saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 05/06/2005

Islam liberal gertak sosial takutkan umat Islam

MINGGU ini penulis akan meneruskan perbincangan mengenai isu Islam liberal. Minggu lepas penulis telah pun membincangkan tentang fitrah liberal dalam diri semua manusia dan sejarah kemunculan liberalisme pada abad pertengahan di Eropah serta kaitannya dengan tamadun Islam. Turut dibincangkan beberapa nama cerdik pandai Muslim di seluruh dunia yang memanggil diri mereka sebagai Islam liberal atau pihak lain yang memanggil mereka begitu.

Mana-mana pembaca yang tidak sempat membaca perbincangan penulis minggu lepas boleh membacanya di dua sambungan ini.

1.http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

2.http://www.astorajabat.com/modules.php?name=News&file=article&sid=362

Sebagai lanjutan kepada perbincangan berkenaan penulis ingin memperincikan sedikit lagi tentang kecelaruan dan salah faham sesetengah cerdik pandai Muslim kita berhubung Islam liberal ini.

Perlu diterangkan bahawa Islam dalam istilah Islam liberal bukan dimaksudkan agama Islam, tetapi ia yang dimaksudkan orang Muslim serta ijtihad dan fahaman Islamnya. Dalam erti kata lain, Islam liberal itu bukan dimaksudkan membahagi dan memisahkan Islam menjadi liberal dan tidak liberal seperti tanggapan sesetengah cerdik pandai kita, tetapi aliran pemikiran orang Muslim.

Dalam konteks ini Islam liberal itu sebenarnya bermaksud orang Muslim atau pemikiran dan fahaman Islamnya yang bersifat bebas, sederhana dan terbuka.

Ia dianggap sinonim dengan istilah Islam madani (awam/sivil), Islam demokrasi, Islam moden, Islam progresif dan sebagainya.

Penggunaan istilah Islam liberal ini ada yang datang daripada mereka yang dikenali sebagai Islam liberal sendiri seperti Islam liberal di Indonesia kerana mereka sendiri yang menamakan diri mereka begitu. Ada media massa terutama media massa Barat memanggil dan menamakan para cerdik pandai Muslim tertentu sebagai Islam liberal termasuk Syeikh Mohammad al-Ghazali, Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Mohammad Amara, Fahmi Huwedi, Dr. Kamal Abu al-Magd dan lain-lain cerdik pandai Muslim yang berfikiran bebas, sederhana dan terbuka. Padahal mereka sendiri tidak memanggil dan menamakan diri mereka begitu.

Bagaimanapun, dalam suasana Islam dan umatnya menghadapi serangan dari setiap penjuru ini menyebabkan sesetengah cerdik pandai Muslim tidak membantah jika mereka dilabel sebagai Islam liberal oleh media Barat kerana mereka sendiri mahu dilihat sebagai berfikiran bebas, sederhana dan terbuka serta berbeza dengan puak-puak konservatif yang tiada pembaharuan dan memadai dengan status quo yang sedia ada di negara-negara Arab dan puak-puak pelampau agama yang menggunakan kekerasan dan keganasan untuk memerangi negara-negara Arab itu.

Demi mempelbagaikan pandangan dalam perbincangan mengenai Islam liberal ini penulis fikir amat tepat sekali dikemukakan di ruangan ini penelitian seorang penulis bebas yang benar-benar membuat penyelidikan mengenai Islam liberal, iaitu Fathi Aris Omar. Beliau kini sedang menjalankan kajian budaya dan media di Jakarta termasuk tentang sejarah, perkembangan dan wacana Jaringan Islam Liberal di Indonesia.

Sebutan penelitian Fathi disiarkan dalam forum di laman web penulis, http://www.astorajabat.com

Di bawah tajuk `Islam Liberal' propaganda ciptaan Pas, tahu tak? Fathi menulis: ``Memang kata `Islam Liberal' - cuba dikaitkan dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) atau beberapa wacana `bergengsi' di beberapa negara Islam - sudah ada pada aktivis agama kita. Namun, belum meluas. Tetapi peristiwa-peristiwa politik pada bulan-bulan terakhir di Malaysia mengetengahkan ungkapan dan label itu ke tingkat wacana popular masyarakat kita. Ia mahu dirembeskan ke ruang kesedaran awam.

``Label `Islam Liberal' dijadikan sejenis `gertak sosial' yang menakutkan supaya sebarang wacana perubahan dalam pemikiran umat Islam atau kritik agama mengalami jalan buntu. Sebab itu, pada hemat saya, label yang dibawa oleh aktivis agama kita ini akan membantut proses perubahan pemikiran orang Melayu. Ia boleh mencipta mental block atau hadangan nalar yang baru.

