saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/05/2005

Noralbaniah tabah meredah hidup


NORALBANIAH.


SEPULUH tahun berlalu sudah. Sederas waktu, sepantas itu jua usia meniti tangga demi tangga dan kita semakin dewasa sebenarnya. Dewasa membawa bunga-bunga yang indah, mekar dan mengharum di laman kehidupan.

Sayangnya, bunga-bunga indah tidak selamanya kembang dan mengharum. Ada ketika hidup diduga dan diuji dengan kepayahan kala kita menuju puncak yang diimpikan.

Waktu susah bagi pelakon dan peragawati Noralbaniah barangkali sudah berakhir. Banyak peminat menganggap detik paling sukar dalam hidupnya apabila kehilangan suami tersayang pada usia yang terlalu mentah - 25 tahun. Dia berkahwin pada 1993 ketika berusia 23 tahun.

Sudarman jaguh lumba kereta meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika usia perkahwinan mereka baru menginjak tiga tahun. Ah, inai masih merah, perpisahan pula datang menyapa.

``Saat paling sukar bagi saya ialah membesarkan anak seorang diri. Saya kehilangan dahan bergantung selepas suami meninggal dunia,'' ujar Noralbaniah yang banyak orang tidak tahu tentang getir yang dilalui seorang diri.

Pendapatannya sebagai artis yang tidak pernah tetap, tentu saja bukan mudah membesarkan seorang anak (Syarra Sudarman kini mencecah usia 10 tahun).

Noralbaniah membuka cerita derita yang pernah singgah dalam hidupnya. Dia hampir tewas dengan kehidupan dan mula menyalahkan kepada nasib diri yang malang.

Dengan tiada pekerjaan, anak pula akan bersekolah dan dia langsung tiada duit kerana tiada peluang berlakon. Akhirnya Noralbaniah membuat keputusan meninggalkan Kuala Lumpur dan kembali ke Taiping untuk meneruskan hidup sebagai orang biasa.

``Di Taiping kos hidup yang jauh lebih rendah. Tetapi yang penting saya percaya Syarra tidak akan berasa kekurangan sebab di sana banyak ahli keluarga lain yang boleh membantu saya membesarkan dia dengan kasih sayang,'' katanya.

Di Taiping, Noralbaniah mula bangkit daripada kesuraman dan berfikir melakukan sesuatu. Awal tahun 2000 dia memilih untuk mengikuti kursus kontraktor kelas F bagi membolehkan dia menceburi bidang pembinaan.

``Satu bidang yang kurang diminati oleh wanita, tetapi saya berani cuba sebab tahu tidak banyak saingan dengan wanita lain.

``Bermula dari situ kehidupan saya dan Syarra makin selesa, dan saya mula hidup macam orang biasa yang lain selepas detik itu,'' katanya yang mengharapkan masa depannya selepas ini akan kembali cerah apatah lagi setelah namanya menjadi sebutan semula semenjak membintangi filem Kemarau Cinta.

Pengakuan Noralbaniah mengenai kisah cinta ini mungkin sukar untuk dipercayai. Saya bertanya beberapa kali untuk memastikan apakah sehingga kini tidak ada lelaki dalam hati Noralbaniah.

``Sungguh, saya tidak pernah jatuh cinta setelah sepuluh tahun menjadi ibu tunggal. Malah berkenalan dengan lelaki secara serius pun tidak pernah, jauh sekali untuk bercinta,'' katanya bertegas.

Perempuan cantik dengan potongan badan yang langsing ditambah nama yang mengharum di laman seni, mana mungkin tidak ada lelaki yang datang menjaja cinta?

Barangkali itulah yang membuatkan sukar untuk kita mempercayai apa yang diluahkan Noralbaniah.

``Tak percaya? Hendak cakap macam mana lagi, memang saya tidak pernah dilamar oleh sesiapa.

``Tak ada saudara-mara, mak cik-mak cik yang hendak suruh kahwin dengan anak dia orang. Mungkin sebab lelaki tengok saya macam perempuan bela singa agaknya,'' katanya bersulam ketawa.

Suami yang pergi, masihkah kukuh cinta dan sayang di sanubari? Apakah kerana cinta yang satu itu juga maka sukar untuk dia membuka pintu hati untuk lelaki lain?

Ketika menyambut soalan, dia merenung jauh ke dalam anak mata saya. Mata kami bertemu dan kemudian dia tunduk. Rasa bersalah pula mengocak riak duka yang hampir tenggelam itu. Dalam hati, harap jangan sampai dia menangis.

Dengan tangan kanan yang menggenggam antara satu sama lain dan dilekapkan ke dada, ``Dia tinggalkan cintanya di sini.''

Kata Noralbaniah, usia perkenalan mereka terlalu singkat, Sudarman sudah dipisahkan daripada dia dan Syarra.

``Cinta tidak semestinya memiliki. Sepuluh tahun lalu, selepas tiga hari pemergiannya saya pasrah dan tidak lagi menangis kerana pada ketika itu saya sudah ada Syarra, yang perlu saya jenguk dan tengok perasaannya.

Kata-kata bahawa dia sudah semakin kuat terpancar daripada raut wajah bujur dan mata tajamnya yang langsung tidak menakung air mata kala nama arwah suaminya disebut berkali-kali. Benarlah, laranya sudah berakhir apabila dia menerima takdir.

