saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 23/06/2005

Patah Sayap Terbang Jua - Di pentas DBKL


SEBAHAGIAN pelakon yang menjayakan pementasan Teater Perdana Patah Sayap Terbang Jua di majlis pelancarannya di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur baru-baru ini.



WAHAB seorang wartawan muda yang baru menceburkan diri dalam bidang kewartawanan.

Beliau menyaksikan banyak perjuangan dan pergelutan hidup orang-orang di sekelilingnya.

Begitu juga dengan rakan-rakan seperjuangan seperti Pak Mustapha, Nahar, Mas Parjo, Pak Kadir, Hashim, Ibrahim, Raja Tasrif, Manaf dan rakan wanita seperti Inah, Mon, Rokiah dan Ramlah.

Mereka berhadapan dengan pegawai tentera Jepun seperti Hashimoto dan Suyama yang tertekan dengan suasana sekeliling lalu menjadikan mereka bersifat keras ketika menjajah negara.

Rentetan zaman permulaan persuratkhabaran negara ketika itu berpusat di Singapura. Selepas perang dunia kedua dan kemasukan Jepun ke Tanah Melayu, kehidupan mula sukar, bergelora dan suram.

Wartawan akhbar ketika itu banyak terlibat dengan perjuangan menentang penjajah melalui tulisan masing-masing.

Kesedaran perjuangan dan kesatuan orang-orang Melayu terbentuk dengan erat dan ditambah dengan pengaruh daripada Indonesia.

Jepun yang datang ke Tanah Melayu dengan menjanjikan kemerdekaan negara akhirnya meneruskan penjajahan.

Dalam zaman sukar itu, kesetiaan kawan, sifat jati diri dan kelangsungan hidup dicabar dengan kecurangan, pengkhianatan dan dendam.

Kesemua itu boleh disaksikan pada pementasan teater perdana Patah Sayap Terbang Jua yang akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 1 Julai hingga 8 Julai ini pukul 8 malam.

Teater arahan Othman Zainudin itu didaptasikan dari novel wartawan tersohor negara, Tan Sri A. Samad Ismail.

Ia dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama DBKL dan Berita Harian Sdn. Bhd.

Menurut Othman, ``Saya tertarik dengan novel A. Samad yang hebat ini kerana beliau merupakan wartawan dan penulis yang lahir pada zaman kolonial dan menentang penjajah. Karyanya ini memberikan gambaran jelas tentang keadaan pada waktu itu,'' tambahnya pada sidang media di DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Othman yang juga penulis skrip drama menambah, skrip adaptasi dari novel itu telah ditulisnya sejak beberapa tahun lalu.

Menurut beliau, beberapa pelakon baru dan lama akan menjayakan teater yang pembikinannya menelan kos berjumlah RM300,000.

``Saya percaya teater yang mempunyai mesej perjuangan ini akan mendapat sambutan di kalangan khalayak kerana ia adalah perjuangan sebenar golongan wartawan,'' katanya.

Pementasan Patah Sayap Terbang Jua membariskan pelakon Mohd. Fauzi Mohd. Nawawi (Wahab), Mohamed Ali Osman (Pak Kadir), Shaharuddin Tamby (Hashim), Yalal Chin (Pak Mustafa), Fazmidiawati Mohd. Fadzil (Rukiah), Junaidah Maat (Ramlah), Mohd. Sabri Yunus (Ibrahim), Rasdi Daud (Hashimoto), Ahmad Busu (Sekale), Shahrizan Ahmad (Raja Tasrif), Bohari Ibrahim (Jalal), dan Zubaidi Mokhtar sebagai Mas Parjo.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM10.

Othman telah bergelumang dalam bidang penulisan dan teater sejak 1965.

Beliau telah berjaya mementaskan teater berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan, Tunggul-Tunggul Gerigis, Srengenge dan Datuk Onn.

Othman pernah memenangi hadiah skrip teater Waktu Sesudah Itu dan Remang Di Lorong Tua bagi Hadiah Esso-Gapena 1984.

Selain itu, beliau telah mengarahkan filem Interlude lakonan Azhar Sulaiman dan Sophia Jane serta drama tv Dayang Suhana (RTM/DBP pada 1989).

Antara karya yang ditulis beliau ialah antologi drama tv `Jalak' (DBP).

Karya lain yang dalam proses ialah antologi teater Khazanah Panggung dan novel Laila Majnun.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.