saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/04/2005

Malaysiakini dan nota kaki April Fool


ANDAINYA sesetengah maklumat yang disebarkan kelmarin mahu dipercayai, tidak mustahil ada orang yang mati terkejut kerana sesak nafas. Ini semua gara-gara kononnya meraikan April Fool; ikut-ikutan daripada budaya luar sehari dalam setahun membuat jenaka mempermain-mainkan orang lain.

Ada yang menyebarkan SMS mengatakan Jambatan Pulau Pinang runtuh. Pesanan ringkas yang dimulakan dengan ayat ``Ada tengok TV3?'' itu lengkap menyatakan angka mangsa yang terkorban dan tercedera serta jumlah kenderaan yang terlibat. Ia diakhiri dengan ayat ``dan seorang kena tipu!''

Ada juga yang menyebarkan SMS mengatakan Seremban akan dilanda gempa bumi yang besar dalam masa sejam. ``Berdoalah kepada Tuhan. Mesej ini diambil dari berita televisyen satelit.'' Kebanyakan orang yang menerima mesej itu terkejut dan gemuruh tetapi kemudian menarik nafas lega apabila jauh ke bawah pesanan itu diakhiri dengan ayat: ``Tahniah kerana anda diperbodohkan pada 1 April.''

Selepas bencana tsunami 26 Disember lalu dan gempa bumi besar dekat Pulau Nias, Sumatera awal pagi Selasa lalu, dua SMS itu tentulah sesuatu yang bukan boleh dibuat main.

Tetapi kemuncak kegemparan kelmarin ialah laporan berita oleh laman web Malaysiakini mengenai tiga menteri Kabinet dan seorang Menteri Besar akan didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Empat pemimpin itu dikatakan sebahagian daripada 18 kes rasuah melibatkan orang kenamaan yang disiasat oleh Jabatan Peguam Negara.

Laporan itu dikeluarkan pada pukul 10.18 pagi tetapi disusuli tiga minit kemudian dengan satu penjelasan bahawa ia hanyalah satu jenaka.

Tetapi Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, orang yang tentunya lebih tahu tentang buah butir kandungan laporan Malaysiakini itu bukan saja langsung tidak ketawa malah naik angin dan menyinga.

``Ini jenaka yang kasar. Pendakwaan sesuatu kes bukan perkara yang boleh diperolok-olokkan. Ia perkara yang serius apatah lagi kalau melibatkan rasuah,'' katanya.

Sebagai laman web yang mengendalikan berita, perkara serius seperti itu tidak seharusnya dijadikan bahan untuk berlawak jenaka. Jenaka April Fool bertujuan memperdayakan orang supaya mempercayai jenaka itu satu kebenaran. Ini tentunya bertentangan dengan peranan media iaitu melaporkan sesuatu yang berlaku.

Dalam penjelasan yang disiarkan pada pukul 5.20 petang yang sama, Malaysiakini memaklumkan bahawa laporan itu dibuat untuk mencetuskan perbincangan di kalangan masyakat tentang isu rasuah. Ia juga mahu menarik perhatian masyarakat kepada apa yang disifatkannya sebagai ``belum lagi dilakukan'' oleh kerajaan untuk melawan jenayah itu.

Ketua Pengarangnya, Steven Gan pula dipetik oleh sebuah akhbar semalam sebagai berkata, jenaka itu harus diterima dengan semangat hari April Fool.

``Tetapi April Fool ini bukan budaya kita,'' kata pensyarah media, Prof. Dr. Mohd. Safar Hashim. Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia itu mengakui bahawa media di serata dunia memang ada membuat jenaka sekali dalam setahun pada 1 April.

``Ini mungkin kerana mereka hendak berseloroh dengan pembaca, pendengar atau penonton tetapi jenaka mereka itu tidaklah melampau,'' katanya.

Saluran berita BBC misalnya pernah pada tahun 1957 membuat satu laporan mengenai sebuah keluarga di Switzerland menanam pokok spageti. Pada masa itu, makanan asal Itali itu masih belum popular seperti hari ini, dan laporan terus menarik perhatian. Apatah lagi ia dilaporkan oleh BBC.

Ada banyak lagi laporan jenaka seperti itu dari tahun ke tahun. Itu pun oleh media tertentu, dan cuba bandingkan pula dengan apa yang dibuat oleh Malaysiakini.

``Ini bukan lagi berjenaka tetapi sudah melampau. Kalau jenaka yang ringan tidak mengapa tetapi kalau berat mudarat seperti ini, ia tidak patut dilakukan,'' kata Mohd. Safar.

Pengerusi Institut Akhbar Malaysia, Datuk Ahmad A. Talib juga menyuarakan pandangan yang sama. ``Ini satu perkara yang tidak sihat dan melanggar tatasusila budaya kita. Ini sangat tidak manis,'' katanya.

Jenaka itu keterlaluan, dan kerana ia melibatkan orang politik dan pemimpin kanan kesannya tentulah lebih mudarat. Kilang gosip politik di kedai kopi mahal pun kembali sibuk.

``Ini bukan caranya yang sesuai kalau mereka hendak membangkitkan isu (cara kerajaan membanteras rasuah) untuk diperdebatkan.

``Ia hanya mencetuskan pelbagai spekulasi,'' kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Ada orang yang mungkin bertanya apakah kita ini masyarakat yang terlalu serius, tidak boleh berlawak jenaka sehingga tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh laman web itu.

Kita boleh menjawab dengan mengatakan kita tahu berjenaka. Orang Melayu misalnya kaya dengan pantun dan gurindam yang lucu-lucu. Malah orang Melayu masih boleh mentertawakan diri mereka sendiri - dikutuk dan dihina oleh pemimpin sendiri tetap tersenyum dan tidak berbuat apa-apa.

Cumanya kali ini kita tidak mampu ketawa sebaliknya menganga melihat kelakuan sesetengah orang yang kononnya lebih baik daripada orang lain.

Laman web itu mungkin sudah masuk perangkap sendiri. Sekarang ini orang tidak bercakap tentang hasratnya yang tersembunyi di sebalik apa yang disifatkannya sebagai kewartawanan kreatif sebaliknya mual dengan jenaka tidak ada kelas itu.

``Orang malah mungkin akan meremehkan laporan-laporannya selepas ini. Orang akan bertanya-tanya adakah (laporannya selepas) ini juga rekaan?'' kata Mohd. Safar.

Orang mungkin boleh menempelak mengatakan mereka yang melatah dek jenaka itu tidak membaca habis sampai ke hujung serta tidak melanggan laman web itu. Tetapi Malaysiakini selepas ini juga barangkali tidak ubah seperti cerita gembala kambing dan serigala. Suatu hari nanti ia melalak, tiada siapa pun yang peduli.

Laporannya selepas ini tidak dapat tidak akan dirujuk bersama-sama jenakanya kelmarin sebagai satu nota kaki.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zohor 1:14
Asar 4:30
Maghrib 7:20
Isyak 8:31



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.