``Mungkin kerana sudah biasa hidup susah dan kurang kasih sayang sejak kecil, saya sudah biasa hidup sendiri tanpa apa yang dinamakan cinta.

``Untuk cinta baru, biarlah waktu yang menentukan. Sepuluh tahun hidup seorang, saya tak pernah terasa sunyi.

``Kerana itu saya tidak perlu terkejar-kejar lagi kerana sudah punya Syarra, kalau tidak sudah tentu saya tidak akan menjanda sebegini lama,'' katanya.

Hidup adalah lilitan yang satu antara bahagia dan derita. Suka dan duka menjadi warna yang melatari kanvas kehidupan setiap insan di muka bumi Tuhan.

Palitan warna suram yang dilalui olehnya hari ini serba sedikit telah diperturunkan kepada anaknya, itu pendapat Noralbaniah.

Apa yang dilalui oleh Syarra hari ini hampir sama dengan apa yang pernah dilalui oleh ibunya.

``Kadangkala saya merasakan hidup ini sangat pelik. Syarra melalui apa yang pernah saya lalui dan perjalanan hidup kami sedari kecil amat serupa sebenarnya,'' katanya.

Antara persamaan mereka ialah kehilangan orang yang tersayang dalam usia yang terlalu mentah untuk memahami kehidupan.

``Saya kehilangan ibu ketika berusia satu tahun. Syarra kehilangan ayah masa umur 11 bulan.

``Masa kecil saya dalam kesusahan dan masa kecilnya juga sama. Sebab itu saya anggap kami banyak persamaan, termasuk berkongsi minat dan cita rasa, `' jelasnya.

Apa pun Syarra yang sedang membesar di depan mata menjadikan si ibu langsung tidak kisah mengenai cinta dan lelaki. Biarlah mereka berdua saling mendakapi kerana ia sudah cukup untuk saling melengkapi.

``Saya tahu Syarra tidak memiliki kasih sayang lelaki bernama ayah. Pun begitu, dia tidak kurang segalanya kerana ada ibu yang sanggup buat apa saja untuknya.

``Ada kalanya saya rasa ada hikmahnya Sudarman meninggal dunia ketika usia Syarra baru 11 bulan. Sebab masa itu dia belum kenal siapa bapanya dan dia langsung tidak pernah terasa kehilangan sebab dia tidak pernah rasa bagaimana kasih sayang seorang bapa,'' katanya.

Syarra ketika ini menetap di Taiping dan Noralbaniah berulang-alik antara Kuala Lumpur dan kampung halamannya.

Kitam Lawa, demikian watak filem Kemarau Cinta yang dipertanggungjawabkan di bahunya. Setelah empat tahun tidak berlakon (kali akhir pada tahun 2001 melalui drama - Alahai Chombi), pada tahun 2004 barulah dia menerima tawaran daripada pengarah Mior Hashim Manap.

``Watak tak berapa besar, tetapi saya terima sebagai satu tanggungjawab. Watak Kitam Lawa memang saya suka sebab kelainannya.

``Walaupun hanya beberapa babak, melalui Kitam Lawa terpancar watak perempuan yang pentingkan diri, suka ambil kesempatan dan berlagak,'' katanya mentafsir amanah yang diberi.

Mengimbas kenangan masa lalunya, bakat lakonan Noralbaniah bukan sebarangan. Awal tahun 1990-an membawa ke pertengahan, dia menguasai dunia filem tempatan.

Bukan itu sahaja, bakatnya turut diperakui oleh Indonesia apabila dia ditawar berlakon filem Sekretaris. Noralbaniah adalah satu-satunya pelakon Malaysia yang membintangi filem terbitan Indonesia pada tahun 1991 yang turut menampilkan Rano Karno dan Ria Irawan itu.

Pada tahun berikutnya, dia bersama aktor Khairil Khamis muncul dalam filem usaha sama Malaysia dan Indonesia berjudul Gelora Cinta. Filem ini turut menampilkan lakonan Nurul Ariffin dan Imuda.

Laris macam pisang goreng panas dan namanya meletup di persada dunia lakonan pada waktu itu dan mampu membintangi tiga buah filem dalam masa satu tahun.

Tidak hairan wajahnya yang diperkenalkan oleh aktor Ahmad Fauzee dalam filem Kolej 56 ini sentiasa menjadi pilihan majalah hiburan popular pada waktu itu.

Malah Noralbaniah adalah wajah kesayangan majalah URTV. Apa tidaknya jualan majalah hiburan itu meningkat secara tiba-tiba selepas Noralbaniah dipilih sebagai gadis muka depan pada keluaran itu.

``Itu zaman yang penuh dengan keseronokan. Hampir setiap hari ada saja fotografi dan sampai hari ini saya berasa amat terhutang budi kepada wartawan kerana tidak pernah menulis cerita-cerita yang buruk tentang saya'',

Mungkin sebab tak ada `angin' maka tiada gosip dan cerita pelik yang diperkatakan tentang bintang yang satu ini.

Berbalik kepada Kemarau Cinta, filem ini sudah pun berada di pawagam bermula 5 Mei lalu dan dianggap antara filem Melayu yang menampilkan kelainan daripada filem-filem jenama popular lain.

``Saya harap orang suka kepada Kemarau Cinta dan sudah tentu kepada Kitam Lawa. Hendaknya biarlah Kitam Lawa menjadi sebutan dan ingatan peminat-peminat seni filem tempatan,'' katanya menyisakan segunung harapan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.