saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 01/04/2005

Siti Nurhaliza - Dari Kuala Lipis ke kota London


Siti Nurhaliza berbincang dengan Fadzli (membelakang kamera) dan Mahadir Lokman (duduk kanan) mengenai konsert solonya malam ini.



LAZIMNYA kita hanya mendengar cerita-cerita hebat penghibur-penghibur popular dunia mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London.

Kita juga sering mendengar cerita angan-angan sebilangan besar penghibur dunia lain yang menyimpan keinginan dan cita-cita untuk beraksi di dewan yang sudah menyaksikan lebih 150,000 persembahan berlangsung di situ.

Tetapi malam ini, ia bukan lagi igauan bagi satu-satunya penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza.

Siapa sangka penyanyi yang suatu ketika dahulu pernah mendapat jolokan penyanyi kampung kini melalui transisi yang sangat gemilang dengan mengadakan persembahan di dewan tersohor dunia itu.

Dari Kampung Awah, Kuala Lipis, Pahang, Siti kini berada di kota metropolitan Inggeris untuk menyahut cabaran seni yang sekali gus meneruskan tradisinya melakar satu lagi catatan manis yang akan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia iaitu dengan mengadakan persembahan solo di sini.

Signifikannya persembahan Siti pada malam ini ia tiada kaitan dengan usikan April Fool sebaliknya, hari ini genap sedekad usia penglibatan Siti sebagai penyanyi.

Lebih manis lagi, ia juga bakal mencatat rekod baru Siti sebagai artis Melayu pertama beraksi secara solo di Royal Albert Hall.

Dewan termasyhur itu juga kini meraikan ulang tahun ke-134 dewan gah itu yang jatuh pada 29 Mac lalu.

Usaha yang dirintis oleh Siti menerusi syarikat produksinya Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd., (SNP) dengan kerjasama Putrade Property Management Sdn. Bhd., menyaksikan kerjasama akrab dua anak muda yang tidak pernah menjadikan faktor usia untuk menawan dunia.

Tanpa tajaan daripada sektor korporat, konsert ini harus diteruskan juga demi mengangkat martabat kesenian bangsa Malaysia di mata orang asing.

Barangkali tidak ramai daripada kita yang menyedari misi ini menuntut Siti, 26, yang menerajui SNP sementara Putrade Property pula diwakili Ahmad Fadzli Yaakob, 27, berdepan dengan kerenah birokrasi dan pandangan skeptikal orang Inggeris terhadap orang-orang Asia.

Namun, berbekalkan iltizam dan keinginan untuk menyenaraikan nama negara di peta kesenian global semua itu diharungi oleh Siti dan Fadzli dengan semangat Malaysia Boleh.

Profil

``Bukan mudah sebenarnya untuk meyakinkan pihak pengurusan Royal Albert Hall terhadap kemampuan penyanyi Malaysia untuk beraksi di sini. Namun, syukur profil seni Siti membuka mata orang di sini,'' ujar Pengerusi Eksekutif konsert tersebut, Fadzli individu yang bertanggungjawab merealisasikan cita-cita Siti beraksi di Royal Albert Hall.

Peluang Siti mengadakan persembahan solo di sini juga ujar Fadzli, membuka pintu untuk artis-artis Malaysia khususnya dan artis-artis Asia umumnya untuk mengadakan persembahan di dewan yang sama pada masa depan.

Sebelum ini, artis Asia lain yang pernah `diterima' oleh pengurusan Royal Albert Hall ialah pemain sitar terkemuka dunia, Ravi Shankar dan penyanyi legenda India, Lata Mangheskar. Ini juga bermakna nama Siti akan tertulis dalam sejarah sebagai penyanyi nombor tiga dari Asia beraksi di situ.

``Syukur, mimpi Siti menjadi kenyataan. Sukar untuk Siti menggambarkan perasaan Siti ketika ini. Semua ini Siti lakukan semata-mata untuk memperkenalkan muzik Malaysia ke mata dunia,'' ujarnya pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di kota London, kelmarin.

Siti juga tidak menolak hakikat mengadakan persembahan di Royal Albert Hall merupakan usaha yang menuntutnya berdepan dengan risiko yang sangat tinggi apatah lagi andai kata tidak ramai warga tempatan yang menontonnya.

Namun, bagi Siti, dia tidak melihat persoalan itu sebagai halangan kerana apa yang lebih utama ialah misinya untuk memastikan irama muzik Malaysia bergema di dewan yang selama ini tidak pernah menerima kehadiran muzik Melayu.

Tepat pukul 7 malam ini (pukul 2 pagi waktu Malaysia), misi Siti di kota London tiba pada kemuncaknya.

Dia akan diiringi oleh sekumpulan pemuzik Orkestra Simfoni London, sekumpulan pemuzik Malaysia dan Indonesia serta penari-penari Yayasan Warisan Johor dalam persembahan selama dua jam.

Doa

Segala persiapan sudah dilakukan Siti khususnya persiapan mental dan fizikal. Kini apa yang Siti perlukan daripada seluruh peminatnya serta rakyat Malaysia ialah mengiringinya dengan doa agar konsert solo itu berjalan dengan sempurna.

``Siti sangat bersyukur andai peminat dan rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk Siti,'' pintanya.

Kisah anak seni dari Kuala Lipis ke kota metropolitan London ini tidak berakhir dengan persembahan solo di dewan itu.

Ia hanya permulaan baru untuk Siti ke peringkat global dan selepas ini, kita pasti cabaran Siti untuk meneroka pasaran yang lebih luas dan lebih sukar.

Tetapi kata Siti, dia mahu menjadi srikandi yang tidak gentar menyahut cabaran dan kerana itu dia mahu merentasi segala halangan demi mencapai kepuasan sebagai anak seni.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.