saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/06/2005

Saingan sengit kereta Asia


Isu lambakan kereta mula berlaku lebih tiga tahun lalu di mana ia didefinisikan dalam versi yang lebih `halal' dengan kebanjiran kereta dari Korea Selatan yang ditakrifkan sebagai kereta nasional apabila mendapat diskaun agak tinggi dalam pembayaran duti import dan duti eksais. Di samping itu ia dibawa masuk ke negara ini pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran atau harga yang sama dijual di negara jiran.

Malah kehadiran lebih banyak penerima permit import (AP) yang membawa masuk kenderaan lengkap dipasang juga merupakan ancaman baru Proton dengan ada pihak berupaya menjual kenderaan import jauh lebih rendah dari harga sebenar berbanding harga pasaran global.

Ia dilakukan dengan membayar duti sekali gus dan kesannya kereta boleh dijual pada harga murah dan berdaya saing.

Seorang penganalisis pasaran berkata, selain dari kesan kemasukan menerusi AP, beberapa model kereta buatan Korea dibawa masuk ke negara ini pada harga yang lebih rendah, kurang antara 40 hingga 60 peratus berbanding harga pasaran semasa bagi model yang sama di negara lain.

Beliau menyebut contoh negara-negara pengeluar kereta utama seperti Jepun dan Korea Selatan yang membuat peraturan bagi memastikan industri kereta domestik mereka terus bertapak kukuh.

Menurutnya, pembuat dasar yang mahu melonggarkan pasaran di bawah perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) harus memberi perhatian bahawa di negara-negara seperti Jepun, pembuat kereta asing mendapat hanya 10 peratus habuan pasaran.

``Di Korea Selatan, juga sama. Orang melindungi pasaran mereka. Kenapa? Di Jepun, industri automatif memberi pekerjaan kepada 5.8 juta orang, jadi ia tidak akan membiarkan industri itu gagal,'' tegas beliau.

Berbeza di Malaysia katanya, syarikat asing sudah hampir menguasai 40 hingga 50 peratus habuan pasaran kereta Malaysia.

Malah China juga bertindak bagi memastikan industri keretanya boleh berkembang.

Di bawah dasar automotif barunya, China mengenakan syarat supaya pelabur-pelabur asing membuka kilang membuat kereta yang lengkap di negara itu kerana ia bercita-cita menjadi salah sebuah negara pengeluar kereta utama dunia menjelang 2010.

Di Barat khususnya Kanada yang membuka pasaran keretanya tidak lama dahulu, jatuh dari kedudukannya sebagai antara lima pembuat kereta terkemuka di dunia.

Statistik 2004 menunjukkan lambakan 67,861 buah kereta import di atas jalan-jalan raya di negara ini, harus dilihat dari segi positif walaupun ia merupakan satu berita buruk kepada Proton, di dalam meneruskan dominasi sebagai firma pembuat kereta nasional nombor satu negara yang kini menguasai kira-kira 51 peratus pasaran automatif negara.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia, sepanjang tahun lalu, sebanyak 67,861 buah kereta import telah masuk ke Malaysia dan sehingga April 2005, jumlah kereta import yang berada di Malaysia ialah 22,710 buah.

Namun begitu, Proton harus melihat kemasukan kereta import atau CBU sebagai cabaran untuk memperkukuh dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju di dalam industri automatif tempatan.

Apa yang perlu ditangani oleh Proton kini ialah bagaimana caranya untuk memperbetulkan minda pembeli yang masih mengatakan kereta import lebih baik dari kereta Proton.

Proton yang kini boleh dikatakan arif dalam industri automatif harus melihat perkara ini sejak dulu lagi dan tidak menjadikan perlindungan kerajaan terhadap kereta nasional sebagai perkara pokok untuk terus mendominasi pasaran.

Berdasarkan kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Arif, Proton telah berjaya menjual sebanyak 168,616 kereta Proton dan jika dilihat kepada angka tersebut, bila-bila masa sahaja jualan kereta Proton akan dipintas oleh kereta berjenama lain.

Biar sebanyak mana kereta dapat dijual sama ada di dalam negeri atau pasaran eksport, Proton perlu bermuhasabah bagaimana untuk mengubah minda pembeli supaya terus menjadikan jenama Proton sebagai jenama pilihan utama mengatasi jenama-jenama lain.

