saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/06/2005

Kejutan politik Isa Samad


DALAM pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO pada 23 September 2004, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad melakukan kejutan apabila menduduki tempat pertama daripada tujuh calon yang bertanding. Beliau memperoleh 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (1,329 undi). Penyandang jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin `terselamat' dengan menduduki tempat ketiga (1,234 undi) manakala seorang lagi penyandang, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berada di tangga keempat dengan mendapat 1,177 undi.

Bagaimanapun Isa menganggap keputusan itu bukan satu kejutan, bukan juga kerana politik wang tetapi sebaliknya yakin beliau dipilih kerana lebih popular.

``Tidak ada kejutan. Mungkin kepada sesetengah orang ya. Tetapi kepada saya, saya yakin menang... cuma tidak tahu nombor berapa.'' Begitulah kata Isa sebagai mengulas kemenangan manis itu yang dilihat mampu untuk melonjakkan lagi politiknya selepas meninggalkan Negeri Sembilan.

Ini kerana apabila beliau dipindahkan dari Negeri Sembilan yang diterajuinya selama 22 tahun sebagai Menteri Besar, ramai yang berkata karier politiknya sudah berakhir. Beliau dikatakan tidak akan disenaraikan dalam Kabinet tetapi akhirnya beliau dilantik juga walaupun sekadar menjaga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya iaitu sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Ramai yang beranggapan peluang terbaiknya untuk menang Naib Presiden adalah semasa menjadi Menteri Besar dan sebab itu, semasa pemilihan lalu beliau dianggap sebagai calon bukan pilihan atau underdog. Tambahan pula, jumlah pencalonan yang diterimanya tidak begitu memberangsangkan.

Daripada pencalonan bahagian seluruh negara yang diterima oleh tujuh orang calon yang layak bertanding, Isa menduduki tempat kelima dengan 37 pencalonan berbanding Muhyiddin di tempat teratas dengan 159 pencalonan diikuti Ali (119), Muhammad (88), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed (66), Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (35) dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad (25).

Namun keputusan pemilihan menunjukkan Isa di tempat pertama diikuti Ali, Muhyiddin, Muhammad, Mustapa (1,059 undi), Adnan (690) dan Shahrir (651).

Berdasarkan perkiraan inilah yang membuatkan ramai yang terkejut dengan keputusan pemilihan itu. Tetapi Isa, Ali dan Muhyiddin tetap diisytiharkan penyandang jawatan tersebut untuk tempoh sehingga 2007.

Isa mengambil masa selama 33 tahun sejak berkecimpung dalam politik UMNO untuk berada di kedudukan setinggi itu - Naib Presiden. Beliau pernah bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1993 dan 1996 dengan kedudukannya ketika itu sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, tetapi tewas. Begitu juga atas tiket Menteri Besar, beliau bertanding pada tahun 2000 untuk jawatan Naib Presiden tetapi sekali lagi tewas. Beliau menduduki tangga kelapan daripada sembilan calon yang bertanding.

Tetapi setelah meninggalkan jawatan Menteri Besar yang disandangnya sejak April 1982 dan tidak dilantik menganggotai ahli Majlis Tertinggi (MT) selepas kekalahan pada tahun 2000, Isa mencatatkan kemenangan mengejut dalam pemilihan 2004.

``Selepas tiga kali kalah, saya tahu bagaimana menghadapi pertandingan seperti ini berdasarkan pengalaman sebelum ini,'' kata Isa. Mungkin kerana sudah tahu selok-belok bertanding, maka beliau bertekad untuk bertanding satu jawatan sahaja pada tahun lalu walaupun pada masa yang sama beliau layak bertanding jawatan ahli MT.

Tidak seperti Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga layak bertanding Naib Presiden, Isa menunjukkan keyakinan untuk menang. Dan beliau akhirnya menang.

Bagi Isa, kawan-kawan dan para petugas memberi sokongan tidak berbelah bahagi. Mereka yang membantu beliau bertanding Ketua Pemuda dan Naib Presiden sebelum itu masih ada dan mempunyai rangkaian yang cukup baik. Itulah antara rahsia yang menurut Isa menjadi punca kejayaannya.

Tetapi keputusan pemilihan itu menjadi bualan ramai sama ada di dalam atau di luar parti. Isu politik wang berlegar di mana-mana sahaja selepas keputusan pemilihan itu. Ternyata ramai yang tidak berpuas hati dan berpendapat berlakunya gejala politik wang pada pemilihan berkenaan.

