saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 09/06/2005

Kabir Bhatia - Banyak mengarah soap opera Melayu

BAGI para penggemar soap opera Melayu, tentu nama Kabir Bhatia bukan asing.Ini kerana Kabir merupakan salah seorang pengarah drama panjang yang mencecah ratusan episod. hasil kerja tangannya seringkali menjadi ikutan ramai peminat drama Melayu.

Tentu anda tidak pernah lupa dengan drama Idaman dan Astana Idaman terbitan Antah-UTV. Drama yang pernah disiarkan di saluran Astro Ria itu muncul dengan 160 episod dan 120 episod.

Begitu juga dengan City Of The Rich, drama 200 episod berbahasa Inggeris yang mengisahkan tentang kehidupan sebuah keluarga jutawan Melayu.

Malah Kabir juga bertindak sebagai pengarah kreatif bagi drama 50 episod, Mastura lakonan mantap Ellie Suriati dan Zahim Al-Bakri yang pernah disiarkan di ntv7 pada akhir tahun 90-an.

Namun siapakah sebenarnya pengarah muda berusia 35 tahun yang bernama Kabir Bhatia itu?

Melihat kepada kemampuannya mengarah drama-drama Melayu dengan begitu baik, tentu ramai tidak menyangka bahawa Kabir bukanlah anak tempatan sebaliknya seorang pengarah luar yang berasal dari Mumbai, India.

Kehadirannya di negara ini pada awalnya adalah sebagai sebahagian projek pertukaran pengarah di syarikat tempatnya bekerja, UTV International yang beribu pejabat di Kanada dan turut beroperasi di India dan Singapura.

Kemasukan syarikat itu ke negara ini adalah untuk menjalinkan usaha sama dengan syarikat tempatan, Antah Holdings Berhad menerbitkan pelbagai penerbitan termasuk drama, iklan, video korporat serta program dalam penerbangan.

Menurut Kabir, projek pertukaran itu telah menjadi tapak asas kepadanya untuk memperkenalkan diri sebagai pengarah di negara ini.

``Saya mempunyai latar belakang pengarahan drama soap opera di India dan kerana itulah apabila saya datang ke negara ini lapan tahun lalu, saya diberi tanggungjawab mengarah City Of The Rich, terbitan Antah-UTV sebelum bekerjasama pula dalam Idaman dan Astana Idaman,'' jelas Kabir sewaktu ditemui Mega di lokasi penggambaran drama bersiri Skuad Elite di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Drama bersiri 52 episod terbitan Cosmovision Production Sdn. Bhd., itu merupakan `buah tangan' terbaru Kabir dan bakal ditayangkan selewat-lewatnya pertengahan Julai ini di RTM.

Terlibat

Malah menurut pengarah itu, bagi kedua-dua musim drama Idaman dan Astana Idaman, dia bukan sahaja bertindak sebagai pengarah tetapi turut terlibat dalam kerja-kerja penerbitan sebagai produser dan eksekutif produser serta pengarah

kreatif.

``Oleh kerana pembikinan kedua-dua musim drama itu memakan masa agak lama iaitu masing-masing selama enam bulan dan empat bulan setengah, adakalanya saya bekerjasama dengan pengarah tempatan seperti Hazrin, Ruslan Hussein dan Feroz,'' katanya.

Kabir yang memulakan kerjaya sebagai pengarah pada 1994 di India memberitahu, selain mengarah soap opera Melayu, dia turut mengarah beberapa telemovie serta drama pendek.

Antara telemovie arahannya ialah Primadona di Astro Ria, Kampus Rock, Boleh-Boleh Bola dan terbaru Tragedi Tasik Asmara yang kesemuanya disiarkan di RTM manakala drama pendek, Panggung adalah sebuah drama genre misteri-seram yang ditayangkan di Astro Ria.

Kerjasama yang terjalin juga katanya, bukanlah dengan penerbitan Antah-UTV semata-mata, sebaliknya dengan syarikat penerbitan tempatan yang lain.

Malah dia yang kini memiliki syarikat penerbitan sendiri, Channel Venture Sdn. Bhd., memberitahu turut menghasilkan produk untuk negara jiran, Singapura.

Antaranya drama bersiri Life, drama remaja Spin serta drama seram, Incredible Tales.

Malah kini dia sedang sibuk menghasilkan drama berdasarkan kepada cerita benar, Re-Union untuk TV di republik itu.

Bercerita tentang pengalamannya sepanjang mengarah drama TV tempatan, Kabir yang tidak fasih berbahasa Melayu itu mengakui terdapat jurang komunikasi antara dia dengan krew dan pelakon.

Komunikasi

``Kalau nak kata sukar bekerja, tidak juga kerana selalunya kami tahu apa yang dikehendaki. Mungkin jurang bahasa membuatkan komunikasi terbatas namun daripada segi kerja, ia tidak mendatangkan banyak masalah.

``Cuma saya masih ingat, sewaktu mengarah City Of The Rich, tidak ramai pelakon Melayu yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik namun kebanyakan mereka adalah pelakon berbakat.

``Tidak dinafikan akibatnya kerja menjadi sukar. Ada yang tak faham skrip dan pelbagai ragam lagi yang berlaku,'' ceritanya.

Kata Kabir, perkara yang sama berlaku pada krew dan pelakon yang membintangi drama Melayu arahannya.

``Tetapi walaupun ada jurang, oleh kerana skrip di dalam bahasa Melayu, mereka tidak bermasalah.

``Selalunya kalau ingin berkomunikasi, saya akan pastikan saya bercakap terus terang dalam bahasa yang mudah,'' jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Kabir memberitahu, selama dia bekerja dengan penerbitan tempatan, dia mendapat kerjasama baik daripada semua pihak khususnya penerbit, krew dan pelakon.

``Bagaimanapun, sebagai orang luar tentunya ada jurang yang sedikit sebanyak menyukarkan kerja terutama yang melibatkan adat resam dan budaya, selain masalah komunikasi.

``Namun saya berjaya menghadapinya. Apa yang perlu untuk berjaya di tempat orang adalah sensitiviti terhadap isu-isu di negara itu.

``Memang pada awalnya saya rasa terkongkong untuk berkarya di sini. Tapi sekarang saya semakin menerima situasi itu dan mampu mengadaptasikannya,'' ujar Kabir yang meminati pengarahan drama yang berkonsepkan misteri, seram dan fantasi.

``Saya suka bekerja di sini, cuma kalau diberi pilihan, saya tidak nafikan senang bekerja di negara sendiri kerana memahami adat resam dan budayanya.

``Itu membuatkan saya lebih mudah mengarah dengan gaya saya sendiri,'' tambah Kabir yang berkahwin dengan seorang penulis skrip tempatan, Mira Mustapha, 32 dan kini dikurniakan seorang cahaya mata bernama Kyra Iman berusia dua setengah tahun.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.