saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 17/06/2005

Sujud Sahwi, Syukur dan Tilawah


MELAKUKAN sujud seperti yang kita maklum, merupakan satu perbuatan yang tidak boleh ditinggalkan di dalam sembahyang.

Ini kerana ia termasuk dalam rukun-rukun sembahyang. Solat tanpa mengerjakan sujud akan membatalkan sembahyang yang ditunaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Kemudian sujudlah kamu hingga berhenti seketika (tumakninah). Kemudian bangkitlah hingga benar-benar duduk (tumakninah). Kemudian sujudlah hingga benar-benar sujud (tumakninah). (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sujud dari segi istilah bermakna meletakkan dahi ke atas tanah sebagai tanda pengabdian atau penyembahan kepada sesuatu yang dimuliakan.

Perlu diketahui, selain sujud yang biasa dikerjakan di dalam solat, sama ada solat wajib ataupun sunat, terdapat sujud-sujud khas yang dikerjakan di luar dan di dalam sembahyang. Contohnya, Sujud Syukur, Sujud Tilawah dan Sujud Sahwi.

Imam merangkap Penolong Pengarah Pembinaan Sakhsiah Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Zuhairee Mohd Yatim, menjelaskan tiga macam sujud yang dikemukakan dalam ruangan Bimbingan kali ini, iaitu Sujud Sahwi, Sujud Syukur dan Sujud Tilawah.

Pertama, Sujud Sahwi. Sahwi bererti lupa. Oleh itu, Sujud Sahwi ialah sujud yang dilakukan kerana terlupa sesuatu ketika berada di dalam sembahyang.

Contohnya menurut Mazhab Syafie, apabila kita terlupa membaca tasyahhud pertama atau duduk tahiyat awal (selepas dua sujud dalam rakaat kedua), maka kita hendaklah mengerjakan Sujud Sahwi.

Ini kerana tasyahhud awal dalam Mazhab Syafie adalah sunat muakkad atau sunat yang sangat penting, bersandarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

Daripada Abdullah bin Buhainah: ``Nabi s.a.w. menunaikan sembahyang. Kemudian baginda terus berdiri selepas rakaat kedua (tidak duduk tahiyat awal). Para sahabat mengucapkan tasbih untuk mengingatkan Baginda, tetapi Baginda tetap meneruskan solatnya. Ketika akhir solatnya, Baginda sujud dua kali, kemudian salam.''

Sebuah hadis lagi yang diceritakan oleh Abdullah bin Buhainah juga bahawa Rasulullah s.a.w. solat Zuhur bersama mereka, Baginda terus berdiri setelah dua rakaat pertama dan tidak duduk untuk tahiyat awal. Para jemaah pun tetap mengikuti Baginda sampai selesai menyempurnakan solat. Ketika orang ramai menunggu salamnya. Baginda malah bertakbir, padahal Baginda dalam keadaan duduk (tasyahud akhir), setelah itu Baginda sujud dua kali, kemudian salam.'' (Muttafaq `alaih)

Sujud Sahwi juga dikerjakan apabila di dalam solat kita merasa ragu tentang jumlah rakaat yang dikerjakan, sama ada terlebih atau terkurang.

Ia berdasarkan hadis yang dibawa oleh Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Jika seseorang di antara kamu merasa ragu dalam solatnya, dan ia tidak pasti berapa rakaat yang telah dikerjakannya, tiga atau empat rakaat. Maka buanglah keraguan itu dan tetapkanlah mana yang lebih diyakininya. Kemudian sujudlah dua kali sebelum salam.

Baginda juga pernah bersabda : Apabila seseorang itu merasa lebih atau kurang rakaatnya dalam sembahyang, hendaklah ia sujud dua kali.

Sujud ini hukumnya sunat iaitu jika tidak dilakukan tidak batal sembahyangnya.

Jelaslah di sini bahawa Sujud Sahwi dilakukan selepas tahiyat akhir dan sebelum salam.

Tambah Mohd Zuhairee, hal yang sama turut ditegaskan daripada al-Mughirah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud Sahwi). (Riwayat Ahmad)

Kedua, Sujud Syukur bermaksud sujud apabila mendapat sesuatu nikmat, sesuatu yang kita hajati, mencapai kejayaan atau terhindar daripada bencana, maka sewajarnyalah kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t.

Contohnya, dikurniakan zuriat setelah bertahun-tahun mengimpikannya, berita kejayaan anak-anak atau orang tersayang, malah apa sahaja yang dikira berita gembira dan baik.

Selain itu, ujar Mohd Zuhairee, sujud ini juga dilakukan atas sebab terhindar daripada musibah, bahaya atau malapetaka.

Contohnya, berlaku kebakaran besar di kawasan tempat tinggal kita, namun nyawa ahli keluarga kita terselamat walaupun waktu itu kita mengalami kerugian besar akibat kehilangan harta benda. Hakikatnya, nilai nyawa itu tiada taruhan.

