOF: Jangan kita mengambil kayu ukur sebuah filem itu terus berkata penonton kita sudah berubah. Bagi saya penonton sentiasa berubah daripada sebuah filem ke sebuah filem.

Formula

Sepet membawa kisah cinta antara dua budaya. Begitu juga Sembilu 2005. Tetapi antara dua ini penonton lebih sukakan cara garapan Sepet yang tidak terikat dengan gaya filem Jalan Ampas. Apa komen Datuk?

YUSOF: Seperti yang saya kata, Sepet ada kelasnya yang tersendiri. Filem-filem saya adalah filem yang mengikut mainstream (arus perdana) yang banyak berpaksi kepada orientasi komersial. Sepet agak berlainan iaitu cinta yang tiada tentangan. Tapi itu adalah dalam konteks cerita dia. Dalam filem saya memanglah banyak macam filem Hindustan. Tapi bagi saya, itu tak salah sebab kita berpaksikan kepada komersial sebab filem saya dalam kelas yang tersendiri.

Filem terbaru arahan datuk, GK3 The Movie senyap tanpa berita hingga menimbulkan cakap-cakap orang kononnya formula Yusof Haslam sudah tidak menjadi?

YUSOF: Bukan senyap tetapi kita tidak gembar-gemburkan seperti Gerak Khas yang capai RM4 juta, Gerak Khas II hampir RM3 juta. Tetapi saya bersyukur kerana GK3 mencapai kutipan hampir RM2 juta atau kutipan bersih RM1.350 juta. Bagi saya filem ini tidak gagal di pasaran kerana dalam konteks filem Melayu, kalau kutipan kita tidak mencecah RM1 juta ia dikira gagal. Sebagai pengarah, saya bersyukur kerana saya belum pernah melalui senario filem gagal. Sebenarnya bukan senang nak mengekalkan prestasi.

Sampai bila agaknya Datuk akan mengarah filem?

YUSOF: Insya-Allah saya akan mengarah sehingga umur saya 56 tahun dan selagi saya sihat. Sebab impian saya setelah mengarah 20 filem saya mahu berehat. Selepas itu, mungkin saya akan mengarah dua tahun sekali dan saya akan serahkan kepada pengarah generasi baru seperti anak saya, Mohd. Shamsul dan Faizal yang kini sudahpun mula mengarah drama Gerak Khas. Cukuplah ketika itu, saya sekadar membimbing mereka untuk terus berjaya dan mengukuhkan Skop Production.

Sebelum bersara apakah Datuk tidak mahu menghasilkan sebuah filem yang popular dan bermutu?

YUSOF: Memang saya pernah terfikir untuk membuat filem begitu ataupun filem epik tetapi buat masa ini saya ada tanggungjawab terhadap pekerja saya. Itulah yang selalu saya ingat... mencari hampir RM100,000 setiap bulan untuk memenuhi periuk nasi 40 petugas Skop Production Sdn. Bhd.

Apa pandangan Datuk dengan wujudnya Tabung Pusingan Pinjaman?

YUSOF: Ini adalah satu usaha yang bagus kerana dengan adanya dana ini boleh mengisi kuota 24 filem setahun.

Ada lain-lain yang ingin Datuk sampaikan?

YUSOF: Saya tahu ada golongan pengarah yang meletakkan diri mereka elit, menganggap saya ini terlalu kecil di mata mereka. Itu hak mereka. Tapi saya bersyukur dengan rezeki dan akal yang Tuhan berikan. Walaupun akademik saya rendah tetapi diberiNya saya

akal fikiran dan kreativiti hingga saya dapat berada lama dalam dunia perfileman walau dalam kelas saya yang tersendiri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.