Proton perlu mengutamakan perkara-perkara yang kecil terutamanya kecacatan terhadap kereta-kereta keluarannya dengan meminimumkan kecacatan sebagaimana yang dilakukan oleh pengeluar-pengeluar antarabangsa lain.

Bak kata pepatah, adalah mustahil dalam satu tandan pisang kesemua pisang adalah baik, sekurang-kurangnya ada sebiji dua yang buruk, dan masalah tersebut sememangnya tidak perlu berlaku jika Proton berhati-hati di dalam mengeluarkan model-model keretanya.

Pelaksanaan

Proton harus menerima kenyataan ini, jika ditanya daripada sepuluh pembeli keretanya, enam akan mengadu pelbagai jenis masalah yang selalunya mengambil masa hingga berminggu-minggu untuk diselesaikan.

Dari perspektif pembeli, mereka mahukan nilai terbaik dengan wang yang dikeluarkan, malah jika pembeli lebih berminat untuk mendapatkan kereta import Proton harus melihat dari sudut yang positif.

Kecacatan dalam pengeluaran semestinya ada.

Sebagai contoh, Perodua baru-baru ini ketika mengumumkan pelancaran model terbarunya MyVi, telah menyatakan bahawa model baru itu mencatatkan kadar kecacatan yang paling minimum berbanding model-model sebelumnya.

Proton selaku abang dalam industri automotif tempatan sememangnya lebih arif mengenai hal ini dan sebagai pembuat pemasang kereta akan berbuat demikian dengan mengaudit prestasi vendornya dua kali setahun.

Sistem audit itu akan dikendalikan oleh TUV, sebuah syarikat perunding kualiti Jerman, yang mengendalikan pemeriksaan kualiti ke atas kereta-kereta seperti Mercedez Benz, BMW, Audi dan Volkswagen, bagi memastikan vendornya mencapai tahap kualiti yang ditetapkan.

Proton turut menyuarakan amaran yang sama kepada vendornya yang merosot prestasi dan jatuh kepada kedudukan terendah dalam senarai TUV mungkin tidak lagi akan diberikan kontrak.

Proton yang kini sudah mendapat tempat di pasaran United Kingdom, Australia, Syria dan Iran seharusnya lebih bersikap terbuka dengan persaingan pasaran walaupun duti import yang masih rendah menyebabkan rakyat negara ini masih mampu membeli kereta-kereta buatan luar negara.

Kesan terlalu banyak kereta luar masuk tanpa sekatan terutama dari Jepun serta Korea dan pada masa yang sama perlindungan terhadap industri kereta Proton tidak kuat dan yang penting struktur cukai untuk kereta luar masih terlalu rendah.

Lambakan kereta buatan terutamanya dari Korea Selatan dan China (akan datang) dilihat mengundang kepada beberapa isu utama yang kebanyakannya melibatkan survival pengeluar asal automobil tempatan terutamanya menjelang pelaksanaan sepenuhnya Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pada tahun ini.

Antara yang menjadi persoalan akibat kebanjiran kereta Korea Selatan ini ialah penguasaan pasaran Proton dan Perodua yang semakin menguncup dari sehari ke sehari dan `kegilaan' warga tempatan dalam menanti serta merebut peluang untuk memiliki kereta import.

Boleh dikatakan tiap-tiap bulan ada sahaja model-model kereta baru diperkenalkan sama ada kenderaan utiliti, kompak ataupun kenderaan penumpang, contohnya Toyota Innova, Perodua MyVi dan lain-lain.

Itu belum dikira dengan model-model pemasangan tempatan yang akan berada di pasaran pada bila-bila masa sahaja.

Apa yang penting sekarang ialah bagaimana hendak menanam sikap nasionalis terhadap jenama tempatan sama seperti apa yang dilakukan, rakyat Korea Selatan contohnya, yang lebih mementingkan serta mengutamakan kereta nasional mereka dalam membuat keputusan pembelian kenderaan baru.

Apa pun Proton tidak perlu bimbang dengan kewujudan kilang-kilang pemasang kereta di negara ini yang kini melihat Malaysia gerbang perniagaan mereka untuk ke negara ASEAN lain dan usaha seperti Naza-Kia, Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom) dan Hyundai Motor Corporation, Korea, Honda Malaysia Sdn. Bhd. dan beberapa jenama dari China bakal membuka kilang pemasangan di sini kerana itu semuanya persaingan yang sihat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.