``Pemakaian label dan wacana `Islam Liberal' di negara kita dikaitkan dengan Sisters in Islam (SIS), gejala imam Amina Wadud, gerakan anti-hadis Kassim Ahmad, beberapa yayasan luar negara yang mempromosi demokrasi, program kerajaan yang dimusuhi mereka (misalnya `Islam Hadhari') atau artikel Astora Jabat di Mingguan Malaysia. Semuanya dipukul borong! Strategi seumpama ini memang ciri khas propaganda dan taktik `klasik' kepungan minda.

``Maka, tidaklah hairan, apabila kumpulan-kumpulan Islam di negara kita enggan sama sekali mengiktiraf satu kenyataan pahit ini - sememangnya di dalam tubuh umat Islam itu sendiri ada `rasa gelisah' yang sangat dalam. Rasa `gelisah' pada jawapan-jawapan dangkal dan tradisional, pada sikap-sikap mundur pemikir dan aktivis Islam, pada persoalan-persoalan semasa yang masih tergantung tanpa jawapan meyakinkan.''

Memang seperti biasa mesti ada yang pro dan kontra terhadap pandangan Fathi di atas. Bagaimanapun, penulis yakin bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan Fathi tidak mempunyai hujah-hujah yang kuat untuk membuat sanggahan. Namun jika ada yang berfikir sebaliknya, silalah menyahut cabaran penulis dan hantarkan sanggahan mereka kepada penulis.

Insya-Allah penulis akan menilai dengan sebaik-baiknya untuk disiarkan dalam ruangan ini atau dalam ruang E-Pembaca.

Seterusnya Fathi dalam tulisannya berkata: ``JIL, Amina Wadud, Taliban, SIS dan Jamaah Islamiah (JI) itu bukan wacana Barat, Yahudi atau Amerika Syarikat seperti suka digembar-gemburkan oleh aktivis-aktivis agama. Kita selalu ingin menyisihkan mereka. Mereka bukan daripada ummah, begitulah nada kita demi menjaga air muka sendiri apabila telah terconteng arang. Ada sindrom sangkalan (denial syndrome) yang tebal bersarang bersama kita, sebenarnya.

``Sama seperti negara ini memenjarakan penganut-penganut Syiah, menafikan hak mereka untuk belajar di universiti Islam kita atau memecat mereka daripada menganggotai Pas. Hakikatnya, walau bagaimana nakal dan jahatnya `anak' kita, ``air dicincang, tidak akan putus.'' Sepotong tazkirah dari lagu dalam filem Ada apa dengan cinta?, ``Jujurlah pada hatimu.'' Untuk apa kita berpura-pura?

``Acara `Cabaran Islam Liberal' di Johor besok (15 Mei lalu) dengan rangka memanjangkan propaganda buruk Pas dan beberapa kumpulan Islam untuk mengepung pemikiran orang ramai.

``Kenyataan penganjur di laman-laman web Harakahdaily.net (7 Mei 2005) dan Malaysiakini.com (13 Mei 2005) menjelaskan segala-galanya.

``Isu asalnya mereka abaikan, iaitu persoalan (debat) tentang kawalan moral dari perspektif syariat, budaya Malaysia (atau Melayu) dan juga hak asasi manusia dan demokrasi. Sekali sahaja isu ini dibawa ketika Pas menghadiri forum bersama SIS anjuran `Malaysian Liberal Forum' yayasan FNS. Begitu juga soal cadangan mendirikan suruhanjaya antara iman (IFC).

``Kenyataan Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan pada 14 April 2005 mengajak orang ramai berdemonstrasi dengan memburuk-burukkan JIL - tanpa sebarang asas dan hujah (malah fitnah semata-mata). Saya petik sebahagiannya di sini:

``Pihak DPPWP memandang serius penglibatan Sisters In Islam - Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang tidak bertanggungjawab serta mempergunakan nama persaudaraan Islam dan rakyat Malaysia untuk membawa ideologi Jaringan Islam Liberal (JIL) dalam masyarakat Malaysia.

``Di negara luar, khususnya Indonesia Jaringan Islam Liberal yang tumbuh bagai cendawan selepas kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniah di Turki telah mewujudkan satu gelombang kegusaran baru dalam gelodak akidah umat Islam. Ideologi baru ini melahirkan akidah bidaah yang diinspirasikan dari pemikiran Kamal Attarturk ...''

``Beberapa aktivis kanan pertubuhan Islam juga berbuat hal yang sama. Saya kutip satu tulisan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini:

`` ... era lahirnya pendakwah-pendakwah di pintu neraka. Salah satu aliran yang sedang menyerang dunia hari ini ialah Islam Liberal.'' (tulisan Dr. Danial Zainal Abidin pada 20 Mac 2005 di laman web JIM).

