saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 25/06/2005

Isa digantung 6 tahun


MOHD. ISA Abdul Samad di kediamannya di Kampung Sri Rusa, Port Dickson malam tadi selepas beliau digantung keahlian UMNO selama dua penggal. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.


KUALA LUMPUR 24 Jun - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini digantung jawatan dan keahliannya selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti.

Keputusan itu dibuat oleh panel lembaga itu yang bermesyuarat kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi ini di Menara Dato Onn, PWTC yang dihadiri oleh semua anggotanya dan dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail.

Surat mengenai penggantungan itu yang ditandatangani sendiri oleh Ahmad Rithauddeen telah disampaikan dengan tangan ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum pukul 4 petang ini, tidak sampai 24 jam selepas Mohd. Isa dipanggil memberi keterangan, semalam.

Mohd. Isa didapati bersalah di atas lima daripada sembilan tuduhan politik wang yang didakwa ke atasnya.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Setiausaha Politik Mohd. Isa, Salim Shariff.

Kandungan surat itu kemudian dimaklumkan kepada Mohd. Isa yang sedang menghadiri satu majlis di Jempol, Negeri Sembilan pada pukul 4 petang.

Mohd. Isa dipanggil menghadap Lembaga Disiplin semalam menghadapi sembilan pertuduhan yang berkisar kepada politik wang termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Lembaga Disiplin dijangka mengumumkan perkara ini pada satu sidang akhbar khas esok.

Kedudukan mutlak Mohd. Isa dalam parti akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO selepas rayuan dibuat. MT dijangka memutuskan perkara itu dalam mesyuarat mereka Khamis ini.

Dalam pada itu, Salim yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol turut digantung keahlian selama sepenggal atau tiga tahun atas kesalahan menganjurkan majlis itu.

Radzi ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini memberitahu, beliau telah dimaklumkan keputusan itu oleh Lembaga Disiplin, petang ini.

Bagaimanapun katanya, hukuman itu tidak menjejaskan UMNO dan Mohd. Isa masih mempunyai hak merayu kepada MT.

Dengan hukuman itu juga kata beliau, bermakna Mohd. Isa tidak lagi mempunyai sebarang jawatan dalam parti termasuk sebagai ahli.

Mengenai kemungkinan MT akan bermesyuarat Ahad ini, Radzi berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan mengenainya.

Ditanya kenapa cepat sangat keputusan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin, Radzi berkata: ``Habis, nak lambat.''

Sementara itu, Salim ketika dihubungi Utusan Malaysia turut mengesahkan mengenai hukuman yang dikenakan ke atas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Kata Salim, isi kandungan surat tersebut yang ditandatangani sendiri oleh Ahmad Rithauddeen telah dimaklumkan kepada Mohd. Isa yang ternyata terkejut dengan berita tersebut.

``Kandungan surat itu menyatakan Tan Sri (Mohd. Isa) kena gantung keahlian dan jawatan (dalam UMNO) selama enam tahun atau dua penggal,'' jelas Salim.

Mohd. Isa didapati bersalah terhadap ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti September tahun lalu.

Pada pemilihan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd. Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.

Mohd. Isa juga pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1993 namun beliau tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

``Sebaik mengetahuinya, Tan Sri Isa sendiri memang terkejut dengan hukuman tersebut.

``Terkejut, memang terkejut kerana beberapa sebab yang antaranya baru semalam beliau dipanggil, hari ini terus keluar keputusan dan kemudiannya pertuduhan berkenaan sangat longgar yang bersandarkan kepada bukti di pihak lembaga semata-mata.

``Ini bukan bicara ketua cawangan tetapi orang nombor tiga dalam parti, takkan dalam masa dua hari sudah selesai. Ini pun jelas timbul tanda tanya seolah-olah sudah ada keputusan baru panggil untuk lengkapkan syarat,'' tegas Salim.

Bagaimanapun kata beliau, Mohd. Isa akan mengemukakan rayuan kerana beliau tahu dirinya tidak bersalah dan bukti-bukti yang ada adalah cukup kuat untuk memihak kepadanya.

Mengulas lanjut keputusan Lembaga Disiplin itu Salim berkata, ia satu keputusan yang jelas boleh mengundang kepada andaian yang wujud konspirasi politik terhadap Mohd. Isa.

Menjawab satu soalan, Salim berkata: ``Mohd. Isa sedang bercuti.''

Terdahulu, Mohd. Isa memberitahu Utusan Malaysia,beliau tidak akan bercuti buat masa terdekat ini sebaliknya akan terus menjalankan tugasnya seperti biasa.

Malah katanya, hari ini juga beliau sudah memulakan tugas rasminya seperti biasa dengan melawat kawasan Parlimennya.

``Saya tidak ada apa-apa sebab untuk tidak bekerja. Ini pun saya dalam perjalanan balik ke kawasan.

``Isnin ini kalau kena masuk pejabat saya akan masuk pejabatlah. Tapi setakat ini saya belum tengok jadual lagi, apa yang saya kena buat.

``Cuma janganlah awak (media) tambah dosa dengan dok buat spekulasi bukan-bukan, dengar sama nasihat Timbalan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) semalam,'' katanya.

Ketika ditanya lanjut mengenai prosiding yang dihadapinya semalam, Mohd. Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol menganggap ia adalah satu proses biasa.

``Saya orang lama dalam parti, apa peraturan yang ditetapkan saya kena patuh,'' katanya.

Ditanya lagi apa yang berlaku dalam `perbicaraan' semalam, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata:

``Apa yang berlaku semalam, samalah rasanya prosesnya macam yang orang-orang lain sebelum saya telah lalui.

``Saya pun tak tahu apa orang panggil (proses semalam).''

Menjawab kepada soalan sama ada Lembaga Disiplin akan memanggilnya pada satu tarikh yang lain, Mohd. Isa sekali lagi mengatakan yang beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

``Saya tidak tahu pula yang itu. Setakat ini saya tidak ada diberitahu apa-apa,'' tegasnya.

Mengenai khabar angin sebelum ini yang mengatakan beliau akan meletakkan jawatan selaku Menteri Kabinet, Mohd. Isa menafikan mengenainya.

``Tak usahlah awak nak tambah dosa, teruk nak merangkak nanti.., kan Timbalan Presiden kata jangan buat spekulasi. Dengarlah cakap beliau,'' tambahnya.

Mingguan Malaysia Ahad lepas dalam laporan eksklusifnya melaporkan seorang pemimpin kanan UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin berhubung pelanggaran etika parti semasa pemilihan pucuk pimpinan tahun lepas.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.