Daripada Abu Bakrah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. apabila menerima suatu perkara yang menyenangkan atau diberi khabar gembira, segera baginda menunduk sujud sebagai tanda syukur kepada Allah Taala. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari bahasa Ali bin Abi Talib menulis surat kepada Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu mengenai suku Hamzan yang memeluk Islam. Baginda terus tunduk bersujud, kemudian mengangkat semula kepalanya dan bersabda : ``Selamat sejahtera ke atas suku Hamzan, selamat sejahtera ke atas suku Hamzan.''

``Melakukan Sujud Syukur ada yang mengatakan harus memenuhi syarat-syarat solat, tetapi yang sebenarnya ia tidak memerlukan syarat-syarat sebagaimana syarat solat.

``Ini berpandukan kepada Imam Shaukani yang berkata: ``Dalam Sujud Syukur tidak terdapat sebuah hadis pun yang menjelaskan bahawa untuk melakukannya disyaratkan berwuduk, suci pakaian atau tempat sujudnya.''

``Juga tidak terdapat keterangan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bahawa dalam Sujud Syukur harus bertakbir atau mengadap kiblat.

``Hanya di dalam kitab Al-Bahr disebut, takbir dalam Sujud Syukur diperlukan,'' terang beliau.

Seperkara lagi tentang Sujud Syukur ialah ia tidak boleh dikerjakan di dalam solat dan tiada bacaan khusus ketika sujud.

Ketiga, Sujud Tilawah yang dari segi bahasa bererti sujud bacaan, manakala dari segi syarak bermaksud sujud ketika menemui ayat-ayat sajdah.

``Apabila yang membacanya bersujud, maka mereka yang mendengar atau makmum pun ikut bersujud tetapi apabila yang membaca tidak bersujud maka, yang mendengar tidak pula disunatkan sujud.

``Menurut pendapat jumhur ulama, sujud ini adalah sunat ketika ia membaca sendirian atau mendengar orang lain membaca ayat-ayat sajdah,'' kata Mohd. Zuhairee lagi.

Hukum sunat ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar bermaksud: ``Bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah membaca al-Quran, lalu Baginda membaca satu surah yang di dalamnya ada ayat sajdah, Baginda pun bersujud lalu kami pun sujud bersama-sama Baginda sehingga sesetengah daripada kami tidak mendapat tempat untuk meletakkan dahi.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wajib

Manakala Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) berpendapat bahawa sujud tilawah itu wajib, sama ada ke atas pendengar atau pembaca.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. mengenai fadilat melakukan sujud tilawah, Baginda bersabda yang maksudnya: Apabila anak Adam itu membaca ayat sajdah yang menuntut untuk sujud, syaitan akan mengasingkan dirinya lalu menangis dan berkata: ``Celakalah! Anak Adam telah diperintahkan untuk sujud ia pun sujud, maka baginya balasan syurga, dan aku diperintahkan untuk sujud, aku enggan melakukannya, maka balasan bagiku adalah neraka. (Riwayat Muslim).

Ibnu Umar pula meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. membaca al-Quran di hadapan kami. Ketika Baginda melalaui (membaca) ayat sajdah, baginda bertakbir lalu sujud. Kami pun sujud bersama Baginda. (Riwayat Tirmizi).

Kata Mohd Zuhairee, adapun hikmah pengkhususan sujud pada tempat-tempat atau ayat-ayat yang tersebut, kerana ia menceritakan tentang kebesaran Allah s.w.t. dan ia merupakan pujian bagi mereka yang bersujud dan celaan bagi yang tidak bersujud.

Di dalam kitab Al-Majmuk menurut Mazhab Syafie bahawa hukum sujud tilawah itu sama seperti hukum sembahyang sunat dari segi syarat-syarat sahnya sujud itu, syarat-syarat itu adalah seperti berikut:

i) Bersih daripada hadas kecil atau besar dan bersih daripada najis sama ada pada tubuh badan, pakaian dan tempat.

ii) Orang yang hendak melakukan sujud tilawah itu juga di kehendaki dalam keadaan menutup aurat.

iii) Untuk melakukannya hendaklah menghadap kiblat.

iv) Hendaklah masuk waktunya ketika melakukan sujud itu. Maksudnya, waktu sujud itu ialah sejurus sahaja ia selesai membaca atau mendengar keseluruhan ayat sajdah. Jika sekiranya ia bersujud sebelum habis ayat tersebut dibaca atau didengar, maka sujud tilawah itu tidak sah dan tidak dikira.

Sujud tilawah sunat dilakukan di dalam sembahyang sama ada pada sembahyang yang dinyaringkan bacaan (jahar) atau pada sembahyang yang dibaca secara perlahan (sir).

Walau bagaimanapun bagi sembahyang yang tidak disunatkan menyaringkan suara, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum.

Mengambil kira sebab-sebab di atas (sembahyang yang dibaca secara suara perlahan), maka begitu juga halnya pada sembahyang yang disunatkan menyaringkan suara (jahar), sunat bagi imam melakukan sujud tilawah setelah selesai sembahyang, jika (diketahui) jarak antara imam dan makmum itu jauh sehingga dia tidak mendengar bacaan imam atau tidak dapat melihat perbuatan imam atau diselangi oleh dinding dan sebagainya bagi mengelakkan kekeliruan para makmum.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:05
Zuhur 1:26
Asar 4:48
Maghrib 7:23
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.