``Sementara dari ABIM pula, seperti berikut: ``Hipotesis kajian ini adalah bahawa adanya kesinambungan dan pengaruh yang kuat antara sekularisme, orientalisme, modenisme Islam dengan Islam Liberal.'' (Ditulis oleh Khalif Muammar A. Harris pada 12 Mei 2005 di laman web `Minda Madani Online').

``Penulis yang sama pernah juga mengupas satu artikel dengan judul `Islam Liberal dan Agenda Depolitisasi Islam' - satu gambaran yang tersasul benar daripada pergolakan `Islam Liberal'.

``Saya memang tidak mengutip lengkap di sini tetapi ternyata semuanya ini ke arah memburuk-burukkan, mencemarkan, distorsi (menyeleweng) perspektif dan fakta tentang banyaknya ragam pemikiran dalam tubuh umat Islam. Kata `Islam Liberal' dan malah kata `Islam' itu sendiri terlalu besar untuk menjelaskan sesuatu gejala (gambaran) dengan adil dan wajar.

``Mereka bercakap dengan jahil, berunsur fitnah, dangkal, serong dan dengan niat memburukkan pihak lain (dalam umat Islam), dan mereka namakan ini agama Allah atau dakwah? Wah... yang Pas pula, asal boleh perbodohkan orang, bodohkan lagi.''

Memang pedas kritikan Fathi tetapi benar. Kurang membaca dan malas mengkaji serta lebih suka mengutamakan pendekatan hukum daripada pendekatan dakwah menyebabkan itu menjadi begitu...

Perhatikan tulisan Fathi seterusnya. Beliau berkata:

``Perang ini perang psikologi taraf rendah, usaha mengepung minda kolektif. Ia bukan usaha membuka wacana yang mencerahkan akal tentang beberapa isu dasar awam (public policy) dan hubungannya dengan agama. Bukan mendidik rakyat memperhalusi isu, mengajar orang ramai tentang pokok dan isi persoalan negara (dan kaitannya dengan agama) secara rasional, kritis dan tenang. Tetapi, mengobarkan semangat bergerombolan (atau, herd mentality) dalam wacana politik. Ketika berdemonstrasi, mentaliti gerombolan disebut mob rule.

``Lagak mereka ini, seimbas lalu, seperti anak-anak hingusan - tidak mampu memujuk ibu bapa membeli barang kesukaannya, anak akan duduk mengeras diri, menghentak-hentakkan kaki atau meraung-raung sekuat hati tanpa mempedulikan sekeliling lagi! Jika tidak suka perlambangan anak ini, dalam bahasa politik, kita boleh sebut lagak aktivis Islam ini sejenis `pendekatan fasisme' dalam mengepung minda orang ramai.

``Pendek kata, mereka bercadang untuk `menang', meraih keuntungan politik, bukan untuk membentangkan posisi dan keyakinan politik mereka sendiri kepada rakyat agar orang ramai nampak jernih persoalan-persoalan, mempertimbangkannya dan kemudian membuat keputusan. Supaya fikiran masyarakat menjadi lebih berstruktur, berdaya analisis, matang dan tinggi tingkat penghujahannya; supaya rakyat `celik politik'.

``Minda awam yang `celik politik' akan cenderung independen, kritis dan tidak mudah dikawal lagi. Minda awam seperti ini diperlukan di negara kita ke arah pemupukan demokrasi. Tetapi Pas, kumpulan-kumpulan Islam dan UMNO sama sahaja - melemahkan pemikiran massa dengan menyebarkan propaganda selapis, berpihak, beremosi, pandangan sehala, dan tidak jamak perspektif.

``Semua isu awam akhirnya tidak jernih. Semuanya diselaputi nada cemas, amaran atau gertak psikologi. Wacana bertambah kusut, hujung dan pangkal isu tidak dikenali lagi.

``Oleh itu, umat Islam akan lambat berfikir secara independen untuk menentukan sikap sendiri, dan selama-lamanya mereka memerlukan kumpulan, parti atau ketua tertentu untuk memandu arah mereka. Siapa lagi yang boleh memimpin, kalau bukan puak-puak Islam ini?''

Harap baca dengan fikiran terbuka. Minggu hadapan penulis akan membincang pula tentang Islam liberal di Arab Saudi. Islam liberal di Arab Saudi muncul di kalangan cerdik pandai Muslim muda puak Wahhabi. Mereka dulu berfikiran konservatif dan tertutup, kini mereka berfikiran progresif dan terbuka. Mereka mengkritik ulama-ulama Wahhabi termasuk Syeikh Muhammad Abdul Wahab, pengasas puak Wahhabi. Mereka mendapat sokongan kerajaan Arab Saudi, tetapi sesetengah mereka dipenjara dua minggu lalu kerana tergopoh-gapah mengkritik kerajaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.