Namun empat hari selepas keputusan pemilihan itu, Isa meminta supaya spekulasi mengenai gejala politik wang yang didakwa berlaku pada perhimpunan itu dihentikan. Beliau menganggap isu itu telah selesai dan meminta ahli-ahli menumpukan usaha melaksanakan agenda penting berkaitan dengan masa depan kaum Melayu seperti pendidikan dan ekonomi.

Bagaimanapun pada 24 April, sehari selepas pemilihan, dalam reaksi segera mengenai isu politik wang, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan tidak ada sesiapa yang akan terlepas daripada dikenakan tindakan jika didapati mengamalkan politik wang termasuk Naib Presiden yang baru dipilih. Beliau menegaskan jika ada mana-mana ahli UMNO yang tampil membawa bukti walaupun selepas proses pemilihan, Lembaga Disiplin akan menilai dan melakukan siasatan yang perlu.

Tuduhan

``Yang salah, salah la... kemenangan tidak menghalalkan yang salah. Mandat telah diberikan tetapi saya juga mesti pastikan kita tidak ambil tindakan berasaskan tuduhan, ia tidak adil. Tetapi jika ada laporan mengenainya (politik wang) dan ia bertentangan dengan peraturan kita, maka tindakan akan diambil walaupun pemilihan telah berakhir.'' Itulah janji Abdullah sebagai mengulas pelbagai desas-desus mengenai amalan politik wang yang didakwa memainkan peranan penting dalam kemenangan calon-calon tertentu semasa pemilihan parti itu.

Maka bermula dari situlah, Lembaga Disiplin yang dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen melakukan tugas yang diamanahkan untuk menyiasat pelbagai laporan berhubung isu politik wang. Dalam tempoh tersebut lembaga itu juga dilanda pelbagai kritikan apabila menjatuhkan hukuman terhadap pihak-pihak yang terlibat. Pelbagai kenyataan dikeluarkan yang antaranya mencetuskan kontroversi. Ramai yang tidak berpuas hati dengan lembaga itu tetapi MT menaruh kepercayaan penuh.

Bagi membuktikan keseriusan UMNO membanteras politik wang, Lembaga Disiplin UMNO menawarkan imuniti dan merahsiakan identiti anggota parti yang memberi maklumat berkaitan politik wang. Berikutan `perlindungan' itu ramai yang tampil membuat laporan.

Berikutan itu, ramai yang disiasat dan dihukum sama ada digantung keahlian atau diberi amaran. Semuanya melibatkan pemimpin peringkat cawangan dan bahagian.

Dan setelah proses di peringkat bawah selesai, minggu ini bermula pula siasatan ke atas `orang besar' atau lebih tepat dikatakan bagi mereka yang bertanding untuk jawatan-jawatan di peringkat MT.

Isa sebagai pembuka tirai. Beliau dipanggil memberi keterangan pada hari Khamis dengan sembilan pertuduhan. Bagaimanapun Lembaga Disiplin UMNO mensabitkan beliau dengan lima kesalahan.

Dan Jumaat lalu, kemenangan yang dikecapinya selama sembilan bulan berakhir dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Bukan sekadar jawatan Naib Presiden tetapi segala-galanya yang dipegang dalam parti yang disertainya pada tahun 1972 hilang sekelip mata.

Kini Isa terpaksa menunggu rayuan dan kedudukannya sebagai anggota Kabinet hanya akan diketahui selepas MT memutuskan sama ada menerima rayuannya atau tidak. Yang jelas Isa masih sayangkan UMNO. Beliau masih mengharapkan rayuannya diterima. Tentunya beliau tidak mahu bersandiwara. Mungkin para perwakilan masih ingat kata-katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir perhimpunan: ``Jangan kita bersandiwara, beri sokongan 100 peratus terutama dalam senario politik akan datang. Kita tidak mahu dalam UMNO ada pemimpin seperti filem Pancha Delima iatiu siang jadi ular, malam jadi orang. Kita mahu jika mahu jadi ular, terus jadi ular dan jika nak jadi orang terus menjadi orang.''

Tentunya Isa mahu jadi `orang' dan ahli UMNO. Apa pun keputusan bergantung kepada rayuannya. Apakah Isa akan membuat kejutan lagi selepas itu?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.